Tak sempat melaram sudah dicekup

Oleh – Syeikh Baran

Tak sempat melaram sudah dicekup

Lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas memecah masuk bengkel sebelum melarikan sebuah motosikal di Pusat Komersial, Bukit Gambir, di sini, Khamis lalu.



Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan kira-kira 5.30 petang di Payamas, di sini, kelmarin.

Menurutnya, terdahulu polis menerima laporan daripada penyelia bengkel berusia 41 tahun terbabit mendakwa premisnya dipecah masuk dan motosikal Honda RSX 150 milik pelanggan bernilai RM8,000 dilaporkan hilang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota polis melakukan risikan sebelum berjaya menahan suspek

“Hasil soal siasat, polis berjaya menemui motosikal terbabit yang disembunyikan di kebun sawit sekitar Sagil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Roslan berkata, lelaki terbabit turut mahu melaram motosikal curi itu, namun tidak kesampaian apabila ditahan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod jenayah termasuk kes dadah dan saringan ujian air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis morfin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker