Pemuda tidak mengaku noda 4 remaja

Oleh – Syeikh Baran

Pemuda tidak mengaku noda 4 remaja

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas enam pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual fizikal membabitkan empat remaja lelaki antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.



Tertuduh, Haikal Hazwan Che Wan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meliwat seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah bilik di Apartment Permata, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 3 petang, Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa melakukan amang seksual terhadap empat remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun termasuk mangsa pertuduhan pertama.

Kesalahan itu dilakukan di bilik apartment sama antara Mac 2023 dan Mei tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.



Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan susulan kesalahan jenayah seksual itu membabitkan mangsa bawah umur.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan minima dengan alasan tertuduh yang juga pekerja katering itu perlu menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,200.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan dekati atau ganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 25 November depan bagi mendapatkan laporan perubatan dan kimia.



Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Bukit Mertajam atas pertuduhan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan beberapa keping gambar lucah dalam telefon bimbit jenis IPhone 11 pro miliknya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker