Kes Alif Teega salah guna wang infak dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam

Oleh – Syeikh Baran

Kes Alif Teega salah guna wang infak dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam

Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya dua pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM63,000 yang dihadapi pempengaruh, Alif Teega dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.



Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin membuat permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Mohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama,” katanya ketika sebutan kes hari ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Mohd Shahrullah Khan mewakili Alif tidak membantah perkara itu.

“Kami mohon tarikh awal sebutan di Mahkamah Shah Alam kerana pihak pembelaan ada membuat permohonan pemulangan pasport sementara,” katanya.



Mendengar perkara itu, Azura membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, wang jaminan dilanjutkan dan sebutan semula kes pada Rabu ini di mahkamah itu.

Pada 20 September lalu, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria, Palestin di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini, pada 26 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN di bank yang sama pada 15 Jun lalu.

Oleh itu, Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker