Anak badak terima hadiah RM650,000 daripada peminat
Oleh – Syeikh Baran
Seorang jutawan dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menghadiahkan cek bernilai 5 juta baht (RM650,000) kepada seekor anak badak air di sebuah zoo di Thailand kerana tertarik dengan haiwan itu, lapor laman berita The Sun UK semalam.
Pada usia hanya dua bulan, badak air pygmy bernama Moo Deng itu telah menjadi sensasi internet selepas seorang penjaga Zoo Terbuka Khao Kheow di Chonburi memuat naik video telatah lucunya.
Ia menyebabkan ribuan pengunjung berpusu-pusu pergi ke zoo berkenaan untuk melihat sendiri badak air tersebut tetapi ramai yang merungut kerana diberikan masa hanya lima minit untuk melihatnya.
Pada 6 Oktober lalu, ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai $HIPPO memberikan 5 juta baht dan sanggup terbang dari Dubai ke Thailand untuk menyerahkan cek kepada penjaga Moo Deng, Atthapon ‘Benz’ Nundee.
Ia bukan kali pertama Moo Deng yang kini berusia tiga bulan, diberi wang tunai kerana daya tarikannya.
Menurut Pengarah Pertubuhan Zoologi Thailand, Atthaporn Sriharan, seorang pelabur kripto turut menyumbangkan wang kira-kira 36,000 baht (RM4,600) kepada anak badak air itu. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE