Paralimpik 2024: Yang dikejar tak dapat…
Paralimpik 2024: Yang dikejar tak dapat…
Pencapaian atlet para negara selama ini tidak pernah mengecewakan, malah menghasilkan kejayaan cemerlang termasuk membawa pulang tiga pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Rentetan pencapaian membanggakan itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berani menetapkan sasaran untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan menyasarkan empat emas untuk dibawa pulang dari temasya sukan di sini.
Bagaimanapun, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.
Perumpamaan itu mungkin sesuai untuk menggambarkan pencapaian kontinjen Malaysia yang kurang ‘garang’ pada Sukan Paralimpik Paris 2024, yang melabuhkan tirainya di Stade de France awal pagi tadi, selepas menamatkan cabaran dengan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Keyakinan yang dilaungkan MPM sebelum ini Malaysia mampu mencapai empat pingat emas tidak berjaya direalisasikan, sekali gus menyaksikan reputasi kontinjen negara, yang dibarisi 30 atlet yang bertanding dalam lapan jenis sukan, sedikit tercalar pada Sukan Paralimpik kali ini.
Lebih memeritkan, kedua-dua perak di Paris 2024 itu datang daripada dua jaguh olahraga, Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), yang sebelum ini menjadi sandaran utama negara untuk menjelmakan kilauan emas di kota Paris.
Empat pingat yang diraih Malaysia kali ini juga datang daripada atlet lama, termasuk dua pingat emas, masing-masing daripada jaguh badminton para Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin.
Situasi itu jelas menggambarkan kontinjen Malaysia masih bergantung kepada atlet berpengalaman untuk membawa pulang pingat, serta memberi petanda sama ada atlet baharu atau pengganti mereka mampu menggalas cabaran yang pernah dibawa oleh barisan atlet senior selepas ini.
Ini kerana, daripada 18 atlet pendatang baharu, hanya Eddy Bernard yang berjaya membawa pulang pingat, gangsa dalam acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal).
Biarpun Liek Hou dan Ziyad masih enggan mengalah dan berhasrat beraksi di Los Angeles 2028 (LA2028), faktor usia mereka yang semakin meningkat menimbulkan persoalan sejauh mana mereka mampu memberi tentangan sengit empat tahun lagi.
Bukan sahaja perlu berwaspada dengan pemenang emas Ukraine, Oleksandr Yarovyi, 25, yang masih muda, malah Ziyad dijangka berdepan rintangan lebih hebat sekiranya pemegang rekod dunia, Maksym Koval dari Ukraine, yang mempunyai lontaran sejauh 17.57m, memutuskan untuk membalas dendam di LA2028 selepas terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
Begitu juga dengan Latif, yang tidak boleh memandang enteng kehadiran Matvei Iakushev selepas Atlet Paralimpik Neutral itu menafikan emas hatrik acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) yang disambarnya menerusi lompatan akhir 7.51 meter di Stade de France.
Atlet dari Kangar itu juga tidak boleh membiarkan kecederaan terus menghimpitnya semasa beraksi pada Sukan Paralimpik, selepas mengalami kecederaan otot perut di bahagian kiri yang menjejaskan peluangnya merangkul emas di Paris 2024, jika dia mahu meraih kedudukan tertinggi di podium pada LA2028.
Untuk memastikan sukan olahraga para terus cemerlang dan menyumbang pingat di pentas Paralimpik, tumpuan juga harus diberikan kepada pemantapan program latihan untuk Eddy dan Ammar Aiman Nor Azmi, yang berpotensi ‘meletup’ pada masa akan datang.
Eddy berjaya menyerlah dalam Sukan Paralimpik pertamanya dengan meraih pingat gangsa, manakala Ammar Aiman hampir meraih pingat gangsa dalam acara 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual), tetapi terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat selepas dipintas pada saat akhir oleh Yovanni Philippe dari Mauritius.
Dalam pada itu, Bonnie sememangnya layak diangkat sebagai atlet Malaysia paling cemerlang di Paris 2024, selepas sanggup melawan kecederaan bahu kiri untuk merangkul emas dengan angkatan seberat 232kg, sekali gus meleburkan rekod lama miliknya sebanyak 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Memandangkan umurnya yang masih muda, atlet berusia 25 tahun itu tidak mustahil menjadi prospek cerah emas di LA2028, sekiranya dia terus meningkatkan prestasi, terutama dari segi jumlah angkatannya.
Dalam kem badminton para, Liek Hou ternyata masih berbisa walaupun sudah menginjak usia 36 tahun, manakala prestasi Muhammad Fareez Anuar, yang merupakan pemain bukan pilihan, turut menarik perhatian peminat sukan tanah air.
Ini berikutan kejayaan memberangsangkannya dalam menjuarai Kumpulan B, termasuk mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18.
Biarpun terlepas peluang memperoleh pingat gangsa selepas ditundukkan oleh Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 19-21, 12-21, Fareez membuktikan kemampuannya dan perlu digilap dengan lebih hebat lagi.
Di sebalik kehampaan yang menyelubungi kontinjen negara, mereka perlu mengambil iktibar daripada kegagalan mencapai sasaran empat emas dan kembali bangkit dengan menampilkan aksi lebih luar biasa pada edisi seterusnya di LA2028. Au revoir, Paris 2024! BH
Paralimpik 2024: Yang dikejar tak dapat…