Bolehkah jatuh talak kerana dipaksa?

Bolehkah jatuh talak kerana dipaksa?

ADAKALANYA kehidupan rumah tangga tidak berkekalan seperti yang diharapkan. Benar, kita hanya mampu merancang, tetapi ALLAH SWT jualah sebaik-baik perancang.

Banyak punca yang memicu kepada perpisahan itu. Terdapat kes yang mana ikatan perkahwinan terlerai kerana cerai paksaan.



Adakah jatuh talak jika seorang suami dipaksa menceraikan isterinya?

Dalam hal itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, secara umumnya, talak dihukumkan halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, tetapi perbuatan itu dianggap makruh.

“Ini bermakna, syariat mengizinkan talak, tetapi barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh, mereka akan mendapat pahala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1754: Lafaz Talak Kerana Terpaksa yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri.

Menjawab tentang paksaan perceraian, ujar Dr Zulkifli, Islam menggariskan kayu ukur yang menjelaskan tentang keadaan seseorang yang benar-benar berada dalam situasi berkenaan.



Berikut perinciannya:

1. Orang yang memaksa mempunyai kekuatan dan mampu menguasai orang yang dipaksa.

2. Berasa terancam sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan dalam masa sama, tidak mampu untuk melawan atau melarikan diri.

3. Memudaratkan orang yang dipaksa dengan ancaman bunuh, penderaan, merampas harta dan sebagainya.



Berdasarkan penunjuk itu, Dr Zulkifli menjelaskan, menurut perspektifnya, talak tidak jatuh sekiranya seseorang dipaksa sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-106 surah an-Nahl.

“Pandangan ini merupakan pendapat jumhur ulama daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya menghuraikan panjang lebar berserta contoh mudah untuk kita memahami tentang cerai paksaan.

Beliau memperincikan pandangan Mazhab Syafie berkaitan kedudukan talak dalam konteks paksaan sebagaimana berikut:



1. Paksaan yang berlaku tidak syarie.

Jika ‘tekanan’ itu berlaku secara syarie seperti suami memberi mudarat kepada isteri, lalu hakim memaksa suami menceraikan isterinya, talak dilafazkan secara paksa itu tetap jatuh.

2. Paksaan disertai dengan ugutan yang ditujukan terus kepada suami.

Ugutan itu hendaklah ugutan yang menyebabkan suami terdedah kepada mudarat yang lebih besar seperti dibunuh, dipotong anggota atau dipukul dengan pukulan sangat menyakitkan.



Bagi mereka yang mempunyai kedudukan dipandang mulia, pukulan yang kurang menyakitkan dan disakiti dengan sedikit kesakitan sudah cukup untuk memenuhi syarat ini.

3. Orang yang memaksa mampu melaksanakan ugutannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak sah talak dan tidak sah pembebasan hamba dalam keadaan dipaksa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Sesungguhnya ALLAH telah menggugurkan daripada umatku hukum tersalah, terlupa dan dipaksa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)



4. Suami yang dipaksa tidak melakukan lebih daripada apa yang didesak.

Jika suami dipaksa menjatuhkan talak satu atau menjatuhkan talak tanpa disuruh beberapa kali, tetapi dia menceraikan isterinya dengan talak dua atau tiga, maka talak itu jatuh.

5. Suami tidak mempunyai niat untuk menceraikan isteri dan melafazkan talak semata-mata atas paksaan.

Jika paksaan perceraian itu tidak wujud unsur ugutan sebagaimana syarat-syarat dinyatakan itu, jelas Nurain Akmal Khairunnisa, ia hanyalah paksaan biasa sahaja yang mana kemungkinan boleh jatuh talak tersebut.

“Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada penilaian hakim untuk melihat sejauh mana paksaan itu berlaku,” katanya kepada Sinar Islam Plus pada Selasa. Sinar

Bolehkah jatuh talak kerana dipaksa?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Punca Cikgu Istiqomah dibunuh

Takiyuddin kantoi (Video)

Dari aku join podcast mereka, baik aku join potluck – Rahim

KLFW jadi tempat orang popular tayang paha, perut

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker