Aliff janji uruskan harta Sharifah Aini sebaik mungkin

Tanggungjawab saya urus harta Mummy sebaik mungkin - anak Allahyarham Sharifah Aini

Aliff janji uruskan harta Sharifah Aini sebaik mungkin

Anak Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, iaitu Aliff Omar Ali, mengambil keputusan menjual banglo mewah di Lorong Utara, Petaling Jaya, yang didiami bintang legenda itu ketika hayatnya, kerana mahu meneruskan kehidupan mengikut keperluan semasa keluarga.

Aliff, 42, menjelaskan sebagai pewaris, beliau perlu memikul amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dalam menguruskan harta peninggalan ibu mengikut syariat Islam, lapor Suria FM.



“Memang rumah itu banyak kenangan. Saya sangat sayangkan rumah kami itu. Saya sendiri dibesarkan di rumah itu tetapi selepas pemergian Mummy (panggilan untuk Allahyarham Sharifah Aini) saya merasakan rumah itu tidak sesuai lagi untuk saya tinggal bersama isteri dan anak-anak.

“Terus-terang, kos penyelenggaraan rumah itu memang tinggi setiap bulan, mencecah ribuan ringgit. Perkara ini telah
berlarutan selama 10 tahun selepas Mummy kembali ke rahmatullah.

“Jadi mulai 2016, saya meminta khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah kami itu. Memang sejak itu, ada beberapa pihak berminat membeli dan datang berbincang dengan saya. Namun, semuanya tidak berhasil.

“Akhirnya, pada awal tahun ini, rumah kami itu dibeli syarikat pemaju Al-Ambia Sdn Bhd dan terserahlah kepada mereka untuk membangunkannya mengikut kehendak mereka,” kata Aliff dalam pertemuan eksklusif dengan Suria FM di Subang Jaya, Rabu lalu.



Aliff, 42, berkahwin dengan doktor gigi, Nur Athirah Syed Azmi, 38. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Hamzah, 9, Tasneem, 6, dan Marwah, 4.

Aliff yang juga bekas pelajar Islamic University of Madinah, Arab Saudi menjelaskan, beliau telah menguruskan segala pengagihan harta ibunya itu mengikut hukum faraid.

“Selain saya, arwah nenek (Allahyarham Sharifah Noor Syed Ahmad) juga adalah waris terdekat kerana ketika Mummy meninggal dunia, nenek masih lagi hidup. Jadi, bahagian nenek itu sekarang pergi kepada waris terdekat nenek di Singapura.

“Sebenarnya bagi saya, apa yang lebih penting sekarang adalah kewajipan saya untuk menguruskan harta peninggalan Mummy itu dengan sebaik mungkin, termasuk melangsaikan apa-apa hutang yang berbaki kerana itu tanggungjawab kita sebagai anak. Setiap keluarga Muslim juga akan melalui perkara yang sama.



“Jadi tidak mengapalah, lebih afdal saya menjual rumah kami itu kerana hasilnya dapat mengalir ke jalan yang baik dan pihak yang berhak selain mampu menyelamatkan rumah itu sendiri daripada rosak atau terbiar di masa depan,” ujar Aliff yang enggan menyatakan berapakah nilai sebenar jualan tanah dan rumah agam tersebut.

Namun, Aliff berkata, harga jualan bukan RM4 juta seperti dilaporkan, sebaliknya, kurang daripada itu.

“Bagi saya, jumlah itu tidaklah penting untuk diperhebohkan kerana apa yang lebih penting saya bersyukur proses penjualannya lancar,” katanya.

Mengulas sentimen netizen yang menganggap banglo itu sepatutnya diselamatkan atau dijadikan galeri atau muzium, Aliff berkata:



“Ramai berkata, kenapa rumah ini tidak dijadikan muzium dan dipelihara sedangkan realitinya, tidak pernah pun mana-mana wakil kerajaan atau pihak muzium menghubungi saya untuk berbincang mengenai sebarang perancangan ke arah itu.

“Sukar bagi saya untuk tunggu 10 tahun lagi kerana tempoh 10 tahun yang sudah berlalu itu terlalu lama dirasakan. Bagaimanapun saya masih menyimpan banyak koleksi barang-barang peribadi Mummy termasuk anugerah-anugerah yang diterimanya di satu premis lain andai kata ada pihak masih mahu menempatkannya di galeri atau muzium.

“Banyak juga perabot dan barang peribadi Mummy sudah dibeli oleh beberapa sahabat baik Mummy selain peminat-peminat tegar,” kata Aliff yang memaklumkan dua pembantu rumah mereka yang amat setia, Bibik dan Mus telah pulang menetap di tempat asal mereka di Sumatera serta Jawa sejak 2021.

Aliff turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat dunia seni yang sering mendoakan kesejahteraan arwah ibunya ketika hayat dahulu mahupun sampai ke detik ini.



“Cuma saya sedih dan terkilan melihat banyak laporan yang tidak tepat mengenai penjualan rumah ini dan hal berkaitan Mummy oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga mengundang komen keterlaluan di pihak netizen.

“Tetapi saya faham siapalah kita untuk menghalang manusia lain untuk bercakap dan kenalah banyak bersabar,” katanya.

Aliff mengaku sering merindui arwah ibunya dan selalu terkenang segala momen indah ketika masih dalam dakapan manja ibunya itu hinggalah dia dewasa.

“Ya, saya sangat rindukan Mummy dan ingatan itu semakin kuat setiap hari. Antara yang saya rindu adalah jeritan suaranya yang nyaring di dalam rumah memanggil nama saya dan juga gelak tawanya.



“Saya juga rindukan masakan dari air tangan Mummy seperti Laksa Johor, Sweet Sour Fish serta Leg of Lamb,” katanya.

Disoal apakah pula lagu ibunya yang paling diminati, Aliff terus menjawab:

“Dodoi Si Dodoi.”

Bagi Aliff, lagu itu adalah gurindam kasih seorang bonda kepada anak-anak mereka yang didendangkan dengan begitu indah sekali oleh ibunya ketika dia masih kecil lagi.

Mungkin ramai tidak tahu, sejak bertatih lagi, Sharifah Aini hanya memanggil Aliff dengan nama manjanya iaitu ‘Nyawa’ dan ‘Abang’ (abang kepada dua lagi anak angkat Sharifah Aini).

Ternyata di mata sahabat karib pun, Allahyarham Sharifah Aini cukup terkenal sebagai seorang yang cukup penyayang dan beliau memiliki ramai anak anak angkat lain termasuk di kalangan anak-anak yatim serta pelajar tahfiz. – Suria FM

Aliff janji uruskan harta Sharifah Aini sebaik mungkin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Suami di Kelantan, macam mana nak buat baby – Fazura

M Jamil bahagia bersama isteri keempat – Anak

Nama Mamat Sepah disebut-sebut netizen

Bella Astillah sindir Ruhainies tak pandai menangis depan kamera

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker