Ahmadi Religion ada unsur syiah

Ahmadi Religion ada unsur syiah

Mempromosikan ajaran di media sosial beranggapan bahawa Kaabah berada di Jordan selain menyatakan Ramadan disambut bulan Disember.

Itu antara doktrin sesat Ajaran Ahmadi yang menggunakan platform media sosial untuk merekrut ahli baharu.



Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) antara agensi agama terawal yang mengeluarkan amaran berhubung ajaran berkenaan sekali gus langkah penguatkuasaan dapat dilaksanakan.

Kafe Ahad minggu ini menemu bual Mufti Pahang, Sahibus Samahah PROF DATUK DR ASMADI MOHAMED NAIM bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Pihak tertentu dilihat semakin berani menyebarkan doktrin palsu di media sosial. Apakah langkah yang perlu diambil bagi memastikan ia tidak berterusan?

Ya, memang kita menyedari ada golongan yang semakin berani menyebarkan ajaran sesat dalam media sosial.



Sebagai orang Islam yang berpegang kepada akidah Ahlus Sunah Wal Jamaah, kita kena mengambil langkah langkah yang wajar.

Pertama, kita perlu memperkuatkan dakwah Islamiyah terutama di dalam media sosial.

Tanggungjawab ini diseru kepada golongan muda yang berkelulusan agama dan mempunyai kemahiran dalam teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengisi slot dalam platform media sosial supaya pendekatan yang dipaparkan mudah difahami dan menarik untuk dilayari.

Keduanya, pembanterasan melalui penguatkuasaan undang undang adalah tindakan yang berkesan dalam menanganinya.



Undang-undang sedia ada dikuatkuasakan dengan serbuan dan pendakwaan kepada kumpulan yang sesat ini.

Pengalaman di Selangor membuktikan tindakan sedemikian dapat menyekat beberapa aspek perkembangan kumpulan ini.

Ketiganya, kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara strategi yang ampuh menangani kumpulan terbabit namun SKMM perlu ada pegawai bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama untuk tujuan menyekat fahaman serta ajaran mereka daripada disebarkan di media sosial khususnya di Malaysia.



Kebiasaannya ajaran sesat diambil dalam konteks untuk ‘mudahkan ibadat.’

Mengapakah syariat Islam yang sememangnya mudah tidak difahami sepenuhnya?

Budaya cintakan ilmu mesti ditanam dalam kalangan umat Islam. Islam agama yang mesti dipelajari. Bila kita faham Islam, kita akan faham bahawa mudahnya agama Islam untuk diamalkan.

Islam menjadi mudah jika dalaman diri seseorang individu mempunyai rasa penyerahan diri kepada Allah.



Ini kerana adakalanya hukum Islam itu tidak semuanya berdasarkan logik contohnya hukum menyapu ‘khuf’ (seperti stoking kulit yang menutup bahagian buku lali) walaupun tapak yang kotor namun bahagian atasnya yang wajib disapu.

Pahang antara yang awal memantau ajaran Ahmadi, bolehkah Prof kongsikan elemen manakah yang menyimpang daripada ajaran Islam?

Menjadi tugas Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk mendapatkan maklum balas masyarakat terhadap kemunculan ajaran sesat selain mendapatkan maklumat dari pihak polis.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang juga kerap bertitah supaya ajaran sesat tidak dibenarkan bertapak di bumi Pahang dan hasilnya membawa perpecahan terhadap masyarakat Islam.



Pada mulanya, kita menjangka ia rentetan daripada ajaran Qadiani, namun rupanya ia suatu ajaran baru dan ada pengaruh seperti Qadiani yang mencampurkan agama.

Banyak penyimpangan akidah kumpulan ini boleh membawa kekufuran dan kesesatan yang dibawa oleh Ajaran Ahmadi ini.

Mereka mendakwa lokasi Kaabah sebenar di Jordan. Mereka meyakini al-Quran kini sebagai bukan yang sebenar, solat dan pemakaian tudung tidak wajib, arak halal diminum serta bulan Ramadan pada Disember.

Semua perkara ini adalah penyelewengan yang nyata. Perkara-perkara ini merupakan keyakinan yang maklum dalam agama Islam.

Pengikut ajaran dikatakan merujuk ajaran itu melalui buku yang dihasilkan ketuanya yang bertajuk The Goal Of The Wise, The Gospel Of The Riser Of The Family of Mohammed.

Menurut mereka yang mengkaji ajaran ini, pengisian buku itu meliputi terjemahan berkaitan Imam Mahdi daripada al-Quran, kitab Bible dan fahaman Syiah.

Dalam siaran media sosial oleh pengikutnya yang saya amati, memang ada pengaruh ajaran Syiah dan mencaci maki sahabat Nabi SAW. Jadi bercampur campur ajaran mereka.

Ajaran Ahmadi secara asasnya disebarkan melalui media sosial, apakah Jabatan Mufti sudah mengenal pasti individu atau ia dikesan di negeri Pahang?

Buat masa ini kita masih berjaga jaga dengan pengaruh kumpulan ini. Pihak penyebar doktrin palsu sebegini biasanya berani melakukan perkara ini apabila mereka berada di luar negara.

Kita sentiasa mendapatkan maklumat daripada pihak berwajib khususnya pihak polis bagi memantau perkara ini. Ada banyak alasan kenapa mereka melakukan dari sana.

Pertamanya mereka terasa tidak terikat dengan undang undang negara dan susah didakwa.

Keduanya mereka nak mewujudkan suasana mereka dibenci, atau diancam, bagi membolehkan mereka memohon ‘perlindungan’ atau suaka politik atas pelbagai alasan.

Mungkin mereka mengatakan mereka dalam bahaya dan lain lain.

Jadi, masyarakat Islam jangan terikut rentak mereka.

Apakah nasihat Prof kepada orang awam ketika mendepani pelbagai bentuk dakwaan dan sesuatu berkaitan ajaran Islam di media sosial?

Masyarakat kena sentiasa mencari ilmu dari pihak yang membuat pengajian bukan secara menyorok nyorok.

Jangan hanya bergantung dengan pelajaran di media sosial tetapi masyarakat mesti mengambil langkah untuk sentiasa berwaspada ketika membaca hantaran berunsur agama di Internet.

Seterusnya, minta pendapat daripada rakan atau teman yang memahami urusan agama dan merujuk pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam bidang agama. HM

Ahmadi Religion ada unsur syiah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wahai pemandu Mazda CX-5, anda bukan langgar kuman kecil

Ummu Hani cinta pertama Rasulullah s.a.w.?

Kelakuan tak senonoh jemaah Haji Indonesia dikritik ramai (Video)

Grand Livina langgar lampu merah sampai tersodok kereta polis [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker