Hakim nasihat perogol agar lawat anak hasil rogol kerana itu tetap anak kandungnya

MUAR: “Selepas jalani hukuman, pergilah jenguk anak itu. Kamu kena ingat, dia tetap anak kamu kerana DNA (asid deoksiribonukleik) sepadan dengan kamu,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Muar, Abu Bakar Manat.

Nasihat itu diberikan ketika prosiding menjatuhkan hukuman terhadap seorang pembantu kedai kopitiam yang dituduh merogol pelajar hingga melahirkan anak.

Tertuduh sebelum itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dibaca dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa hari ini.



Dalam prosiding itu, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney di Melaka sehingga usianya mencecah 21 tahun.

Mahkamah membuat keputusan itu berikutan kejadian rogol berlaku ketika tertuduh masih bawah umur iaitu 17 tahun tiga bulan.

Dalam prosiding itu, Abu Bakar juga menasihatkan tertuduh supaya berubah selepas menjalani hukuman memandangkan dia masih muda.

“Mahkamah mengambil kira pengakuan salah dan kamu didapati bersalah, justeru mahkamah memutuskan kamu dihantar ke Sekolah Henry Gurney selari dengan Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).



“Kamu juga diarahkan menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Mengikut pertuduhan, anak bongsu daripada enam beradik itu didakwa merogol kenalannya berusia 14 tahun ketika kejadian di rumahnya di Batu Pahat, sekitar jam 5 petang, Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Remaja terbabit dilaporkan melahirkan bayi lelaki pada 14 Oktober tahun lalu dan kini berusia lapan bulan. Bayi terbabit kini dalam jagaan kakak mangsa yang turut dijadikan anak angkat.



Kejadian rogol itu terbongkar apabila seorang guru kelas mangsa curiga melihat perubahan fizikal sebelum mengajukan perkara itu kepada ibu bapanya.

Namun, ibu bapa mangsa pada mulanya tidak percaya malah menyangka anaknya mengalami masalah kesihatan di perut.

Pada 21 Ogos tahun lalu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan dia hamil 23 minggu.

Terdahulu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Faezah Ajmain turut membentangkan laporan sosial tertuduh kepada mahkamah.



Berdasarkan laporan dibentangkan JKM, tertuduh sebelum ini pernah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 3 (1) (1) Undang-Undang Kecil 2021 dan dikenakan hukuman denda RM1,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh diwakili Amalia Marsita Hamdan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wahai pemandu Mazda CX-5, anda bukan langgar kuman kecil

Ummu Hani cinta pertama Rasulullah s.a.w.?



Kelakuan tak senonoh jemaah Haji Indonesia dikritik ramai (Video)

Grand Livina langgar lampu merah sampai tersodok kereta polis [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker