Jojo akhirnya kecundang ditangan Nguyen

Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (kiri) tewas kepada Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam

KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar nyata sukar untuk ‘menembusi’ kekuatan lawan lebih berpengalaman dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Johan atau dikenali sebagai Jojo memasuki gelanggang kategori flyweight itu dengan membawa semangat juang tinggi dan pada satu ketika berjaya melakukan asakan padu sehinggakan pendakap gigi juara lima kali WMF Muay Thai itu terkeluar di pusingan pertama.

Bersambung di pusingan kedua, pertarungan antara kedua-dua petinju ini tampak seimbang dengan dengan sepakan Duy Nhat berjaya mengena Johan sehingga hampir terjatuh, namun wakil Malaysia ini terus cuba melakukan asakan biarpun tampak berada dalam kesakitan.

Di awal pusingan ketiga, tumbukan Johan mengenai Duy Nhat sehingga lawan terjatuh namun petinju negara berusia 18 tahun itu terus ‘menguji’ lawan sebelum perlawanan dihentikan pengadil Olivier Coste untuk masa kecederaan.

Johan terus meminta perlawanan diteruskan pada baki 55 saat terakhir yang menyaksikan Duy Nhat terus melakukan asakan sebelum loceng dibunyikan dan perlawanan dimenangi wakil Vietnam itu berdasarkan ‘unanimous decision’.

Ia adalah kekalahan pertama buat Johan selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu sekali gus terlepas peluang meraih bonus prestasi AS$50,000 (RM235,332.68).

Untuk rekod, kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.

Malah, Johan turut mempunyai rekod tersendiri dengan menumbangkan lawan dari Thailand, Padetsuk Fairtex menerusi kiraan ‘knockout’ (KO) di pertarungan ONE Friday Fights 6 pada Februari tahun lalu dalam tempoh 16 saat.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker