Pegawai kanan polis didakwa tutup kes beli senjata warga Israel

Pegawai kanan polis didakwa tutup kes beli senjata warga Israel

Dua pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Azura Alwi.



Mengikut pertuduhan, Khiam Kong dan Suhairon didakwa sebagai pegawai badan awam secara bersama bersetuju dan menerima wang suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan membantu menutup siasatan kes jenayah lelaki berkenaan.

Khiam Kong juga berdepan tuduhan bersetuju dan menerima suapan RM250,000 daripada individu itu bagi menutup siasatan kes komersial.

Kesalahan didakwa dilakukan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada 8, 18 dan 19 April lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Ia dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.



Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan membabitkan amaun lebih RM1 juta.

“Saya percaya cadangan jaminan dan syarat pasport adalah munasabah,” katanya.

Namun, peguam bela Khiam Kong, Jacky Loi Yap Loong, memohon anak guam dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan serahan pasport.



“Anak guam yang sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai empat anak berusia 18, 23, 25 dan 27 tahun.

“Anak berusia 18 tahun itu masih belajar dan saya dimaklumkan anak guam bakal menghadiri sesi perjumpaan dengan ibu bapa di luar negara pada hujung Jun ini.

“Tiada sebarang bukti dan kenyataan dikemuka pihak pendakwaan bahawa anak guam akan menghilangkan diri jika tidak menyerahkan pasport, malah syarat melaporkan diri di balai polis boleh diganti dengan serahan pasport,” katanya.

Peguam bela Suhairon, Ridha Abdah Subri, pula mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin terhadap anak guamnya.



“Anak guam sudah berkhidmat lebih 20 tahun dengan PDRM dan memberi kerjasama sepanjang siasatan. Tiada sebab untuk melarikan diri kerana isteri, anak dan keluarga terdekat berada di Malaysia.

“Isteri Suhairon tidak bekerja, manakala empat anak mereka masih bersekolah dengan yang bongsu berusia tujuh tahun. Anak guam juga perlu menanggung ibu bapa berusia 80 tahun yang dalam keadaan uzur di kampung.

“Keluarga hanya mampu mengumpul RM15,000 dan percaya amaun itu adalah selari serta konsisten untuk memastikan kehadiran di mahkamah,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin kepada setiap tertuduh, selain syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.



Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintendan dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.

Selain itu, dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Berikutan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.

Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.



Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. BH

Pegawai kanan polis didakwa tutup kes beli senjata warga Israel

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tinggalkan solat Jumaat kerana bermusafir, ini hukumnya

Ruhainies baru balik umrah kan, kenapa seksi sangat? (Video)

Boikot Starbucks, Berjaya Food rugi RM 33.16 juta suku ketiga

Isteri menjadi dosa jika lakukan 2 ibadah ini

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker