Hafidz Roshdi dulu pelakon kini penghantar barang
KUALA LUMPUR: Hanya ingin mencari rezeki halal, pelakon Hafidz Roshdi, 29, tidak menganggap kerjaya sebagai penghantar barang merendahkan martabatnya sebagai artis.
Hafidz yang sudah hampir dua bulan bekerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat kurier mengakui beroleh ketenangan biarpun pendapatannya tidak lagi selumayan dulu.
“Saya tak memilih asalkan rezeki halal, tak ada apa yang nak dimalukan daripada tak buat apa-apa langsung.
“Saya rasa seperti budak baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang nak mulakan hidup.
“Tawaran lakonan masih ada, cuma ada sebab saya pilih tak berlakon buat masa ini.
“Alhamdulillah, walaupun pekerjaan sekarang jauh dari dunia glamor dan pendapatannya tidak selumayan berlakon, tapi saya beroleh ketenangan,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Berkongsi pengalaman hampir dua bulan beralih angin, Hafiz berkata, dia seronok dengan pekerjaan baharu yang kurang tekanan berbanding lakonan.
Hafiz berkata, dia bebas menyusun jadual tanpa perlu terikat dengan mana-mana pihak.
“Saya boleh ikut masa sendiri, sehari kalau dapat empat atau lima ‘trip’ pun sudah memadai.
“Ramai juga yang kenal, siap ada yang berikan tip,” katanya.
Pelakon drama Baby Ana Milik Siapa berkata, dia tidak kisah jika ada yang menganggap apa yang berlaku sebagai kifarah.
Baginya, turun naik dalam kehidupan adalah lumrah.
“Biasalah turun naik hidup, saya gembira dan tiada rasa tertekan.
“Tak perlu rasa simpati pada saya kerana saya okay sahaja. Alhamdulillah, isteri juga sangat menyokong.
“Isteri kenal saya sejak dulu sebelum saya ada apa-apa. Dia tak kisah mengenai kerjaya saya asalkan halal,” katanya.
Hafiz menganggap apa yang dilalui mungkin menjadi titik tolak untuknya mencuba bidang lain selepas terlalu selesa sebagai pelakon.
“Ibu nasihatkan saya sambung belajar dan saya juga melihat mungkin ini peluang cuba beralih ke bidang perniagaan sebab sudah lama menyimpan hasrat.
“Cuma saya minta, sekali pun ada yang tak suka dan rasa saya bersalah, marahlah kepada saya, jangan perlekehkan pekerjaan saya,” katanya.