Dapatkan ilmu daripada guru berwibawa & bertauliah

Dapatkan ilmu daripada guru berwibawa & bertauliah

oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Menjejakkan kaki ke Tanah Suci menjadi idaman umat Islam tanpa mengira pangkat, warna kulit, bangsa dan kedudukan sejak sekian lama. Selagi dia seorang Muslim, hasrat menunaikan umrah atau haji sentiasa meniti di bibir mereka saban hari. Cuma kesedaran umat Islam dahulu juga agak rendah. Hanya golongan yang benar-benar memahami pengertian haji dan umrah sahaja yang berani ke sana pada masa itu.

Pada masa dahulu, jika seseorang itu mendapat panggilan Allah untuk ke Baitullah ia dianggap sebagai suatu keadaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Jika dahulu orang ke sana hanya menumpukan ibadah siang dan malam semata-mata kerana Allah SWT. Berjauhan daripada keluarga kerana agak sukar dihubungi disebabkan masalah komunikasi yang mencabar.

Namun kini dengan segala kemudahan menyebabkan keadaan itu berubah sama sekali. Perubahan bukan hanya dari segi pengangkutan, komunikasi dan suasana ibadah. Perubahan juga berlaku secara mendadak dalam kalangan masyarakat. Bukan hanya golongan alim dan ulama, atau asatizah yang berulang-alik ke Tanah Suci, malah pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang biasa, selebriti, artis dan pempengaruh media sosial berpusu-pusu silih berganti ke Tanah Suci.

Ia satu perkembangan positif dan baik. Ada yang berkata, dari pergi ke tempat-tempat yang ‘tak tentu arah’, lebih baik pendapatan yang ada digunakan ke Tanah Suci. Hakikatnya, umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah disepakati kebanyakan ulama ialah tawaf di Baitullah, dan saie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314).

Sebahagian ulama berpendapat hukum melaksanakan umrah wajib atau fardu bagi orang belum melaksanakan sementara dia mampu melaksanakannya. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah ayat 196)

Malangnya pada hari ini, dalam keadaan keterujaan masyarakat kita ke sana, ada yang mengambil kesempatan selain ibadah, melakukan perkara tidak sepatutnya di Tanah Suci. Ada yang mempromosi bisnes di hadapan Kaabah dan Masjidil Haram, ada yang sibuk menceritakan cara membeli-belah di Tanah Suci, ada yang melakukan aktiviti pelik dan janggal seperti bersilat di dataran Masjid Nabawi. Ada juga pempengaruh media sosial melakukan perkara khurafat seperti mencium kelambu Kaabah, meratap dan menangis sambil bergayut di Kaabah.

Selain itu, ada yang sanggup meredah lautan manusia dan membahayakan keselamatan diri untuk melakukan perkara sunat seperti mencium Hajar Aswad hingga membawa kepada kemudaratan dan kecederaan. Ia dibimbangi jatuh kepada hukum haram dan berdosa. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 195: ” Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah dan janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri dan berbuat baiklah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang berbuat baik”.

Tidak dinafikan perkara ini berlaku dengan berleluasa kerana kemasukan ke Tanah Suci tidak serumit dahulu. Kini, kebanyakan orang boleh memasuki Tanah Suci menggunakan visa pelancong dan pelbagai kemudahan visa yang lain. Ramai yang menggunakan kaedah DIY atau pergi ke sana secara persendirian tanpa mengikut syarikat pengendali umrah yang biasanya menyediakan khidmat mutawif. Akibatnya ramai yang mempelajari hukum hakam umrah hanya melalui media sosial seperti Facebook dan Tiktok sahaja.

Mereka sudah tidak merujuk asatizah dan alim ulama pakar dalam bab umrah, tetapi hanya berdasarkan pengalaman dan logik akal semata-mata terutama dalam bab berniat ihram, tawaf dan sai. Perkara ini amat membimbangkan, kerana membabitkan hukum yang rumit. Lebih membimbangkan adalah pelanggaran hukum umrah yang boleh menyebabkan seseorang jemaah dikenakan dam dan sebagainya. Bak kata pepatah Melayu: Matlamat tidak menghalalkan cara. Amalan yang dilakukan tanpa didasari ilmu menyebabkan tidak adanya hal bermanfaat yang akan dihasilkan.

Allah SWT melalui firman-Nya dalam Al-Qur’an Surah Al-Isra ayat 36 menjelaskan: “Janganlah engkau mengikuti sesuatu yang tidak engkau ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan.”

Sehinggakan perkara janggal dalam ibadah umrah ini mendapat teguran terus daripada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga pernah menjadi Pengerusi Ahli Jawatankuasa Fatwa Lembaga Tabung Haji berkata, baru-baru ini, sebagai contohnya, mencium Hajar Aswad adalah ibadah tetapi perbuatan sunat.

Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana disebutkan Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.

Agak janggal ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya yang sesuai. Apa jua alasan kita menghalalkan atau mengharuskan segala tindak tanduk kita dalam ibadah umrah, jangan sampai mendedahkan kejahilan dalam memahami ibadah umrah yang cukup suci dan istimewa. Walaupun sekaya dan semewah mana pun kita, teguran dan nasihat ulama perlu diambil sebagai pengajaran.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis sahih: “Para ulama pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, tetapi mewariskan ilmu. Maka dari itu, barang siapa mengambilnya, ia telah mengambil bahaian yang cukup.” (HR. Abu Dawud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Justeru, penulis menasihatkan semua pembaca dan umat Islam yang ingin ke Tanah Suci supaya mempelajari selok-belok ibadat umrah sebaik-baiknya menerusi guru bertauliah dalam ibadah umrah. Bukan semata-mata merujuk kepada video dimuat turun dari laman sesawang atau media sosial. Peranan guru sebenar penting bagi memastikan ibadah dilaksanakan sempurna dan diterima Allah SWT. Ganjaran syurga yang didambakan, bukan populariti atau pujian manusia! HM

Penulis Profesor Madya, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Dapatkan ilmu daripada guru berwibawa & bertauliah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sebelum jadi Datin tak seksi sangat

‘Saya bukan geng plastik hitam’

Azhar Sulaiman tidak tolak jika dijodohkan dengan ahli kumpulan The Gadys

Rumah Influencer dirompak, RM3 juta tunai dan jongkong emas dilarikan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker