Amir Hamzah dedah kisah dilantik jadi menteri

Amir Hamzah dedah kisah dilantik jadi menteri

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada Disember 2023 dalam rombakan Kabinet, menganggap beliau lebih sebagai ahli teknokrat berbanding ahli politik.

Malah, bekas ahli korporat itu menegaskan, susulan pelbagai usaha yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti pelancaran Kerangka Ekonomi MADANI dan pengenalan beberapa siri dasar bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik, tugas utama beliau lebih tertumpu kepada usaha membantu Perdana Menteri untuk meletakkan Malaysia di landasan tepat bagi mencapai kemajuan pada masa depan.

“Saya di sini bagi membantu Perdana Menteri menjayakan banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan seperti meringankan tugas seharian beliau dan menyusuli semuanya agar beliau berupaya menumpukan lebih banyak masa dalam hal-hal dasar serta kepimpinan kepada kementerian-kementerian lain,” katanya.

Berkata demikian kepada BERNAMA baru-baru ini dalam temu bual media pertamanya sejak memegang jawatan itu tahun lalu, Amir Hamzah, 57, menyoroti tempoh dua bulan selepas menggalas tanggungjawab dalam Kementerian Kewangan (MoF) yang juga antara kementerian paling penting.

Beliau menganggap, berganjak kepada peranan kerajaan selepas lebih dua dekad menceburi dunia korporat sebagai perkembangan menarik.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut membawa bersama profil sebagai anak sulung Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin, tokoh yang pernah berkhidmat dalam sektor awam serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada 1988 hingga 1995.

Ditanya kisah di sebalik pelantikannya, beliau mendedahkan, telah didekati bagi tawaran menggalas tanggjungjawab itu beberapa bulan lebih awal sebelum pengumuman dibuat.

“Buat beberapa lamanya, saya tidak memberi sebarang persetujuan kerana ini satu keputusan yang besar. Ini juga satu peranan umum dan pada akhirnya saya bukanlah seorang ahli politik, saya adalah ahli teknokrat dan tahu apa kepakaran saya serta apa yang boleh disumbangkan.

“Namun, saya tidak berkompromi dari segi mengingatkan orang ramai bahawa saya bukanlah ahli politik. Saya tidak berjuang untuk menawan mana-mana kerusi (pilihan raya) kerana ini tiada dalam DNA (genetik) keluarga saya.

“Sebahagian besar orang tahu bahawa ayah saya pernah berada dalam perkhidmatan awam,” kata beliau merujuk kepada Allahyarham Azizan, satu nama besar dalam bidang awam mahu pun swasta.

Azizan melakar kerjaya cemerlang dalam perkhidmatan awam, bermula dengan menyertai Kementerian Pelajaran pada 1960 dan seterusnya menjadi setiausaha sulit kanan kepada perdana menteri kedua, ketiga dan keempat.

Beliau bersara sebagai ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 1988, disusuli dengan menggalas tugas sebagai presiden dan CEO PETRONAS.

Bukan tempoh ‘bulan madu’

Berkongsi bagaimana beliau dapat menyesuaikan diri dengan peranan baharu, Amir Hamzah berkata, jawatan itu tidak menyajikan tempoh ‘bulan madu.’

“Perjalanan peralihan ini sememangnya menarik. Seperti yang anda sedia maklum, saya ahli korporat yang sibuk bagi satu tempoh yang lama sebelum beralih kepada kerajaan. Selepas dua bulan, apa yang pasti, ini bukanlah tempoh bulan madu,” katanya.

Atas alasan itu juga, beliau menegaskan, akan melakukan yang terbaik bagi membantu Perdana Menteri mengemudi Malaysia ke arah masa depan lebih cerah dan tidak menolak kemungkinan mengambil keputusan yang tidak popular demi keutamaan negara.

“Saya fikir nilai seorang teknokrat adalah kebolehan untuk menyuarakan dan melakukan apa yang tepat demi negara, kadang-kadang ini boleh melibatkan beberapa keputusan yang sukar. Jika keputusan itu tidak popular namun perlu, maka kita kena buatlah, sama ada anda suka atau tidak.

“Ini kerana mesti memikirkan apa yang penting untuk faedah jangka panjang negara. Jika tiada siapa pun mahu membuat keputusan itu, maka anak dan cucu kita akan menanggung akibatnya. Saya tidak fikir kita harus berkompromi dengan masa depan mereka semata-mata untuk keperluan kita pada hari ini,” katanya.

Tiada cita-cita ceburi politik?

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada masa depan, Amir Hamzah berseloroh: “Tidaklah, saya sudah berusia 57 tahun, tetapi tengoklah nanti berapa lama saya di sini dan kalau ada rezeki, adalah. Jika tak ada rezeki, tak mengapa”.

Mengulas penglibatan dalam media sosial, Amir Hamzah mengakui beliau bukanlah aktif di platform internet pada masa ini, namun tidak kisah untuk mengemas kini perkembangan mengenai kementeriannya pada masa depan.

“Saya tidak kisah menggunakan platform media sosial untuk mengemas kini pengumuman kerajaan atau apa yang kita lakukan di MoF. Bagaimanapun, saya masih suka mengekalkan privasi (diri sendiri) kerana saya dibawa masuk untuk membantu kerajaan berdasarkan pengalaman saya bekerja di syarikat korporat,” katanya.

Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan II berikutan rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023.

Beliau teknokrat kedua dalam MoF yang mempunyai latar belakang korporat, mengikut jejak langkah bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bekas CEO dan bekas Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Februari 2015 hingga 9 Mac 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP, dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset sebagai CEO pada Mac 2021. Beliau sebelum itu Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021 dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sepanjang kerjaya dalam dunia korporat.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam pengurusan (pengkhususan dalam kewangan dan ekonomi) dari Syracuse University, New York ini juga menghadiri Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Corporate Finance Evening Programme di London Business School. BH

Amir Hamzah dedah kisah dilantik jadi menteri

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rindu slogan ‘Najib turun, ringgit naik’ – Akmal

Emma difitnah bertukar pasangan untuk seks

Marissa tanpa mekap dilabel ‘Muka Awam’

Ali Puteh bayar duit Hidayah, jumpa Hamzah lepas 4 tahun

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker