Pilihan Raya Presiden: 800,000 rakyat Indonesia berdaftar mula mengundi awal di Kuala Lumpur

Suasana semakin hangat apabila ribuan rakyat Indonesia yang mendaftar sebagai pengundi luar negara di Malaysia membanjiri Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia melalui proses pengundian awal.

Badan Pemantau Pilihan Raya (Bawaslu) Indonesia menjangka kehadiran lebih 100,000 pengundi dari Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain daripada 800,000 yang berdaftar di Malaysia.

Walaupun peraturan pilihan raya sedia ada tidak membenarkan calon berkempen pada hari pengundian, namun badan pemantau itu tidak dapat membendung sokongan yang mencurah-curah kepada tiga pasangan calon presiden Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming dan Ganjar Pranowo-Mahfud Md.



Ramai yang hadir memperlihatkan sokongan masing-masing dengan mengangkat jari mengikut tanda nombor calon – satu, dua atau tiga – manakala yang lain dilihat mengenakan kemeja-t kempen, salah satu larangan yang dikenakan ketika memasuki pusat mengundi.

Orang ramai dilihat beratur dari luar pintu memasuki bangunan itu di mana pendaftaran pengundi, pengesahan dan proses mengundi dibuka dari jam 8 pagi tadi sehingga 6 petang hari ini.

Semua kertas undi akan dikira serentak pada 14 Feb, selepas tamat hari pengundian di Indonesia.

Pengarah Urusan Kumpulan WTC KL, Irmohizam Ibrahim berkata ini adalah kali pertama pengurusan bangunan itu menjadi tuan rumah kepada pengundi Indonesia di Malaysia, di mana sebelum ini proses itu dijalankan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.



“Dengan peranan kami sebagai tuan rumah detik bersejarah di Indonesia, ia mencerminkan keterbukaan dan kesediaan kami, berdasarkan pengalaman lalu sebagai pusat vaksinasi Covid-19 terbesar di Malaysia.

“Ini menunjukkan lokasi ini (WTCKL) boleh dipercayai, bukan sahaja untuk acara antarabangsa tetapi juga dalam negara,” kata bekas ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Secara keseluruhan, terdapat 223 pusat mengundi yang disediakan untuk pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Lima orang sukarelawan ditugaskan di setiap pusat mengundi, dengan penggunaan dakwat kekal turut dilaksanakan.



Daripada 84 Daerah Pilihan Raya yang membentuk 580 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, satu daripadanya – Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II – bakal menerima undi daripada kira-kira 1.7 juta pengundi luar negara yang berdaftar, dengan Malaysia membentuk diaspora terbesar.

Di setiap pusat mengundi, pengundi akan diberikan dua set kertas undi – satu dengan jumlah 125 calon daripada 18 parti politik, diletakkan di bawah “sistem perkadaran senarai terbuka” untuk tujuh kerusi di DKI Jakarta II – dan yang kedua untuk menandakan calon presiden mereka.

Lapan belas parti itu juga membentuk tiga gabungan utama yang menyokong pasangan presiden.

Pada peringkat legislatif, setiap parti akan meletakkan beberapa calon mengikut jumlah kerusi yang diperuntukkan di sesebuah daerah.



Ini menggalakkan persaingan dalaman untuk undi individu, serta antara parti yang bersaing untuk mendapatkan ambang minimum empat peratus daripada jumlah 204,807,222 pengundi berdaftar, atau berisiko tersingkir daripada pertandingan.

Antara nama terkenal termasuk tujuh penyandang jawatan, serta Menteri Tenaga Kerja baru Ida Fauziyah, bekas vokalis kumpulan rock Indonesia Dewa Once Mekel, bekas menteri belia dan sukan, Adhyaksa Dault dan wartawan kanan Prabu Revolusi. Hal ini menciptakan istilah “kawasan neraka” oleh pengamat politik.

Sepanjang tempoh kempen rasmi dari 28 Nov lalu hingga 10 Feb, beberapa calon dan pasukan kempen DKI Jakarta II bagi tiga pasangan calon presiden menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada kawasan tumpuan mereka, memandangkan kedudukannya yang lebih dekat dan jumlah undi yang berpotensi.

Kempen di Indonesia berakhir semalam untuk semua calon dan penyokong mereka mematuhi “tempoh bertenang” tiga hari sebelum keluar mengundi.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rafizi yang akan ‘terbakar’ jika terus temberang



Vida geram Marissa jadi penyondol

Kecantikan Marissa bikin ramai cair

Rekod Nasi Kandar Sulaiman pecah lagi, kali ini RM222

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker