Ubat perangsang seks paling banyak dirampas
Ubat perangsang seks paling banyak dirampas
Ubat perangsang seks kekal menjadi ubatan paling banyak dirampas di seluruh dunia dengan menyumbang kepada 22 peratus hasil rampasan dalam Operasi Pangea XVI yang dikoordinasikan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).
Dalam operasi yang berlangsung pada 3 hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 72 tangkapan dilakukan di seluruh dunia dengan rampasan produk farmaseutikal berpotensi bahaya bernilai lebih AS$7 juta (RM32.9 juta) yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pihak berkuasa terdiri daripada polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan dari 89 negara seluruh dunia.
Hasil daripada rampasan tersebut, bahan psikotropik seperti ubat antidepresi menyumbang kepada 19 peratus rampasan diikuti ubat hormon seks dan ubat gastrik yang masing-masing melibatkan 12 peratus hasil keseluruhan rampasan.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norhaliza A. Halim berkata, Operasi Pagea XVI di Malaysia diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM melibatkan kerjasama dengan agensi National Central Bureau (NCB), Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, sebanyak 330 bungkusan pos diperiksa dan sejumlah 58 bungkusan yang didapati mengandungi produk farmaseutikal tidak berdaftar dirampas.
Menurutnya lagi, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.
“Jumlah keseluruhan rampasan di kesemua lokasi ini adalah sebanyak 13,552 unit dengan nilai rampasan RM132,498. Produk yang paling banyak dirampas di pintu masuk Malaysia adalah kosmetik iaitu sebanyak 2,359 unit, diikuti oleh produk merawat penyakit gastrik (2,243 unit) dan steroid (1,673 unit).
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM juga mendapati, trend pembelian ubat penahan sakit dan suplemen kesihatan dari luar negara juga semakin meningkat setiap tahun.
“Pada tahun ini juga sebanyak 1,465 unit ubat penahan sakit dan 1,343 unit suplemen kesihatan turut dirampas di pintu masuk utama dan pusat pengedaran mel di seluruh Malaysia. Kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas ini adalah berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India,” katanya.
Menurut beliau, operasi turut menjalankan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.
“Sebanyak 45 buah premis yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, klinik dan premis perniagaan diserbu. Sebanyak 96,691 unit produk farmaseutikal menyalahi peruntukan undang-undang dirampas untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM417,291. Serbuan dalam operasi kali ini menyasarkan bahan psikotropik yang menyalahi undang-undang.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM turut merampas produk tradisional yang dicampur palsu dengan steroid, ubat penahan sakit dan ubat batuk yang tidak berdaftar dan dijual oleh penjual tidak berlesen serta tidak diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952. Sebanyak 12 fail siasatan dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Norhaliza berkata, sebanyak 1,675 pautan laman sesawang termasuk akaun media sosial dan e-dagang dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Menurutnya, kira-kira 76 peratus daripada pautan itu adalah dalam platform e-dagang dan ia sudah dilaporkan kepada SKMM, penyedia platform media sosial dan e-dagang untuk disekat akses dan diturunkan kandungan.
“Operasi pada tahun ini mendapati berlaku peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan ubat batuk yang dijual oleh penjual yang tidak berkelayakan atau tidak diberi kuasa,” katanya. Utusan
Ubat perangsang seks paling banyak dirampas
Baca Artikel Menarik:
- Deretan jenazah penuhi perkarangan hospital di Gaza
- Kes curi RM85,000 di Mini Dhaka, 3 anggota disambung reman – Ayob Khan
- Ketua sindiket dadah bergelar Datuk ditahan di Sabah
- ‘Orang lemas, jerit minta tolong’, bekas tentera dihantui ribut Greg
- Hasrat suami isteri mahu ‘bulan madu’ di Turkiye tidak kesampaian dihalang dari ‘terbang’
- Cadangan Khalid Samad tubuh syarikat media PH dibidas MP Pakatan Harapan
- Mayat Nur Damia Qaisara ditemukan
- Stadium Shah Alam dapat kelulusan untuk dirobohkan – MB Selangor
- Pengkhianat perlu dihukum, Akta anti-Ali Baba bakal diperkenalkan
- Lelaki meninggal dunia lebih 5 hari dalam kereta baru ditemui
- MyCC digesa siasat ‘kartel beras’ selepas berjaya denda ‘kartel makanan ayam’
- Suami bayar isteri RM1.4 juta juta setiap kali hamil
- 60 remaja ditahan berpesta bahan terlarang di bilik karaoke
- Pemuda separuh sedar, kaki tersepit rim motosikal
- Mat Sabu berundur sebagai Presiden Amanah sebelum PRU16
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Sumpah 2 mahaguru silat ternama, Allahyarham Omardin dan Meor Abdul Rahman
Akhirnya Daim disiasat atas dakwaan rasuah & pengubahan wang haram
You must be logged in to post a comment.