Warganegara wajib fasih bahasa negara – Prof. Emeritus Teo Kok Seong
MALANG sekali selain sangat mengecewakan apabila muncul pihak tertentu, daripada etnik Melayu sendiri pula, walaupun seorang dua sahaja, yang membela secara membabi buta wanita bukan Melayu, yang didakwa dimarahi pegawai imigresen kerana didapati tidak mengetahui bahasa Melayu, yakni bahasa negara ini, ketika berurusan memperbaharui pasport.
Tindakan melindungi ini tidak sepatutnya datang daripada mana-mana pihak atas apa-apa jua alasan kerana sudah menjadi kewajipan setiap warganegara bukan sahaja fasih, juga tinggi penguasaan terhadap bahasa negaranya.
Sudah tentu kefasihan dan penguasaan ini bersifat yang munasabah, iaitu berdasarkan taraf pendidikan seseorang itu. Sebagai contoh, sudah memadai apabila pengetahuan bahasa Melayu itu berada pada tahap rendah sahaja bagi seorang mekanik Cina yang keciciran semasa di sekolah rendah lagi dan di sekolah vernakular pula.
Akan tetapi ia tidak boleh sama sekali berlaku kepada seorang graduan Cina yang melalui sistem pendidikan negara sepenuhnya, untuk ikut mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang sedemikian.
Sehubungan kejadian itu, wanita itu dibela atas dalil bahawa pengetahuan bahasa Melayu bukan pun syarat untuk memohon pasport, apatah lagi memperbaharuinya. Ikut didalilkan ialah pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak dinafikan adalah tepat.
Akan tetapi, persoalan utama dalam kejadian itu adalah hubung kait moral, yakni prinsip, etika, dan emosi antara kefasihan dalam bahasa negara dengan kewarganegaraan yang dipegang.
Dalam hal ini, ia sebenarnya berkaitan dengan persoalan bagaimanakah seorang warganegara boleh tidak mempunyai pengetahuan, biarpun yang amat asas tentang bahasa negaranya.
Keadaan menjadi lebih buruk kerana ia masih berlaku setelah sekian lama penubuhan negara ini dan juga sudah begitu lama proses pembentukan negara bangsa berjalan untuk memupuk jati diri kebangsaan pada warganegara kita.
Sebenarnya kejadian itu hendaklah sama-sama diangkat untuk ditangani semua pihak tanpa mengira etnisiti sebagai isu nasional serius yang memerlukan perhatian serta penyelesaian tuntas lagi segera.
Ini kerana ia memperlihat bahawa kita telah gagal secara umumnya dalam proses pembentukan negara bangsa selama ini, dan khususnya pada sesetengah aspeknya, antaranya kecekapan berbahasa negara dalam kalangan warganegara sendiri.
Gejala kegagalan ini bukan sahaja amat nyata dengan kejadian itu dan banyak lagi yang lain, ia juga jelas memperlihat kualiti meleset warganegara kita, yakni tiada langsung kecemerlangan pada diri mereka selaku warganegara.
Sehubungan ini, hakikat dan taraf kewarganegaraan sesetengahnya bukan sahaja boleh dipertikai, malah boleh ikut dilucutkan jika terdapat peruntukan perundangan sedemikian, yang malangnya tiada.
Selanjutnya ialah persoalan bagaimanakah boleh ada pihak yang sangat mahu membela gejala ini dengan pemaparan fakta perundangan dan lain-lain.
LIBERAL
Ini dapat difahami kalau ia datang daripada etnik bukan Melayu yang secara umumnya tidak pernah pun mahu menerima bahasa Melayu dengan seadanya, walaupun ia bahasa negara ini yang penting sebagai identiti nasional bagi Malaysia dan identiti budaya bagi warganegaranya.
Apabila ia datang daripada etnik Melayu yang bahasa Melayu itu bukan sahaja bahasa ibunda mereka, juga bahasa etnisiti Melayu selain bahasa leluhur mereka, yang kini menjadi bahasa negara, ada sesuatu ataupun banyak perkara yang tidak kena.
Biarpun hanya seorang dua yang bertindak sedemikian, ia sebenarnya menafikan seluruh sejarah etnik Melayu yang ada pada setiap seorang etnik Melayu itu.
Etnik Melayu sepatutnya menjadi teladan baik kepada etnik bukan Melayu dalam soal nasionalisme linguistik bahasa Melayu, untuk sama-sama berasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara.
Dengan adanya pembelaan membabi buta ini tanpa mengambil kira dampak sosiobudayanya, dengan bersandarkan sistem perundangan negara pula, tetapi secara semu (bukan yang sebenarnya), ia bukan sahaja terus-terusan akan menggalakkan etnik bukan Melayu untuk tidak mengetahui bahasa Melayu dengan lebih baik.
Ia juga menafikan keberadaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, yang wajib didukung setiap warganegara di segenap pelosok tanah air. Tidak dapat dinafikan bahawa seorang dua etnik Melayu ini adalah yang berfikiran terlalu sangat liberal sehingga tidak dapat membezakan keperluan linguistik kenegaraan dengan hak linguistik peribadi.
Sebenarnya dengan adanya etnik Melayu yang sebegini, ia bukan sahaja akan menambahkan kerumitan isu linguistik ini kerana mereka memberitahu bukan menjadi apa-apa kesalahan perundangan pun untuk mana-mana warganegara tidak boleh berbahasa negara langsung.
Juga ia akan terus menggalakkan warganegara bukan Melayu untuk tidak memberi perhatian sewajarnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara kerana ia pertama-tamanya tidak pun diperlukan oleh perundangan.
Walaupun pengetahuan bahasa negara tidak diwajibkan harus ada pada setiap warganegara Malaysia secara perundangan, ia hendaklah difahami semua pihak sebagai kewajipan moral kita sebagai warganegara kepada negara ini. Gagasan Malaysia sebagai satu-sataunya tanah air kita hendaklah disokong kuat oleh semua pihak dengan usaha tekun untuk ikut menjayakannya pada sepanjang masa.
Antara caranya ialah dengan mengetahui bahasa negara dengan baik secara rela hati dan bukan sesekali setelah dipaksa. Inilah unsur kecintaan kepada negara yang bukan sahaja mudah dilakukan, juga wajib dilunaskan semua pihak untuk kebaikan bersama, yakni sebagai warganegara yang patriotik untuk negara yang tercinta. Inilah antara semudah-mudah selain sebaik-baiknya bakti kita sebagai warganegara kepada negara tercinta ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Konsert Ed Sheeran, bersediakah Stadium Nasional ‘dilanyak’ lagi?
- Mayat bogel ditemui dengan banyak kesan lebam
- Meerqeen bingung digelar ‘playboy’
- Ibu subahat beri suami rogol anak tiri
- 8 MP PN akan isytihar sokong PM – Syed Hussin
- Henti kongres bumiputera bukan kenyataan saya – Lian Ker
- Anwar berbeza dengan tiga PM sebelum ini – Zahid
- Mana ada Terengganu dianaktiri
- Tubuh pasukan bebas siasat dakwaan Ayob
- Sultan Johor tolak Hasni sebagai MB untuk tegakkan kuasa raja
- Sultan Ibrahim beri amaran akan ‘buru’ semua orang yang korup apabila dilantik sebagai Agong
- Sultan Ibrahim mahu Projek HSR yang diilhamkan Najib dikembalikan semula
- Ibu Danial Akmal akan ambil tindakan undang-undang kes buli di asrama ASiS
- Anak durjana tikam dan bunuh ibu bapa warga emas
- Tikam kepala, leher dan muka
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Notis jabatan kerajaan: ‘Jangan skandal dengan suami, isteri orang’