Suami isteri rugi lebih RM1.3 juta akibat penipuan pelaburan

KUALA LUMPUR – Suami isteri warga emas kerugian lebih RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan sebuah syarikat yang berpangkalan di ibu negara.

Abdul Fattah Yassin, 64, berkata, ketika individu lain menikmati usia senja dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga, dia pula perlu bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga.

“Tiada lagi simpanan, kosong, untuk bayar secawan kopi juga perit,” luah usahawan sebuah syarikat Perunding Geometik itu.

Menurut Abdul Fattah, dia bersama isterinya seorang pesara guru masing-masing melabur RM960,000 dan RM360,000 dengan syarikat itu pada pertengahan 2019, menggunakan wang pusingan modal perniagaan, wang persaraan dan simpanan.

Mereka kemudiannya menikmati pulangan dividen pelaburan tiga bulan pertama selepas melabur, sebelum menyedari telah ditipu apabila syarikat pelaburan itu menamatkan operasi dan gagal dihubungi.

“Saya telah terperdaya apabila gagal meneliti syarikat pelaburan ini dan percaya setelah melihat dokumen yang mencukupi serta dimaklumkan berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Saya juga kenal rapat dengan ejen pelaburan yang juga merupakan bekas pegawai bank. Beliau juga melabur dengan syarikat sama dan kami sama-sama terperdaya. Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku, perkara ini perlu diambil serius oleh pihak berkenaan,” katanya.

Abdul Fattah ditemui pemberita selepas menyerahkan surat permohonan bagi mendapatkan maklum balas perkembangan semasa siasatan melibatkan hampir 400 mangsa penipuan pelaburan bersemuka bernilai lebih RM140 juta di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ di sini hari ini.

Surat perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah berhubung skim pelaburan meragukan tersebut diserahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim kepada Ketua Unit Siasatan Kad Elektronik JSJK Supt Nooranita Ismail.

Seorang lagi mangsa Harun Mohd Yunos, 63, berkata, dia dan isteri kerugian hampir setengah juta ringgit setelah melabur dengan syarikat pelaburan itu pada Oktober 2022 kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

“Saya labur RM250,000 dan isteri melabur RM250,000 menggunakan wang persaraan kami selaku pesara penjawat awam. Kami menerima pulangan dividen enam bulan pertama sebelum syarikat itu lesap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan telah menerima surat permohonan berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan. – Bernama

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

FD3: ‘Wahab’ jadi usikan Mas Idayu

GV10: Liza Hanim dapat ‘5M’ daripada Hetty Koes Endang

FD3: Syarif dan Syaiful juara minggu ke enam

GV10: Noryn Aziz tersingkir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker