Muhyiddin mohon mahkamah lepas pasport antarabangsa yang disekat
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta, memfailkan permohonan untuk pasportnya dilepaskan tanpa syarat.
Permohonan Ahli Parlimen Pagoh berusia 76 tahun itu didahului dengan permintaan bertulis yang dibuat pada 29 Sept memohon persetujuan pendakwa raya berhubung perubahan syarat jaminannya, termasuk pelepasan dokumen perjalanan.
“Sehingga hari ini, pihak pendakwa raya tidak menjawab surat saya,” katanya dalam permohonan yang difailkan peguam cara Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi Rabu depan. Difahamkan bahawa pihak pendakwaan bercadang membantah permohonan itu.
Muhyiddin berkata, dia memperlukan dokumen perjalanannya agar dapat pergi bercuti bersama ahli keluarga.
“Menjadi kebiasaan saya membawa ahli keluarga bercuti selama sebulan,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.
Presiden Bersatu itu berkata, dia mahu bercuti di United Kingdom, sambil menambah, ini tahun yang penuh tekanan bagi dirinya dan keluarganya.
Tambahnya, dia sudah menempah tiket penerbangan memandangkan terdapat permintaan tinggi bagi perjalanan ke UK.
Selain itu, katanya, dia juga memerlukan pasport untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Singapura.
Muhyiddin berkata, menurut peguamnya, wang jaminan RM2 juta yang dibayarnya pada 10 Mac lepas hanya bertujuan memastikan dia hadir di mahkamah.
Katanya, tiada risiko untuk dia lari kerana dia Ahli Parlimen selain mempunyai keluarga dan aset di negara ini.
Dia berkata, Mahkamah Sesyen pada 10 Mac juga menghendakinya menyerahkan dokumen perjalanan sementara menunggu selesainya perbicaraan tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021, serta tuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, katanya, terdapat perubahan material dalam keadaan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada kesalahan predikat salah guna kuasa.
Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Hussin berkata, tuduhan itu tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui dalam undang-undang dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin menyediakan pembelaan.
Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam permohonannya, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, pembebasannya mewajarkan perubahan bon jaminan.
Katanya, tuduhan salah guna kuasa juga berkait rapat dengan tuduhan pengubahan wang haram.
Awal bulan ini, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Dia memohon Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas alasan tuduhan yang dikemukakan terhadapnya “tidak berasas”.
Mahkamah masih belum menetapkan tarikh permohonan itu akan didengar.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Pas tak akan masuk tong najis, Hadi tolak pelawaan Anwar
- Menantu dari neraka, sanggup heret ibu mertua keluar dari rumah [VIDEO]
- Noorkhiriah minta bersangka baik pada golongan selebriti yang ‘menikus’ isu Palestin
- Keputusan Putrajaya jadikan EV kenderaan rasmi dibidas
- Lelaki Hindu terharu dapat nota daripada imam, ajak jumpa di Palestin
- Pejuang Hamas bukan mudah dikalahkan IDF
- Bagus cara Rafidah Ibrahim sampaikan ilmu agama (Video)
- Punca Siti Jamumall bercerai
- Shila Amzah halau kekasih Syafiq keluar banglo miliknya
- Baby Shima perjelas letak bendera Israel di pipi
- Pelaku rakam saya sedang mandi – Sara Daewoo
- Ini kenapa Mesir, Jordan enggan terima pelarian Palestin
- Sedan baharu PROTON bakal saingi Honda City dan Toyota Vios
- Naqiu jangan galak bersentuhan, contohilah Tomok
- Awal Ashaari disindir takut hilang ‘job’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.