Putin tuduh Amerika cetus huru-hara di Asia Barat

Putin tuduh Amerika cetus huru-hara di Asia Barat

Presiden Russia, Vladimir Putin, menuduh Amerika Syarikat (AS) mengeruhkan lagi kemelut di Asia Barat dengan menghantar kumpulan kapal induk pesawat udara ke rantau itu.

Beliau mendakwa ‘penyelesaian secara tolak ansur’ diperlukan dan berharap kebijaksanaan berunding akan diutamakan.



Bercakap pada persidangan tenaga di Moscow, Putin turut memberi gambaran ledakan keganasan Israel dan Palestin sebagai contoh jelas kegagalan dasar AS di Asia Barat, selain menyifatkan ia tidak mengambil kira keperluan rakyat Palestin.

Beliau berkata tindakan AS yang turut dikecam hebat oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kelmarin, adalah suatu kesilapan besar kuasa Barat itu.

“Saya tidak faham mengapa AS mengheret kumpulan kapal induk pesawat udara ke Laut Mediterranean dan kurang faham maksud mereka. Adakah AS akan mengebom Lubnan atau cuba menakutkan seseorang?

“Ada pihak di sana yang tidak lagi takut kepada apa-apa lagi. Ini bukan kaedah untuk menyelesaikan masalah. Penyelesaian bertolak ansur perlu dicari. Pastinya tindakan AS hanya menghangatkan lagi keadaan,” katanya.



Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, berkata AS sedang memindahkan kumpulan penyerang kapal induk pesawat udara, termasuk USS Gerald R Ford, lebih dekat dengan Israel susulan serangan mengejut pejuang Hamas ke atas regin Zionis itu Sabtu lalu.

Erdogan menyifatkan, sekatan dan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai tindakan balas tidak seimbang terhadap serangan Hamas, yang menyumbang kepada ‘pembunuhan beramai-ramai’ penduduk Palestin.

Beliau dan Menteri Luarnya menggesa kuasa serantau, AS dan pelbagai lagi menyertai tawaran Ankara sebagai pihak pengantara, namun utusan Israel ke negara itu menegaskan masih terlalu awal bagi membincangkan sebarang rundingan.

Bercakap kepada Parti AK di Parlimen, Erdogan berkata ‘prinsip moral’ dalam peperangan dicabuli dengan ‘sangat teruk’ menerusi lonjakan serangan sejak hujung minggu.



Beliau mengkritik serangan ‘tidak seimbang’ Israel ke atas Gaza dan menyifatkannya sebagai ‘tiada asas etika’ serta menggesa dunia tidak memihak secara ‘membuta tuli’, selain memberi amaran konflik baharu lebih ganas akan berlaku jika isu asas tidak diselesaikan.

“Kami menyeru negara di Amerika, Eropah, dan kawasan lain menyokong pihak yang adil, saksama, serta berpandukan keseimbangan kemanusiaan.

“Semua pihak perlu mengelak tindakan yang akan menghukum rakyat Palestin habis-habisan, seperti menyekat bantuan kemanusiaan,” katanya.

Sebelum ini, Israel berikrar untuk membalas dendam terhadap pejuang Hamas susulan serbuan merentasi sempadan yang mengorbankan ratusan warganya Sabtu lalu, selain Hamas berterusan melancarkan roket ke Israel, termasuk serangan di selatan Ashkelon, semalam.



Rentetan itu, Israel menyekat bekalan makanan, air, bahan bakar dan ubat ke wilayah didiami 2.3 juta penduduk Palestin dan satu-satunya laluan masuk dari Mesir ditutup kelmarin, selepas serangan udara berhampiran sempadan.

Israel menggerakkan 360,000 anggota pasukan simpanan dan dilihat berkemungkinan melancarkan serangan darat ke atas Gaza, selain kerajaan Zionis itu berada dalam tekanan bagi menumpaskan Hamas yang memerintah wilayah itu sejak 2007 serta kekal mengawalnya menerusi empat peperangan terdahulu.

Bapa, abang dan sekurang-kurangnya dua lagi saudara pemimpin bayangan tentera Hamas iaitu Briged al-Qassam, Mohammed Deif, maut susulan serangan udara Israel di rumahnya di bandar selatan Khan Younis, kata pegawai kanan Hamas, Bassem Naim.

Mohammed bagaimanapun tidak pernah dilihat di khalayak awam dan kedudukannya juga tidak diketahui.



Risiko konflik serantau dilihat semakin meluas susulan kes berbalas tembakan di sempadan utara Israel dengan pejuang di Lubnan dan Syria. BH

Putin tuduh Amerika cetus huru-hara di Asia Barat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Kahwin wanita Kazakhstan tak perlu wang hantaran – Fadlan Hazim

Adik lelaki bongkar Shila Amzah jual rumah sebab duit

Jangan nanti malaikat maut pun kau maki

GV10: Sah Elly Mazlein undur diri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker