Durian Kura-Kura unik berbuah di batang, pangkal

Durian Kura-Kura unik berbuah di batang, pangkal

Penggemar durian tempatan di Sarawak kini ‘berpesta’ apabila Raja Buah itu melambak di pasaran sejak lebih sebulan lalu.

Namun ketika orang ramai berebut-rebut membeli durian pelbagai variati yang dijual pada harga rendah, ada yang mungkin tidak mengetahui malah tidak pernah melihat sejenis durian yang dikenali sebagai ‘durian kura-kura’ yang hanya ditemui di utara Sarawak, khususnya Limbang dan Miri.



Durian kura-kura unik kerana ia berbuah di batang dan pangkal pokok, tidak seperti durian lain yang berbuah di dahan.

Penduduk Kampung Tanah Paya Langkap, Limbang, Sukirny Mokti, 39, berkata durian unik itu mendapat namanya kerana kedudukan buahnya di pangkal sehingga mencecah tanah.

“Asal usul durian itu digelar durian kura-kura oleh penduduk tempatan di Limbang ini ialah kerana kedudukan buahnya yang rendah, bukan seperti dakwaan yang mengatakan bau durian itu seperti bau kencing kura-kura.

“Dakwaan itu memang jauh lari dari fakta kerana yang sebenarnya penduduk tempatan memberi gelaran itu sebab buahnya berada di kedudukan rendah sehingga kura-kura pun boleh mencapainya,” katanya ketika dihubungi.



Sukirny berkata, satu lagi keunikan durian kura-kura ialah rasa dan teksturnya yang berbeza dengan durian biasa.

Katanya, durian kura-kura mempunyai rasa dan identiti yang tersendiri yang apabila matang tekstur durian itu seperti buah nangka, sedikit berair dan manis seperti cempedak atau nangka tetapi jika dipetik ketika belum cukup matang rasanya seperti kubis manis.

“Saiz ulasnya dan susun atur ulasnya hampir dengan buah pakan (sejenis durian di Sarawak yang isinya berwarna jingga) cuma isinya berwarna putih.

“Saiz buah serta biji durian kura-kura berwarna hampir sama seperti biji buah pakan (biji berwarna coklat),” katanya.



Beliau berkata, durian kura-kura perlu dipetik kerana buahnya tidak luruh seperti durian biasa dan cara mengetahui buah cukup matang ialah dengan mengetuk kulitnya.

“Ia sama dengan cara mengetahui buah nangka atau cempedak yang sudah matang usianya sebelum dipetik,” katanya.

Beliau berkata, durian kura-kura berbuah sama musim dengan durian lain dan pemiliknya perlu kerap menjenguk kerana bimbang kedudukan yang rendah menyebabkan buahnya diganggu pelbagai haiwan liar selain tupai atau kera.

Mengulas lanjut, Sukirny berkata, dalam masyarakat Bisaya di Limbang, durian terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu ‘Lampun’ iaitu durian biasa, ‘Lalit’ iaitu sejenis durian kuning dan yang ketiga ‘Dedaan’.



“Dedaan itu pula ada dua jenis iaitu durian Pakan dalam kategori “Deda’an Sawat” kerana ia berbuah di dahan, manakala durian kura-kura pula adalah “Deda’an Ser’iba” kerana buahnya di pangkal pokok,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak dapat dipasti dari mana asal usul durian kura-kura dan mengapa ia hanya ditemui di utara Sarawak khususnya di Limbang dan Miri.

“Pokok yang ada sekarang kebanyakannya diwarisi daripada generasi terdahulu dan kemungkinan spesies durian kura-kura adalah spesies durian liar.

“Adalah dipercayai durian itu ditemui oleh nenek moyang kami masyarakat Bisaya ketika mereka membuka hutan untuk tanaman padi huma pada zaman dahulu dan kemudiannya mengambil biji durian itu untuk ditanam,” katanya.



Katanya, berikutan keunikan durian itu ramai yang cuba menanamnya, namun boleh dikatakan 90 peratus tidak menjadi.

“Ia mungkin disebabkan faktor cuaca mahupun pengaruh tanah dan alam sekitar yang membuatkan durian sukar untuk hidup.

“Faktor itu mungkin yang menyebabkan durian kura-kura hanya ditemui utara Sarawak khususnya di bahagian Limbang,” katanya. BH

Durian Kura-Kura unik berbuah di batang, pangkal



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Noor Nabila, Engku Emran sah bakal bercerai

Malu apa Ketua Pembangkangku

Bakal suami Puteri Sarah?

Nelissa trauma diraba di set penggambaran

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker