BN sedang berundur ke belakang dalam menyusun strategi mengatur calon PRN – Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan semua wakil UMNO untuk bertanding di 107 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), menamakan 63 peratus calon muka baharu.

Parti itu hanya mengekalkan 18 peratus penyandang kerusi sebelum DUN dibubarkan Jun lalu, selain langsung tidak menamakan calon mewakili parti komponennya, MCA dan MIC yang memutuskan tidak bertanding pada PRN 12 Ogos depan.Baki 20 peratus lagi adalah calon pernah bertanding pilihan raya umum (PRU) tahun lalu, tetapi tewas dan mahu menawarkan semula diri mereka untuk dipilih rakyat. UMNO bakal bertanding 108 kerusi, namun pengumuman calon bagi DUN Tanjung Dawai di Kedah ditangguhkan.

Pemimpin UMNO dan veteran parti melihat senarai diumumkan itu sebagai kombinasi terbaik untuk menghadapi PRN, menunjukkan kepada pengundi bahawa UMNO mampu berkhidmat dengan baik melalui gandingan pemimpin berpengalaman membantu pemimpin baharu.

Namun, penganalisis politik berpandangan keputusan mempertaruhkan 63 peratus muka baharu, sebahagian besarnya bukan dalam kalangan anak muda sebagai strategi berisiko dan berliku dalam menarik sokongan pengundi muda yang dikatakan bakal menjadi penentu pada PRN bulan depan.



Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, gabungan calon berpengalaman dan baharu dapat memperkuatkan parti dalam berdepan PRN dan yakin dapat membawa kemenangan.

“Kita mempunyai keyakinan terhadap perjuangan kita dan kita sedar apa yang hendak kita lakukan. Insya-Allah, banyak kawasan (DUN) kita sudah ada pengalaman. Ada yang memang kita tahu mudah menang, ada juga yang kita bakal hadapi tentangan,” katanya pada sidang media selepas Program UPSI ‘Smart Home Schooling Tuition’ Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023, di sini semalam.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata senarai calon diputuskan pimpinan parti seperti diumumkan malam kelmarin adalah kombinasi terbaik untuk menghadapi PRN ini.

“UMNO tak mampu membariskan semua muka baharu untuk ganti tempat 20 peratus calon yang kalah pada PRU15. Yang kalah itu juga wajar diberi peluang untuk menguji nasib pada PRN ini.



“Lagi pun UMNO perlu kombinasi orang lama dan orang baharu dalam pentadbiran bersama rakan-rakan dalam PH (Pakatan Harapan) nanti. Terserahlah kepada mereka untuk membuktikan mereka paling layak melawan calon parti lawan dan meraih kemenangan,” katanya.

Mengenai pemilihan isteri dan anak bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, berkata mereka dipilih atas dasar jawatan masing-masing dalam parti, bukan soal calon anak-beranak.

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan bakal bertanding di DUN Juasseh, manakala anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Mohd Najib yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson di DUN Bagan Pinang.

Enam negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu bakal melangsungkan PRN pada 12 Ogos depan dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.



Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam melihat formula BN mempertaruhkan 63 peratus calon muka baharu, kombinasi agak baik, mengambil kira perancangan jangka panjang parti itu untuk menyediakan pemimpin pelapis.

“Strategi seperti ini dapat dinilai dari dua sudut. Pertama, apabila pengumuman dibuat lebih awal, sekali gus menolak persepsi bahawa BN parti yang telah ditinggalkan dan sukar untuk meletakkan calon kerana sudah tidak menjadi pilihan rakyat.

“Selain itu, tekanan dan perselisihan dalam parti antara calon juga sempat dan dapat dikawal sebelum berlarutan panjang, parti dan akar umbi boleh menumpukan kepada satu calon untuk dimenangkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melihat pencalonan semula pemimpin yang pernah kecundang pada PRU15 bertentangan dengan konsep WALI, iaitu ‘boleh menang, diterima dan disukai’.



Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandangan keputusan BN menamakan 63 peratus calon muka baharu menarik kerana ia dianggap tawaran baharu oleh parti itu.

“Muka lama dan penyandang masih diberikan peluang, tetapi hanya peratusan kecil. Diharapkan muka baharu boleh membawa pembaharuan dalam BN.

“Yang kalah masih diberikan peluang barangkali kerana masih mempunyai pengaruh tersendiri dan boleh menggerakkan jentera parti. Namun, calon ini perlu beradaptasi dengan trend dan kemahuan politik dan pengundi semasa,” katanya.

Namun, bagi Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, beliau melihat BN gagal mengambil pengajaran daripada PRU15 dan enggan meremajakan parti dengan menampilkan lebih ramai calon muda.



“Saya berpandangan BN sedang berundur ke belakang dalam menyusun strategi mengatur calon PRN ini. Saya jangka anak muda akan menjauhkan diri daripada BN akibat tindakan ini yang bukan strategi berkesan.

“Saya lihat nama seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai calon kitar semula yang membebankan BN, malah mereka pernah tewas dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Senada dengan Tawfik, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata mereka yang tewas dan dicalonkan semula untuk PRN bulan depan perlu membuktikan kepada parti bahawa mereka masih diterima akar umbi.

Katanya, sebahagian pemimpin yang dicalonkan memegang peranan besar dalam parti, namun jika gagal dalam taruhan kali ini, sudah tentu ia memberi kesan terhadap kelangsungan politik diri serta parti sendiri.



“Walaupun ramai calon muka baharu, anak muda kurang ditampilkan. Saya rasa ini berisiko untuk tarik sokongan anak muda. UMNO perlu beri pencerahan, penjelasan di peringkat setempat, apa rasional dan strategi itu supaya ia boleh diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Kalau kita lihat calon lama, termasuk yang kalah PRU lalu seperti Mahdzir, Reezal Merican dan Megat Zulkarnain, yang dicalonkan semula, ini mungkin kerana mereka memegang jawatan penting dalam parti.

“Bagi pencalonan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Jalaluddin (Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin) pula, ia mungkin satu strategi,” katanya.

Katanya, Mohamad yang juga penyandang kerusi DUN Rantau mempunyai populariti sendiri dalam meyakinkan pengundi di Negeri Sembilan berbekal rekodnya sebagai Menteri Besar sebelum ini

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia Suka Aksi Ganas & Minta Banyak Kali Sehari – Lucinta Luna

Perubahan wajah Rina Harun jadi bualan, dagu makin pelik

Wanita Mengadu Ebit Lew ‘Stop’ Bayarkan Rumah Sewa Hingga Dihalau

Kulit Kalis Api Neraka Ke? Sharifah Sakinah Diperli Netizen

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker