Hijrah bermula diri sendiri

Hijrah bermula diri sendiri

oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Masa berlalu dengan pantas. Kita sudah menjengah ke tahun baru 1445 hijriah. Perubahan tahun demi tahun akan dikaitkan dengan hijrah dan perubahan. Hijrah lokasi sudah tidak dianggap utama seperti zaman Rasulullah SAW, tetapi sikap dan perubahan menjadi prioriti. Dalam hidup, setiap orang pasti pernah melakukan kesilapan dan dosa. Akan tetapi sebagai orang yang beriman, kita mesti berusaha untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Allah SWT juga tidak akan mengubah keadaan hamba-Nya sehingga dia berusaha untuk mengubah dirinya. Oleh itu, sementara masih diberi peluang untuk hidup di dunia ini, segeralah kita berhijrah sebelum terlambat. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11). Ada beberapa cara untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Antaranya ialah:



Keazaman dan niat yang jitu

Jika anda ingin mengubah diri ke arah kebaikan, sudah tentu anda perlu mempunyai keazaman yang kuat. Segalanya boleh berlaku kerana kehendak. Jika tidak ada kemahuan maka semua akan tinggal angan-angan. Oleh itu, mulakan perubahan segera. Yakinkan diri anda bahawa anda boleh mengatasi semua halangan. Jangan berputus asa dan percayalah bahawa rahmat Allah kepada hamba-Nya itu sangat luas. Allah berfirman lagi: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69)

Perubahan yang anda inginkan haruslah bermula dengan niat yang baik dan ikhlas. Matlamatnya mestilah kerana Allah. Setiap yang dimulakan dengan niat ikhlas, insya-Allah baik hasilnya. Sebaliknya, jika niat anda adalah kerana manusia, ia hanya bertahan sementara. Rasulullah SAW bersabda: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Jika rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah bahawa (segumpal daging) adalah hati. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Merentas cabaran dengan bersungguh-sungguh



Untuk merealisasikan segala-galanya, sudah tentu usaha diperlukan. Anda ingin kaya maka anda perlu bekerja keras. Jika mahu tingkatkan iman, anda perlu mendalami ilmu agama. Jika anda ingin berhenti merokok contohnya, maka anda perlu mengelakkannya. Segalanya memerlukan usaha dan kekuatan! Mesti ada tindakan, bukan sekadar cakap kosong dan angan-angan. Virus malas memang sukar diubati. Sebut sahaja perkataan negatif ini anda tidak akan mendapat apa-apa. Pemalas kawan baik syaitan. Malas juga akan membuang masa dengan sia-sia. Anda hanya akan mendapat kesenangan seketika, selepas itu anda menyesal. Oleh itu, jangan terbuai dengan kemalasan. Lawan kemalasan dan cuba menjadi orang yang bekerja dengan bersungguh-sungguh. Allah berfirman: “Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.” (Ali Imran: 159)

Ibadah utama usah diabaikan

Ini adalah perkara penting jika anda ingin berubah menjadi orang yang lebih baik. Anda mesti memperbanyakkan ibadah wajib dan sunat terutama solat fardu dan sunat. Jangan biarkan urusan dunia melalaikan anda daripada mengingati Allah. Jika ibadat anda tunggang langgang, kesannya anda tidak akan mendapat ketenangan hidup. Hidup rasa sukar dan rezeki susah untuk menyinggah. Beribadah dengan khusyuk ialah cara untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-zariyat :56)

Mencari motivasi



Biasanya sesuatu yang dilakukan secara berterusan tanpa henti boleh menimbulkan kebosanan. Itu sebabnya, anda memerlukan motivasi. Motivasi boleh membangkitkan semangat dalam diri. Justeru, anda boleh bekerja dengan lebih kuat untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik. Untuk mendapatkan motivasi, anda boleh menghadiri ceramah, membaca al-Quran, buku, menonton video di YouTube. Jika kita ada pasangan hidup itu juga boleh menjadi perangsang buat kita menjadi insan yang lebih baik.

Keluar dari zon selesa

Untuk mengubah diri anda menjadi lebih baik, anda tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa anda. Anda perlu mempunyai keberanian untuk melangkah keluar dan mencuba perkara baru. Lebih-lebih lagi jika zon anda sekarang tidak betul. Carilah persekitaran yang baik, di mana anda boleh berkumpul dengan orang-orang yang soleh dan mempunyai semangat yang positif. Tempat yang membawa ketenangan jiwa. Jangan takut untuk menghadapi perkara baru. Hadapinya dengan penuh kebaikan dan jiwa yang baru.

Bergaul dengan orang baik



Kadang-kadang agak sukar jika anda terpaksa mengubah diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Kerana fitrah manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, kita tidak mampu hidup bersendirian. Oleh itu, cari kawan yang boleh mengajak perkara kebaikan. Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi daripada penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap.” (Riwayat al-Bukhari)

Lipatgandakan Kesyukuran

Bersyukur mudah disebut, tetapi sukar untuk dipraktikkan. Segelintir orang akan bersyukur hanya apabila mendapat nikmat yang besar atau banyak. Sepatutnya kita mesti menjadi orang yang bersyukur setiap hari kerana kita masih diberikan peluang hidup di dunia ini dan menambahkan amalan kebaikan. Jadi, berhenti mengeluh tentang kehidupan. Berhenti membandingkan hidup anda dengan orang lain. Al-Quran menjelaskan: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu berfirman; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7) dan Allah berfirman lagi: “Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan sesiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Luqman: 12)

Jadilah orang yang suka menolong orang lain



Perkara ini sangat penting. Jika anda ingin menjadi lebih baik dan kehidupan kita lebih mudah, maka rajin-rajinlah berbuat baik kepada orang lain. Lakukan lebih banyak untuk membantu orang yang memerlukan. Tidak semestinya dengan wang ringgit, mungkin melalui doa kita seharian. Jika anda sering menolong orang lain, maka apabila anda dalam kesusahan orang lain akan menolong anda. Begitu juga apabila anda mendoakan orang lain, para malaikat juga mendoakan yang sama untuk anda. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang mukmin itu mesra dan tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak mesra. Dan sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat at-Thabrani)

Justeru, marilah kita sama-sama berubah ke arah kebaikan bermula daripada diri sendiri. Perubahan mesti bermula daripada anda. Tiada siapa akan mengubah anda. Anda yang menentukannya. HM

Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Hijrah bermula diri sendiri



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia Suka Aksi Ganas & Minta Banyak Kali Sehari – Lucinta Luna

Perubahan wajah Rina Harun jadi bualan, dagu makin pelik

Wanita Mengadu Ebit Lew ‘Stop’ Bayarkan Rumah Sewa Hingga Dihalau

Kulit Kalis Api Neraka Ke? Sharifah Sakinah Diperli Netizen

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker