Sebab utama kita terlebih belanja

Sebab utama kita terlebih belanja

KALAU anda sering kehabisan duit di hujung bulan, ada dua sebab utama ia berlaku: anda punya pendapatan yang rendah atau anda sering terlebih belanja.

Hal pendapatan kita bincang di artikel lain tapi dalam artikel ini, Relevan mahu senaraikan punca utama kita sering terlebih belanja.

Terlebih belanja ini bahaya. Kadang-kadang pada awal bulan, waktu baki akaun bank ada berangka-angka, kita sering lalai dalam berbelanja. Akhirnya pada hujung bulan, barulah datang rasa menyesal.

Jadi, untuk mengelakkan ia sering berlaku, kita ambil tahu dahulu punca-punca utamanya. Selepas tahu punca, baru boleh mula ambil tindakan.

Senarai ini seperti yang dikongsi portal Current. Awasi sebab-sebab yang disenaraikan ini untuk menambah baik pengurusan kewangan peribadi kita.

Pembelian impulsif

Pembelian impulsif bermaksud keputusan perbelanjaan yang dibuat tanpa perancangan awal. Dalam satu kajian di Amerika Syarikat (AS) pada 2012, didapati 76 peratus pembeli membuat keputusan pembelian ketika berada di kedai.

Tanpa rancangan perbelanjaan setiap kali ke pasar raya dan kedai-kedai, kita cenderung membeli lebih berbanding yang diperlukan.

Logiknya mudah. Kalau rancang pembelian lebih awal, anda ada masa yang cukup untuk fikirkan keperluan pembelian itu. Kita fikirkan baik buruknya, berbaloi atau tidak harganya dan lebih baik lagi, kita boleh buat perbandingan harga antara jenama.

Kalau di kedai baru fikir nak beli atau tak, maknanya kita buat keputusan secara terburu-buru dan drastik. Ia tidak sihat untuk kewangan anda.

Tiada belanjawan

Belanjawan membantu kita menyusun perbelanjaan mengikut keutamaan dan keperluan. Tanpa belanjawan, perbelanjaan kita kucar-kacir.

Orang yang berbelanja mengikut belanjawan tahu berapa wang yang mereka sediakan untuk makanan, hiburan dan komitmen bulanan.

Tanpa belanjawan, kita mungkin menghabiskan terlalu banyak wang untuk perkara yang tidak utama, seterusnya terpaksa berbelanja lebih untuk memastikan kehidupan berjalan dengan lancar.

Akhirnya, simpanan entah ke mana, komitmen tertunggak dan kita hidup dalam timbunan hutang yang membebankan.

Menggunakan kredit

Kad kredit dan perkhidmatan bayaran ansuran atau beli sekarang bayar kemudian (BNPL) ada kebaikannya sendiri. Namun, jika kita culas mengurus dan kurang berdisplin, ia bahaya untuk pengurusan kewangan peribadi.

Ada beza antara berbelanja menggunakan kad kredit dengan wang tunai. Secara psikologi, berbelanja dengan wang tunai memberikan anda perasaan ‘sengsara membayar’ (the pain of payment).

Anda lihat berapa keping wang yang dikeluarkan, anda tahu berapa keping pula yang tinggal dalam dompet. Ia secara semula jadi membuat anda lebih berhati-hati apabila berbelanja.

Berbeza dengan kad kredit atau membayar secara ansuran. Anda ‘menangguhkan sengsara’, menyebabkan anda seronok berbelanja tanpa menghadapi akibatnya secara terus.

Akhirnya, anda terlebih belanja.

Mengambil mudah perbelanjaan kecil

Kita sedar berapa yang dibelanja untuk ansuran rumah atau kereta setiap bulan kerana jumlahnya besar. Begitu juga kalau mahu beli telefon pintar atau perabot, kita berhati-hati mengira bajet.

Tapi untuk bayaran platform penstriman, beberapa cawan kopi hipster, kos penghantaran makanan atau pakej upgrade permainan video dalam talian – ini yang bahaya.

Jumlahnya kecil tak sampai tiga angka, jadi kita tenang berbelanja. Sedangkan setelah dikumpul-kumpul, ia boleh mencecah ratusan, kalau tidak ribuan ringgit setiap bulan.

Maka perhatikan ‘perbelanjaan kecil’ anda. Takut kalau yang disangka busut sebenarnya gunung.

Tidak cukup simpanan

Simpanan yang tidak mencukupi merisikokan kewangan kerana dalam kecemasan, anda terpaksa meminjam atau menggunakan kad kredit.

Baik kerosakan kereta, masalah kesihatan, membaiki rumah atau masalah keluarga, ia boleh diatasi dengan baik sekiranya anda mempunyai jaringan keselamatan kewangan yang mencukupi dalam bentuk simpanan.

Sebaliknya, tanpa simpanan, anda perlu berbelanja lebih untuk bayaran faedah pinjaman atau caj lewat bayar kad kredit.

Tekanan sosial

Tak semua rakan-rakan mempunyai keselesaan kewangan yang sama dengan kita, dan tak semua mereka juga faham kesempitan kewangan yang kita alami.

Ada masanya, demi menjaga hubungan baik dengan kawan-kawan, kita terpaksa berbelanja lebih dalam aktiviti sosial. Kesukaran untuk menolak pelawaan ini akhirnya menyebabkan pengurusan kewangan jadi huru-hara.

Ini termasuk tekanan untuk mempunyai pakaian yang mahal-mahal, melepak di kafe hampir setiap malam dan menghadiri konsert-konsert artis antarabangsa.

Melazimkan hutang

Mungkin pada zaman ini, mempunyai hutang itu sudah jadi kelaziman. Siapa saja yang mampu bayar tunai untuk beli kereta, rumah atau biaya pendidikan?

Untuk hal yang tidak boleh dielakkan, kita perlu berhutang tetapi untuk hal yang boleh dikawal, elakkanlah hutang.

Kelaziman berhutang mempengaruhi fikiran untuk berbelanja lebih. Kita tidak takutkan komitmen hutang kerana ia boleh ditangguh-tangguh dan disebarkan kepada komitmen kecil setiap bulan.

Namun, masa hadapan tiada siapa yang tahu. Dengan komitmen hutang yang tinggi, kewangan kita jadi sempit dan tidak fleksibel. Apabila ada kecemasan, sudah tidak banyak ruang untuk menampung beban kewangan akibat kecemasan tersebut. Relevan

Sebab utama kita terlebih belanja

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan ingat kau ‘power’ sangat – Adlin Aman Ramli

Abby gaduh dengan Norman? (Video)

Tan Sri kenapa terasa – Aliff Syukri

Konvoi ‘supercar’ tular halang lalu lintas disaman polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker