Mawi, FBI buat kejutan untuk Bell

Mawi, FBI buat kejutan untuk Bell

Demam kemenangan pelakon dan pelawak, Bell Ngasri sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 masih belum reda apabila terus terima undangan untuk sesi temu bual bagi berkongsi kejayaannya itu.

Antara sesi temu bual yang menjadi perhatian warganet ketika Bell berkunjung ke konti radio Zayan, baru-baru ini.



Apa yang menarik, bukan sahaja Bell yang membawa trofi ke konti, malah perkara sama turut dilakukan tiga penyampai radio Zayan Pagi iaitu Mawi, Faizal Ismail (FBI) dan Anas Tahir.

Aksi mereka menayangkan trofi dilihat menerusi hantaran dibuat Bell dalam Instagram (IG).

Berkongsi perkara itu, Mawi berkata, idea membawa trofi ABPBH ke konti untuk memberi kejutan kepada Bell.

“Idea bawa trofi ke konti timbul apabila mengundang Bell untuk menjadi tetamu slot pagi. Kami fikir kenalah ada bahan kandungan berbeza dengan apa yang pernah dipaparkan stesen radio lain.



“Kami mahu menjadikan segmen ini lebih menarik. Secara kebetulan, FBI pernah dapat trofi ABPBH dan saya juga pernah dapat. Jadi, dari situ timbul idea untuk bawa trofi masing-masing ke konti.

“Selain itu, kami juga ingin buat kejutan pada Bell. Kejutan memang terjadi kerana Bell tidak sangka yang kami angkut trofi kemenangan ABPBH ke konti.

“Tak sangka pula video yang kami kongsi itu menjadi tular,” kata Mawi sambil tertawa.

Tambah Mawi, apabila membawa trofi secara tidak langsung ia mengimbas semula ingatan kepada momen yang pernah dilalui 15 tahun lalu.



“Bila tengok semula trofi yang saya menang, banyak momen manis yang saya ingat. Rasa seronok kerana sekurang-kurangnya pernah mengecapi saat ini walaupun sudah lebih sedekad berlalu.

“Banyak juga perubahan berlaku dari zaman kegemilangan saya hingga sekarang. Kalau kita lihat, trofi Bell diperbuat daripada piuter, manakala trofi saya daripada plastik.

“FBI masih beruntung kerana berpeluang memegang trofi diperbuat daripada piuter dan plastik,” cerita bekas pemenang Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali ini.

Sementara itu, FBI atau nama sebenarnya, Faizal Ismail ini berkata, tujuan membawa trofi untuk meraikan kejayaan yang dirangkul pelakon yang terkenal dengan watak Barkoba dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa ini.



“Selepas menang, jadual Bell sangat padat dan sudah ditemubual banyak stesen radio. Apabila kami berjaya jemput Bell menjadi tetamu, kami kena fikirkan apakah kelainan yang mahu dibuat untuk pastikan sesi ini memberi impak.

“Saya dan Mawi kemudiannya diminta membawa trofi ABPBH untuk bersama meraikan kejayaan Bell. Mawi pernah menang sembilan trofi termasuk tiga trofi Bintang Paling Popular, manakala saya menang enam trofi Penyampai Radio Lelaki Popular.

“Selain itu, trofi ini membawa mesej, setiap orang ada rezeki masing-masing. Kalau menang hari ini, ada juga artis lain yang pernah menang dan begitulah seterusnya,” ungkapnya.

Sementara itu, Faizal yang juga bekas penyampai Hot FM ini menyifatkan kemenangan Bell mencipta fenomena baharu dalam acara anugerah berprestij itu.



“Kemenangan Bell membuka mata banyak pihak. Bila bersetuju datang ke konti, kami teruja kerana kemenangannya hangat diperkatakan. Bermula pencalonan hingga kempen undian, Bell seolah-olah wakil rakyat.

“Benda ini menjadi satu fenomena baharu. Kejayaan Bell secara tidak langsung membuatkan saya dan Mawi terimbau semula momen kemenangan. Disebabkan itu, kami merancang membawa trofi bersama sebagai satu kejutan untuk meraikannya,” ungkapnya.

Pada malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni, Bell diumumkan sebagai Bintang Paling Popular pada 21 Julai lalu.

Terdahulu, pada acara berprestij yang disiarkan secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) oleh TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri turut merangkul trofi Artis Komedi Popular. BH



Mawi, FBI buat kejutan untuk Bell

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker