Doa pengubat rindu kepada Daddy – Sazali P Ramlee

Doa pengubat rindu kepada Daddy – Sazali P Ramlee

Genap 50 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, hari ini, tiada yang dapat mengubat hati insan paling hampir dengan tokoh legenda itu, iaitu anaknya, Sazali, 64, selain doa mengubat rindu.

Setiap kali tarikh 29 Mei tiba, Sazali, 64, yang bergelut cabaran dan getir hidup selepas pemergian Allahyarham P Ramlee yang digelar ‘Daddy’, pasti teringat kenangan bersama arwah dan jatuh bangunnya figura itu dalam dunia seni.

“Sudah tentu pemergian Daddy meninggalkan kesan mendalam buat saya sebagai anaknya. Saya sering terkenang saat kami sekeluarga tinggal di rumah di Setapak, Kuala Lumpur.

“Saya tinggal bersama Daddy sejak kecil sehinggalah arwah meninggal dunia pada usia 44 tahun.

“Bagi saya, arwah Daddy insan baik, budiman dan peramah. Genap 50 tahun pemergiannya hari ini, dirasakan suatu kehilangan yang amat buat diri saya termasuk seluruh rakyat Malaysia.

“Arwah disanjung dan dihormati sepanjang hayatnya. Malah, biarpun sudah tiada, kebanyakan karya dihasilkan Daddy, baik lagu atau filem sentiasa diputarkan,” katanya kepada BH Online.

Hari ini, genap 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang dilapor menghembuskan nafas terakhir dalam ambulans yang membawanya ke hospital selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di No 22, Jalan Dedap, Setapak, di sini, (kini dijadikan Pustaka Peringatan P Ramlee) pada jam 4.30 pagi.

Pergi pada usia 44 tahun, kematian Allahyarham P Ramlee meninggalkan lompong besar dalam dunia seni yang memperlihatkan ketokohan anak seni ini menawan hati peminat melalui lakonan dan muzik tidak ternilai.

Genap lima dekad pemergian Allahyarham P Ramlee yang disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, di sini, bintang legenda ini terus dikenang sebagai insan ‘genius’ baik sebagai pelakon, penyanyi, pengarah, komposer, penulis skrip dan lirik serta pelawak.

Bagi Sazali, tiada apa yang dipinta pada hari ini, melainkan doa rakyat Malaysia terhadap bapanya agar roh insan tersayang itu terus dicucuri rahmat.

Akui Sazali, doa adalah cara dirinya mengubat rindu terhadap ‘Daddy’, apatah lagi, ketika ini, kesihatannya merosot hingga tidak mampu menziarahi pusara Allahyarham P Ramlee.

“Sebelum ini, saya dan isteri menziarahi kubur Daddy. Namun, disebabkan keadaan kami yang semakin uzur, amalan ini jarang dapat dilaksanakan.

“Apatah lagi, saya tiada kereta. Jadi, untuk bergerak ke mana-mana agak sukar. Sayang saya dan isteri tidak dapat menziarahi kubur Daddy.

“Namun, saya berikhtiar dengan cara lain iaitu mendoakan arwah Daddy pada setiap malam Jumaat termasuk membuat tahlil.

“Sebagai anak kepada arwah, saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menitipkan doa serta sedekahkan al-Fatihah kepada arwah kerana itulah yang terbaik.

“Saya sangat sayangkan arwah, apatah lagi dia bapa saya. Siapa yang tidak sayang bapa sendiri? Daddy jaga dari saya kecil sampailah ke akhir hayatnya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai rayuan agar tempoh bayaran royalti ke atas karya Allahyarham P Ramlee bagi tempoh 50 tahun selepas pemergiannya dilanjutkan, Sazali berkata, beliau masih belum menerima maklum balas.

“Dari dulu sampai sekarang masih belum ada makluman mengenai perkara itu daripada pihak atasan… Senyap begitu sahaja. Sebelum ini, saya diberitahu mereka akan bantu, namun, akhirnya, senyap.

“Difahamkan, setakat ini, masih tiada keputusan dibuat mengenai tempoh lanjutan royalti daripada pihak terbabit. Jadi, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Saya hanya bergantung kepada pihak terbabit (badan agihan royalti) sama ada mahu menyambung (bayaran royalti) kepada suatu tempoh berikutnya atau tidak… Saya tiada kuasa.

“Segala keputusan mengenainya terletak kepada mereka… Saya hanya menanti,” katanya.

Sazali mengaku bergantung harap dengan bayaran royalti kerana sedikit sebanyak dapat menampung kos rawatannya di hospital.

“Sejujurnya, saya sedih apabila perkara ini berlaku kerana faktor kestabilan kewangan saya juga tidak menentu sekarang.

“Jadi, apabila (bayaran) royalti itu sudah tiada nanti, mungkin akan sukar sedikit bagi saya untuk menampung kos perubatan.

“Kalau tidak dapat dilanjutkan agihan royalti, saya tidak boleh buat apa-apa sebab tiada kuasa. Jadi, saya harap liputan berita dapat bantu sebarkan perkara ini,” katanya yang terbabit dalam kemalangan pada 2015 hingga lutut kanan dan pinggulnya patah.

Sepanjang 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee, royalti daripada karya Seniman Agung itu diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983. Keputusan itu dibuat mengikut Akta Hak Cipta 1987.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

Selepas gesaan penggiat industri agar tempoh agihan royalti P Ramlee dilanjutkan 20 tahun lagi, MACP dilapor menjelaskan, pihaknya masih menunggu keputusan kerajaan berhubung perkara itu. BH

Doa pengubat rindu kepada Daddy – Sazali P Ramlee
Doa pengubat rindu kepada Daddy – Sazali P Ramlee

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Qistina Raisah Mahu Puteri Balqis Cerita Hal Sebenar

Kami bukan ramas punggung pun – Aliff Syukri

Pengacara terkenal pilih untuk ‘Free-Hair’ sambut ulang tahun ke-39

Hanya kerana iPhone, wanita muda sanggup jadi pelacur online

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker