Bankrap saya jika bayar Teresa – Jamal

Bankrap saya jika bayar Teresa – Jamal

Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa akan bankrap jika membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang secara langsung menyebabkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu hilang kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu berhubung dakwaan Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), pada tahun lalu.

Peguam bela Jamal, Rejinder Singh, berkata atas sebab bankrap, anak guam merayu di Mahkamah Rayuan hari ini untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi berkenaan.

Beliau berkata, alasan itu menunjukkan ada keadaan khas dalam rayuan oleh Jamal sebagai ahli politik.

“Proses rayuan di Mahkamah Rayuan berjalan pantas. Maka, tiada isu prejudis serta untuk melambatkan (bayaran ganti rugi).

“Saya akan mengikut arahan mahkamah jika penggantungan itu bersyarat dan ini akan diberitahu kepada anak guam,” katanya.

Pada 26 Julai tahun lalu, Teresa berjaya memperoleh ganti rugi itu selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan salah guna dana YAWAS.

Dalam keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, turut mengarahkan Jamal membayar kos RM50,000 kepada Teresa.

Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman pada 6 April 2017, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya, ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan disiarkan oleh media cetak dan elektronik, termasuk menerusi akaun Facebook Jamal.

Bekas menteri itu menyifatkan kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Sementara itu, peguam, Datuk SN Nair mewakili Teresa, tidak bersetuju wujud keadaan khas dalam rayuan itu.

“Ketakutan untuk bankrap bukan keadaan khas. Jamal beritahu sudah membuat pengumpulan dana dan ada wang itu.

“Apa yang perlu dibuat Jamal ialah membayar ganti rugi itu. Dia boleh selesaikan perkara ini kerana boleh mendapatkan wang dengan mudah,” katanya.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azimah Omar, kemudian membenarkan rayuan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu untuk menggantung pelaksanaan penghakiman berkenaan.

Yaacob berkata, permohonan itu ada merit hasil penelitian hujahan kedua-dua pihak.

“Namun, ada syarat iaitu jumlah penghakiman sebanyak RM300,000 itu perlu didepositkan ke dalam akaun peguam responden (Teresa) dan akan dipegang oleh pihak berkepentingan hingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

“Akaun itu ada kadar faedah. Mahkamah arahkan wang itu didepositkan ke dalam akaun berkenaan dalam tempoh 21 hari dan tiada arahan mengenai kos berhubung rayuan ini,” katanya. BH

Bankrap saya jika bayar Teresa – Jamal

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rintihan hati Ali Puteh

Diana peroleh hadanah interim dua anak

Ini kata mahkamah kepada Farid dan Diana

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker