Pentauliahan dakwah & ilmu di zaman Nabi

Pentauliahan dakwah & ilmu di zaman Nabi

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Pentauliahan umumnya bermaksud pelantikan atau pemberian kepercayaan daripada pihak atasan kepada pihak bawahan di atas kelayakan dan kemampuannya bagi melaksanakan sesuatu tugasan atau pekerjaan. Tauliah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pelantikan, surat pelantikan, surat kuasa atau surat kepercayaan (sebagai wali, wakil dan lain-lain). Dalam urusan agama, pentauliahan amat penting kerana ia melibatkan pegangan akidah dan syariah umat Islam yang sebenar.

Secara zahir, pentauliahan di zaman Nabi SAW tidak terbatas kepada adanya surat rasmi. Memadai dengan pemberian kepercayaan Baginda SAW kepada seseorang melalui lisan, termasuk dalam hal urusan yang amat penting seperti menjadi duta ke negara luar. Namun, Baginda tidak membuat pilihan secara sembarangan, tetapi berdasarkan kriteria tertentu yang ada pada individu terbabit. Antaranya, menurut kajian Mahmud Syit Khattab dalam kitabnya Sufara’ al-Nabi SAW (1996), mereka mestilah berpegang teguh dengan Islam, berlidah fasih, berilmu, berakhlak mulia, sabar, berani, berhikmah, berstrategi dan berketerampilan.

Menurut beliau, terdapat 15 orang duta yang diketahui pernah ditauliahkan oleh Nabi SAW dalam rangka mengembangkan dakwah Islam. Antara mereka ialah ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri RA diutuskan kepada al-Najasyi Raja Habsyah, Dihyah bin Khalifah al-Kalbi RA diutuskan kepada Heraclius Kaisar Rom, ‘Abdullah bin Huzafah as-Sahmi RA diutuskan kepada Kisra Abarvez anak Hormizd Raja Parsi, Hatib bin Abi Balta’ah RA diutuskan kepada al-Muqawqis Raja Mesir, Syuja’ bin Wahb al-Asadi RA diutuskan kepada al-Harith al-Ghassani Raja Bani Ghassan di Syam, Salit bin ‘Amru al-‘Amiri RA diutuskan kepada Hawzah bin ‘Ali al-Hanafi Raja Yamamah, ‘Amru bin al-‘As RA diutuskan ke Oman, al-‘Ala’ bin al-Hadhrami RA diutuskan ke Bahrain, al-Harith bin ‘Umair al-Azdi RA diutuskan kepada Raja Busra di Syam, al-Muhajir bin Abi Umayyah RA diutuskan ke Yaman dan lain-lain.

Malah, adakalanya Baginda SAW melakukan temuduga bagi memastikan tahap kemampuan yang dimiliki oleh orang yang diberikan kepercayaan. Misalnya, ketika Rasulullah SAW hendak mengutuskan Mu’az bin Jabal RA ke Yaman, baginda bertanya kepadanya: “Bagaimana kamu mahu berhukum jika dihadapkan kepadamu suatu masalah?” Jawabnya: “Aku akan berhukum dengan kitab Allah.” Baginda bertanya: “Jika kamu tidak dapati dalam kitab Allah?” Jawabnya: “Maka, dengan sunnah Rasulullah.” Baginda bertanya: “Jika kamu tidak dapati dalam sunnah Rasulullah mahu pun dalam kitab Allah?” Jawabnya: “Aku akan berijtihad dengan pandanganku dan tidak akan kubiarkan sahaja.” Lalu Rasulullah SAW pun menepuk dadanya seraya bersabda: “Alhamdulillah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah terhadap perkara yang membuatkan rasa reda Rasulullah.” (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi. Dinilai sahih oleh al-Bazdawi, al-Juwaini, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn Kathir dan lain-lain)

Walaupun Imam Abu Zur’ah ar-Razi menyebut Rasulullah SAW wafat meninggalkan kira-kira 114,000 sahabat dan dalam riwayat lain 124,000 sahabat. Namun, bukan kesemua mereka mencapai taraf ulama. Imam Ibn Hibban dalam kitabnya Masyahir ‘Ulama’ al-Amsar hanya menyenaraikan seramai 417 orang sahabat RA sahaja yang masyhur disebut sebagai ulama.

Menurut Imam Ibn Hazm pula, terdapat tujuh orang sahabat yang banyak mengeluarkan fatwa, iaitu ‘Umar RA, ‘Ali RA, Ibn Mas’ud RA, Ibn ‘Umar RA, Ibn ‘Abbas RA, Zaid bin Thabit RA dan ‘Aisyah RA. Fatwa setiap seorang daripada mereka jika dikumpulkan boleh mencapai setebal satu jilid besar. Bahkan, fatwa Ibn ‘Abbas RA sahaja pernah dikumpulkan dalam tujuh jilid. Kemudian diikuti oleh 20 orang sahabat yang jika dikumpulkan fatwa setiap seorang daripada mereka boleh mencapai satu juzuk kecil. Antara mereka ialah Abu Bakr RA, ‘Uthman RA, Abu Musa al-Asy’ari RA, Mu’az bin Jabal RA, Saad bin Abi Waqqas RA, Abu Hurairah RA, Anas bin Malik RA, ‘Abdullah bin ‘Amru RA, Jabir RA, Abu Sa’id al-Khudri RA dan lain-lain. Manakala sekitar 120 orang sahabat lain pernah dikesan mengeluarkan satu hingga tiga fatwa sahaja. Antara mereka ialah Ubay bin Kaab RA, Abu ad-Darda’ RA, Abu Talhah RA, al-Miqdad RA dan lain-lain. Kesemua fatwa mereka jika dikumpulkan mungkin hanya dalam satu juzuk kecil. (Lihat: Nizam al-Hukumah al-Nabawiyyah oleh as-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani, 2012)

Ini secara tidak langsung mengisyaratkan bukan semua sahabat RA mempunyai ‘tauliah’ untuk menjadi ulama yang dirujuk oleh masyarakat bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi. Bilangan ini jika dinisbahkan kepada jumlah keseluruhan para sahabat RA adalah amat kecil. HM

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Pentauliahan dakwah & ilmu di zaman Nabi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Uqasha kesal dituduh pembuli zaman sekolah

Pelanggan mabuk pukul pekerja Restoren Pelita [VIDEO]

Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker