Kita semua menuju pada akar EKSTREMISME?

Kita semua menuju pada akar EKSTREMISME?

Yang terbaik itu ialah yang di tengah; tidak keterlaluan dalam apa jua hal. Tetapi mengapa kita kini hidup dalam dunia yang penuh dengan pelbagai ekstremisme?

Islam pula sentiasa dikaitkan, dituduh dan dilabel dengan ekstremisme. Sedangkan tradisi Islam selalu menyokong kesederhanaan, sikap moderat, jalan tengah, dan menentang sikap melampau, keterlaluan atau ekstremisme. Malah al-Quran menegaskan bahawa umat Islam ialah ummatan wasatan atau umat pertengahan, sederhana atau moderat.

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan Kamu (umat Islam) umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia….” (Al-Baqarah: 143)

Hadis Rasulullah s.a.w juga menyebut, “Sebaik-baik perkara itu ialah ‘pertengahannya’.”

Prof. Seyyed Hossein Nasr mengambil pendekatan di luar paradigma biasa dalam membincangkan isu ini. Buah fikiran cendekiawan Islam kelahiran Iran, yang juga seorang profesor Pengajian Islam di Universiti George Washington, Washington DC, Amerika Syarikat ini boleh diikuti melalui video yang dimuat naik di Youtube.

Realitinya menurut Prof. Nasr, ekstremis bukan sahaja ada dalam kalangan orang atau dunia Islam, tetapi wujud dalam hampir semua agama dan masyarakat.

Ekstremisme jauh lebih luas daripada label-label yang gemar dicipta, dan dituduh oleh dunia moden ke atas sesiapa yang mereka tidak suka. Ini selalu berlaku dalam kes Islam; cipta satu istilah, mengecamnya, buat tuduhan dan gambarkan musuh dengan label tersebut.

Inilah kaedah yang digunakan oleh golongan fasis Jerman semasa Perang Dunia Kedua dahulu, dan diikuti oleh pelbagai pihak di dunia pada hari ini.

Sesiapa sahaja yang sibuk mencari wang dari siang hingga ke malam, atau yang menumpukan seluruh tenaganya mengumpul kekayaan ialah ekstremis. Yang asyik berhibur siang dan malam tanpa melakukan kerja lain juga ekstremis.

Modernisme juga ialah satu bentuk ekstremisme iaitu dengan menggantikan kebenaran berasaskan wahyu dengan apa jua yang dianggap benar oleh manusia. Sekali gus menanggalkan pusat wahyu daripada kehidupan manusia dan kesannya dapat kita lihat pada hari ini.

Jurang kaya-miskin

Lihat sahaja perbezaan antara golongan kaya dan miskin yang ekstrem. Sejak abad ke-18, orang Eropah mengkritik masyarakat Islam kerana wujudnya jurang antara golongan kaya dan miskin. Sungguhpun begitu hari ini kita lihat keadaan tersebut wujud di Amerika Syarikat, malah jurangnya lebih besar berbanding di dunia Islam.

Kewujudan golongan miskin dan kaya adalah sebahagian daripada sejarah kehidupan manusia, malah al-Quran mengakuinya (seperti yang disebut di dalam surah an-Nahl: 71).

Bagaimanapun tahap ekstrem jurang kaya-miskin yang kita saksikan hari ini tidak pernah disaksikan sebelumnya. Keadaan ini bukan hanya berlaku di negara-negara Islam, tetapi di seluruh dunia.

Konsumerisme

Selain itu, kita lihat bagaimana sesuatu yang berkaitan dengan agama, dikomersialkan secara besar-besaran. Konsumerisme telah menjadi ‘Tuhan’ yang baru, melahirkan manusia yang sentiasa ingin membeli sesuatu yang baru kemudian membuangnya.

Sedangkan di satu pihak lain, ada yang tidak mampu pun membayar untuk keperluan asas mereka. Contohnya, secawan kopi berkualiti di New York mungkin sama nilainya dengan harga makanan untuk dua minggu bagi seorang miskin di Bangladesh.

Akal & hedonisme

Satu bentuk ekstremisme lagi ialah wujudnya orang yang sentiasa menggunakan akal untuk berfikir mengenai sains, sains sosial, dan sebagainya. Mereka menekankan kepentingan berfikir.

Bagaimanapun di satu pihak lagi muncul hedonisme yang sangat keterlaluan. Mungkin tahapnya menyerupai suasana di kalangan Maharaja Rom dan pembesarnya sebelum kejatuhan empayar itu.

Mereka hidup dalam keadaan bernafsu-nafsi, yang sangat berlawanan dengan golongan yang memberi sepenuh tumpuan kepada perkembangan ilmu dan pemikiran.

Fundamentalisme & nihilisme

Dalam agama pula, berlaku polarisasi yang tidak pernah wujud dalam sejarah manusia, dan ia menggugat kewujudan semua agama, tidak hanya Islam. Di satu pihak terdapatnya fundamentalisme, manakala di pihak lain, nihilisme moden (fahaman yang menolak semua nilai dan kepercayaan sedia ada).

Ini berlaku di Eropah Barat di mana 40 peratus populasi ialah ateis dan 30 peratus lagi agnostik (orang yang berpendirian bahawa hanya sesuatu yang berupa kebendaan sahaja yang boleh diketahui, manakala pengetahuan tentang Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin).

Manakala di England hanya lima hingga enam peratus penduduknya pergi ke gereja, di Sweden hanya tiga peratus, Perancis sembilan peratus. Kebanyakan mereka ialah ateis.

Ini sangat berbeza dengan keadaan golongan lain yang sanggup membunuh ‘demi Tuhan’ (dakwa mereka). Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang Islam. Tentera Tuhan di Kenya dan Uganda bukan orang Islam, tetapi Kristian, begitu juga ekstremis Hindu yang membunuh orang Islam di Gujurat, India.

Ekstremisme kini merupakan fenomena global. Kehidupan hari ini penuh dengan segala macam ekstremisme, dan setiap Muslim, perlu melakukan jihad individu untuk mewujudkan keseimbangan dalam diri agar terhindar daripadanya. Wallahu a’lam utv

Kita semua menuju pada akar EKSTREMISME?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Alicia Amin, Dr Farzan sah bercerai selepas dua tahun bersama

Fizz Fairuz kena sembur dengan Along

Kena scam RM1575 untuk screen protector di Petaling Street

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker