Presiden MCA: Sokongan pengundi Cina bertukar seperti ayunan bandul

Presiden MCA Wee Ka Siong menyifatkan sokongan politik pengundi Cina bertukar-tukar seperti ayunan bandul.

“Saya bagi contoh, masyarakat Cina di Kampung Baru di kawasan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) sokongan dulu 30 peratus, kali ini 65 peratus (dalam pilihan raya kecil November lalu).

“Dia punya perubahan besar, ketara sebab marah,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian yang diterbitkan hari ini.

Kata Wee, orang Cina marah dengan kerajaan PH sebelum ini kerana faktor perniagaan yang dijalankan mereka.



“Tiada seorang pun kata prestasi perniagaan mereka baik, semua kata teruk. Tiada keputusan, contohnya, keputusan tender dibuat (diubah) dua tiga kali.

“Kontraktor bumiputera tidak dapat projek sedangkan barang dibekalkan dari kedai Cina.

“Jadi bukan kontraktor Melayu sahaja sengsara, orang Cina pun sengsara juga kerana kesan rantaian menyebabkan semua pihak kena kerana kerajaan PH lengah-lengahkan dan laga-lagakan penjawat awam itulah kesannya,” katanya lagi.

Wee turut mendakwa di bawah pentadbiran PH, ahli majlis pihak berkuasa tempatan bergaduh sesama sendiri kerana berebut kontrak.



“Apabila tidak dapat (kontrak), akhirnya mereka ambil keputusan untuk hancurkan. Ini yang menyebabkan keadaan jadi kucar-kacir.

“Sebab itu, masyarakat Cina merayu supaya kerajaan buat kerja, pulihkan ekonomi ketika PH masih lagi jadi kerajaan,” tambahnya.

Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa meskipun MCA berjaya dalam PRK Tanjung Piai, ia mungkin berdepan kekalahan pada pilihan raya berikutnya, seperti ayunan bandul.

Apa yang penting, katanya, adalah untuk melakukan yang terbaik dalam menjaga kepentingan rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah seperti kos sara hidup yang menurutnya merupakan cabaran terbesar pada masa kini.



“Biarlah siapa yang hendak fitnah dia boleh buat, akhirnya kita yang berfikiran waras dapat membezakan apa yang betul dan yang tidak betul,” katanya lagi.
Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker