Bulan amalan diangkat ke hadrat Allah Taala

Umat Islam wajar mengikuti langkah Rasulullah untuk meraih ganjaran pahala sepanjang Syaaban.

Bulan amalan diangkat ke hadrat Allah Taala

oleh Amirulhakim Ahmad Nadzri

Hari ini kita sudah memasuki 9 Syaaban. Syaaban adalah bulan yang kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadan. Bulan ini satu daripada bulan dipenuhi beberapa kelebihan yang tercatat dalam hadis baginda SAW. Hal ini menunjukkan bahawa Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang semestinya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya.

Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi untuk meningkatkan amal kebaikan daripada diri individu. Antara persediaan yang boleh kita lakukan pada Syaaban ini sebagai persediaan untuk memasuki gerbang Ramadan al-Karim adalah kita melakukan amalan berpuasa. Amalan berpuasa ini yang dianggap antara amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Walaupun begitu, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.

Berpuasa pada bulan ini perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, hal ini seperti hadis disampaikan oleh Saidatina Aisyah RA iaitu: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa baginda akan terus berbuka (tidak berpuasa terus).

“Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri banyak melakukan amalan berpuasa ketika Syaaban. Selain itu terdapat juga hadis lain iaitu Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa dalam Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW: ‘Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh Rejab dan Ramadan. Ia juga adalah bulan diangkat di dalamnya amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalanku di dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad dan Sunan al-Nasai)

Dapatlah diambil pengajaran daripada kedua-dua hadis ini bahawa Rasulullah SAW sendiri melakukan amalan puasa pada bulan ini. Kita seharusnya perlu mengikut jejak ini untuk meraih peluang ganjaran yang baik dan seterusnya agar amalan kita diangkat dalam keadaan kita berpuasa. Dengan kita banyak melakukan amalan berpuasa pada bulan ini, secara tidak langsung ia suatu persediaan yang jitu sebelum kita melangkah masuk ke Ramadan.

Kita sedia mengetahui bahawa Ramadan adalah bulan yang diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa selama sebulan.

Perkara ini adalah perkara yang mungkin agak sukar dilaksanakan sebahagian daripada kita jika tidak membiasakan diri untuk melakukannya sebelum masuk Ramadan.

Oleh itu, marilah kita mengambil peluang pada bulan ini untuk melakukan puasa sunat yang mempunyai banyak kelebihan dan secara tidak langsung akan melatih diri menjadikannya kental sekali gus sebagai persediaan awal untuk menjejak ke gerbang Ramadan al-Karim yang juga bulan yang dikurniakan kemuliaan, kerahmatan dan kesucian.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Bulan amalan diangkat ke hadrat Allah Taala

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul, lepaskan saya – Puteri Sarah

Mentega Terbang, Jakim diarah ambil tindakan – Menteri

Cubaan sabotaj kerajaan, Hadi Awang dikecam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker