Teknologi AI pemudah proses pembelajaran, cetus kreativiti pelajar

Teknologi AI pemudah proses pembelajaran, cetus kreativiti pelajar

Oleh Dr Azlan Muharam

Ledakan pelbagai teknologi kecerdasan (AI) kini banyak mengubah landskap kehidupan manusia sejagat. Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) membawa bersama AI yang banyak terkait dengan internet kebendaan (IoT), robotik, pengkomputeran kuantum, blockchain dan data raya.



Tujuan utama semua teknologi ini dibangunkan adalah untuk memudahkan dan memendekkan masa urusan kerja seharian manusia. Kepesatan teknologi turut meluncurkan AI dengan lebih drastik daripada berfungsi sebagai in vitro (kegunaan makmal) ke in vivo (kehidupan seharian).

Sedar atau tidak, kita semakin tenggelam dengan sistem AI dalam kehidupan harian terutama enjin carian Siri, Google, berdagang dalam talian, mencari hiburan, mencari lokasi dan peta (Maps) dan lain-lain aplikasi digital.

Menurut Celine Herweijer dan Dominic Waughray menerusi World Economic Forum (WEF), AI berupaya digunakan untuk menyesuaikan rancangan pengajaran kepada pelajar mempunyai keperluan pembelajaran berbeza. Selain itu, AI mampu memadankan set kemahiran dan kebolehan individu dengan peluang pekerjaan semasa.

Bermakna, bidang pendidikan terutama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak terkecuali daripada menerima tempias ledakan AI ini. AI dilihat sebagai satu puzzle melengkapkan gambaran penuh perjalanan kehidupan seorang pelajar. Ia mempunyai impak begitu positif dalam perkembangan potensi diri pelajar.



Secara umumnya terdapat pelbagai perisian AI boleh digunakan untuk membantu memahami subjek dan menyiapkan tugasan atau projek dengan lebih berkesan.

Antaranya, ChatGPT untuk mendapatkan maklumat sesuatu perkara, Synthesis lebih menumpukan untuk membuat video dengan pelbagai avatar, Jenni Ai fokus bagi penulisan artikel panjang, Tome pula boleh membantu membuat slaid pembentangan lebih interaktif, Murf berupaya menukarkan teks kepada suara atau Dall-E-2 permudah untuk mendapatkan gambar berdasarkan teks.

Jelas sekali, AI adalah alat bantu berkesan dalam memudahkan urusan dan menjimatkan masa. Walaupun dengan pelbagai alat bantu sedia ada, ia masih memerlukan pelajar untuk berfikir dengan lebih kritis, sekali gus menidakkan dakwaan kononnya AI akan ‘memandulkan akal manusia’ kerana terlalu berharap dengan keupayaan mesin.

Menyedari impak positif AI yang boleh membangunkan intelek dan potensi pelajar, terdapat lima impak positif boleh menterjemahkan konsep Malaysia MADANI dalam konteks pendidikan.



Pertama, AI berupaya mempersembahkan maklumat dan data dengan lebih jelas serta dipercayai. Terdapat pelbagai AI memudahkan persembahan data dalam bentuk grafik seperti Tome dan Dall-E-2.

Walaupun pelajar TVET lebih fokus terhadap kemahiran teknikal bersifat fizikal, ilmu dan kemahiran tambahan ini tidak boleh diketepikan begitu saja dalam menujah masa hadapan mencabar.

Permudah interaksi pelajar, pensyarah

Kedua, jika sebelum ini sebarang usaha untuk mendapatkan komen atau maklum balas memerlukan tempoh masa tertentu dan panjang, kini dengan kewujudan AI, ia lebih memudahkan interaksi antara pelajar dan pensyarah memberi komen dan maklum balas.



Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan keberkesanan komunikasi antara pelajar dan pensyarah, walaupun bersifat maya. Kedua-dua pihak dapat bertukar tukar fikiran berlandaskan paksi ilmu dan hikmah.

Pada masa sama dapat mewujudkan persekitaran kerjasama dan saling mempercayai. Jika di luar waktu kerja, ada alat bantuan tutorial dapat memberi maklum balas seperti Chatbots dan tutors.

Pelajar tidak berada dalam kebuntuan lama untuk mendapatkan penjelasan dan menambah baik kefahaman mereka. Dari sudut pensyarah, ia juga boleh mengenal pasti tahap pemahaman pelajar dan melaksanakan intervensi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka .

Ketiga, era penerokaan ilmu kini menjadi lebih terbuka dan mudah. AI berupaya menyediakan akses terhadap ilmu dan kelas secara 24 jam seminggu.



Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan kelemahan pelajar memahami sesuatu perkara atau subjek yang kebanyakan bahan tersedia dalam bahasa Inggeris. Bahasa menjadi cabaran utama untuk pelajar memahami suatu ilmu.

Mutakhir ini, semua suasana ini akan berubah dengan kewujudan AI yang mampu menterjemahkan hampir 200 bahasa di seluruh dunia. AI boleh menukar teks kepada suara atau sebaliknya. Perisian paling dominan digunakan seperti Google Translate, diikuti dengan Bing Microsoft Translator.

Jika dahulu Google menjadi enjin carian utama untuk mendapatkan sebarang maklumat baharu, kini terdapat AI seperti ChatGPT dan JenniAI yang begitu membantu mendapatkan maklumat awal terhadap sesuatu perkara. Pelajar juga dapat merancang masa dan belajar mengikut kadar kefahaman mereka sendiri.

Keempat, pada era digital dengan kemeriahan video bersifat akademik dan santai, trend ini dilihat sebagai sudut positif ke arah kemenjadian pelajar dari aspek kreatif.



Peluang pelajar menghasilkan video kini menjadi dengan lebih mudah, memperkayakan akses digital secara sejagat. Pelajar menggunakan AI untuk menghasilkan kualiti tugasan atau video dengan lebih berkesan.

Jika pelajar ingin menyediakan video dengan suara latar lebih profesional dan matang, mereka boleh menggunakan ‘Muft AI’ yang mampu menukar teks kepada suara. Ini secara tidak langsung menambah kualiti hasil kerja pelajar dan memendekkan masa menyiapkan tugasan dan projek.

Terakhir, teknologi AI mampu mempromosikan pembelajaran digital secara maya. Dalam aspek ini, pelajar akan lebih matang dan berdikari dalam menguruskan proses pembelajaran mereka sebelum terjun ke alam pekerjaan sebenar.

Ini kerana mereka hanya dipantau secara minimum, tetapi hubungan antara pensyarah dan kualiti tetap menjadi keutamaan dalam mendidik mereka.

Namun, setiap teknologi dibangunkan pasti mempunyai harga yang perlu dibayar berdasarkan impak positif dan negatif kepada penggunanya. Kesan nyata negatif yang dapat dilihat adalah berlaku kehancuran kreatif.

Ia akan menyebabkan manusia semakin malas berfikir dan berminda bergantung kepada mesin. Justeru, kepesatan teknologi AI ini menuntut kebijaksanaan manusia dan agensi berkaitan untuk mengawal, memantau dan mengawasi penggunaannya.

AI sekadar alat untuk membantu melicinkan dan menambah baik proses penyampaian ilmu kepada pelajar. Kini terserah kepada pelajar untuk membuat pilihan bagi memilih sumber teknologi yang ada untuk dimanfaatkan dalam proses pembelajaran mereka.

Penulis adalah Pegawai Inovasi, Jabatan Matematik dan Sains Komputer, Politeknik Melaka

Teknologi AI pemudah proses pembelajaran, cetus kreativiti pelajar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Agong tepuk dahi kena ‘prank’ [VIDEO]

Nasi lemak janda muda tepi jalan laris

Filem Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker