Hutang trilion dan simpanan kecil, Johari beri amaran

Hutang trilion dan simpanan kecil, Johari beri amaran

Bekas menteri kewangan II, Johari Ghani, berkata paras hutang negara ketika ini tidak boleh dipandang ringan walaupun Malaysia dikurniakan sumber asli.

Beliau berkata hutang meningkat antara gejala ekonomi merosot, sepertimana dilalui Sri Lanka yang bergelut dengan krisis.



“Kita perlu melihat bagaimana kita menguruskan hutang kita. Inilah punca Sri Lanka jatuh,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu dalam temubual FMT.

Nisbah hutang berbanding KDNK Sri Lanka melonjak daripada 67% pada 2012 kepada 130% pada 2021, menurut Bank Dunia.

Sementara hutang Malaysia, yang sekitar RM686 bilion sebelum wabak Covid-19 melanda, berganda kepada RM1.08 trilion dalam tempoh lima tahun. Angka itu meningkat kepada RM1.5 trilion jika perkara luar kunci kira-kira (off-balance sheet items) seperti jaminan hutang kerajaan, inisiatif pembiayaan swasta (private finance initiatives), dan kerjasama awam-swasta diambil kira.

Peningkatan hutang Malaysia sebanyak 57% dalam tempoh lima tahun itu tidak banyak berbeza dengan keadaan Sri Lanka, yang hutangnya meningkat sebanyak 58% dalam tempoh masa sama.



Johari berkata Covid-19 memusnahkan ekonomi Sri Lanka yang bergantung kepada pelancongan, sekali gus menjejaskan keupayaan membayar balik hutang dan mengimport barangan asas, mengakibatkan kekurangan makanan dan bahan bakar.

“Apabila sesebuah negara tidak menguruskan hutangnya, saya tidak akan terkejut, bukan sahaja Malaysia, tetapi banyak negara lain akan menghadapi masalah yang sama (seperti Sri Lanka),” katanya.

Johari berkata Malaysia bertuah kerana boleh bergantung kepada Petronas semasa pandemik, kerana eksportnya memastikan negara mempunyai sumber pendapatan luar yang baik.

Pada masa sama, Petronas mampu menyumbang 25% daripada jumlah pendapatan kerajaan dalam bentuk dividen, cukai, dan wang tunai.



“Tetapi sumber ini tidak berkekalan sebab itu kita perlu merancang (ekonomi) sekarang,” katanya.

“Kita tiada simpanan yang besar. Negara pengeluar minyak yang lain ada simpanan besar, kita tiada.”

Beliau berkata jika hutang RM1.5 trilion dan defisit yang membesar tidak diperbaiki, ekonomi boleh jatuh dan menyebabkan generasi akan datang menderita.

Pertumbuhan KDNK mesti dirasai rakyat



Johari ketika perbahasan Dewan Rakyat pada Selasa berkata KDNK bertumbuh sebanyak 8.7% pada 2022 kerana kesan asas rendah pada 2021.

Katanya lagi, pertumbuhan ekonomi belum pulih ke paras sebelum wabak covid-19 melanda.

Pada 2021, pertumbuhan KDNK Malaysia sekadar 3.1% berbanding Singapura dan Filipina yang masing-masing bertumbuh 7.6% dan 5.7%. Negara lain pulih daripada wabak dengan cepat berbanding Malaysia.

Secara purata, ekonomi Malaysia sekadar tumbuh 1.9% setahun dalam tempoh tiga tahun.



Sebab itu, kata Johari, hakikat di lapangan tidak mencerminkan pertumbuhan ekonomi tahun lepas.

Beliau berkata antara kebimbangan terbesarnya ialah pengangguran, berikutan kekurangan pekerjaan di sektor swasta berbanding bilangan siswazah baharu setiap tahun.

“Sejak lima tahun lalu, kira-kira 300,000 orang secara purata menamatkan pengajian di universiti tetapi terdapat hanya sekitar 93,000 peluang pekerjaan sektor swasta setiap tahun.”

Ramai siswazah akhirnya melakukan pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan, atau di sektor tidak formal termasuk bekerja dalam segmen p-hailing atau gerai makanan, katanya.



“Jumlah penganggur meningkat daripada 1.3 juta pada 2018 kepada 1.8 juta pada 2022. Terdapat dua juta lagi dalam sektor tidak formal,” katanya, sambil menambah perkembangan itu kerugian besar kepada ekonomi. FMT

Hutang trilion dan simpanan kecil, Johari beri amaran

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Meerqeen dah ‘level’ lain

Ini ke penyondol kacau rumah tangga Hafidz Roshdi?

‘Lepas Cerai, Sha Nak Something Different’ – Shila Amzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker