Parti Single Malaysia mahu membantu cari jodoh

Parti Single Malaysia mahu membantu cari jodoh

Keinginan membantu individu solo termasuk golongan Hawa yang berhajat mencari pasangan hidup mendorong pengurus pegawai perhubungan awam dikenali sebagai Izzati menjadi orang tengah bagi membantu golongan berkenaan.

Izzati, 29, melakukannya dengan mewujudkan kumpulan cari jodoh di aplikasi Telegram yang diberi nama Parti Single Malaysia (PaSiM).



Menurut Izzati, dia tidak pernah terfikir untuk membantu orang ramai dengan cara sebegitu, malah idea berkenaan datang secara spontan selepas aktif memuat naik video perkongsian rawak di TikToknya, @izzatiyanglawa.

“Semuanya bermula selepas saya muat naik video ketika berlangsung pilihan raya umum (PRU) lalu menyatakan daripada berebut jadi calon (wakil rakyat), lebih baik rebutkan saya.

“Video itu meraih lebih 900,000 tontonan sehingga kini dan daripada komen diterima, baru saya tahu ramai yang single rupanya.

“Kebetulan, saya pun single ketika itu, jadi faham maka mengaktifkan kumpulan cari jodoh di Telegram ini sebagai alternatif untuk golongan solo mencari pasangan hidup bersesuaian selain mencuba aplikasi lain yang ada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Menurut Izzati, tidak ramai yang menyertai kumpulan itu pada awalya, malah hanya ada lebih 1,000 ahli saja.

Katanya, terkini, kumpulan itu sudah mempunyai lebih 8,000 ahli namun jumlah berkenaan tidak kekal kerana ada yang keluar selepas bertemu pasangan diinginkan.

“Syarat utama selepas masuk dalam kumpulan itu adalah memperkenalkan latar belakang diri dengan meletakkan gambar serta ciri pasangan diinginkan.

“Terpulang bagaimana mereka mahu lakukannya (perkenalkan diri) dan bergantung kepada usaha masing-masing. Jika ada yang ingin berkenalan maka individu terbabit boleh terus berhubung dengan mereka.



“Dalam kumpulan itu, tiada istilah wanita atau lelaki lebih ramai kerana saya boleh katakan bilangan yang mencari pasangan seimbang…cuma majoritinya berusia awal 30-an ke atas.

“Tak pasti apa sebabnya, namun mungkin disebabkan komitmen kerjaya yang menyebabkan mereka belum bertemu jodoh,” katanya.

Berhubung persepsi ‘perigi cari timba’ terutama bagi wanita yang mencari pasangan hidup, Izzati berkata, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan terutama pada zaman sekarang kerana sesiapa saja boleh memulakan langkah untuk berkenalan.

“Tiada salahnya wanita mulakan (langkah) kerana Saidatina Khadijah juga melamar Rasulullah SAW.



“Bagi saya, perigi cari timba itu perlu juga ada, cuma akhirnya nanti hendaklah ikut adat iaitu pihak lelaki menghantar rombongan merisik dan meminang jika serius untuk memperisterikan wanita berkenaan,” katanya.

Biarpun tidak menerima sebarang bayaran, Izzati mengakui puas hati apabila dapat mendapat maklum balas positif daripada mereka yang menyertai kumpulan cari jodoh itu.

“Kepuasaannya apabila dapat mesej daripada ahli yang minta keluar (kumpulan) kerana sudah jumpa pasangan.

“Itu sudah cukup membuatkan saya gembira dan tak tahu macam mana mahu menggambarkan perasaan ini.



“Alhamdulillah, keluarga termasuk tunang dan ibu sokong apa saya lakukan.

“Cuma segelintir orang terdekat saja mempersoalkan apa yang saya buat hanya sia-sia. Biasalah, penerimaan setiap orang berbeza,” katanya.

Katanya, dia sentiasa berpandangan positif dalam hal berkenaan dan akan terus mengaktifkan kumpulan itu walaupun selepas berkahwin nanti.

‘Saya buang rasa malu’



Tidak timbul istilah perigi mencari timba, sebaliknya berusaha mencari jodoh dengan ‘mengiklankan’ diri di media sosial sebelum menemukan wanita ini dengan suaminya hingga melangkah ke jenjang pelamin pada November lalu.

Rabiatul Aunie Abu Bakar, 28, bertemu suaminya, Zulfikri Azemi, 31, selepas dia dengan berani dan tekad memuat naik ciapan di akaun mencari jodoh di Twitter atas saranan serta cabaran rakannya pada Mac lalu.

Suri rumah itu berkata, dia terpaksa membuang rasa malu untuk memuat naik ciapan itu kerana menyifatkan perkara berkenaan bukan sesuatu yang melampaui batas agama selain niatnya juga baik untuk mencari pasangan.

Menurutnya, ciapan berkenaan juga disokong beberapa rakannya yang turut meninggalkan komen seperti memberitahu dia adalah calon yang baik dan kebetulan ketika itu baru putus cinta.

“Rakan buat macam itu sebab mereka cakap mana tahu dari media sosial saya dapat jumpa lelaki yang serius dan sesuai seperti yang dicari.

“Saya fikir betul juga dan tak salah mahu mencuba asalkan ia tidak melampaui batas agama dan adab. Itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mencuba saranan rakan walaupun pada mulanya ciapan itu untuk suka-suka saja.

“Ketika itu, saya berfikir untuk berkawan tetapi dalam masa sama saya tidak akan tolak jika ada calon yang sesuai namun perlu memastikan lelaki berkenaan betul-betul jujur, ikhlas dan mempunyai niat baik,” katanya memberitahu lebih memilih keserasian berbanding paras rupa.

Menurutnya, dia memilih ciri lelaki berasal dari Kedah, sama seperti negeri asalnya sebelum suami mesej untuk berkenalan tidak lama kemudian dan mereka cuba berkawan.

Katanya, dia selesa berkawan dengan suaminya yang disifatkan tidak cepat melatah apabila bergurau dan mengakui aturan jodohnya berlaku secara santai apabila Zulfikri meminta menjadi teman hidupnya.

“Saya kemudiannya menyuruh suami berjumpa ibu bapa. Mungkin sudah sampai jodoh saya dan kami kemudiannya bertunang pada September lalu sebelum bernikah 26 November 2022.

“Sebenarnya tak sangka juga dari media sosial dapat bertemu jodoh dan ini adalah pengalaman pertama saya berkawan dengan lelaki dari medium itu.

“Pada pandangan saya, usaha untuk mencari jodoh di media sosial tidak salah asalkan kita menggunakan platform itu dengan niat yang betul,” katanya.

Sementara itu, Zulfikri berkata, dia sebelum ini terfikir untuk tinggal di rumah orang tua kerana sudah tertutup pintu hati untuk berkahwin selama tiga tahun selepas putus tunang, tetapi tidak menyangka jodohnya hadir melalui media sosial.

Katanya, seminggu sebelum melihat ciapan isterinya, hatinya terjentik untuk mempunyai keluarga sendiri selepas melihat beberapa rakannya sudah berkeluarga.

“Saya buang rasa malu untuk mesej isteri dan berkawan dahulu serta keluar beberapa kali. Apabila sudah rasa suka dan selesa, saya kemudian mengajaknya ke fasa hubungan serius dan halal,” kata juruteknik di sebuah kilang Batu Kawan, Pulau Pinang itu. HM

Parti Single Malaysia mahu membantu cari jodoh

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Diserbu ketika berbogel dalam kereta punca remaja kemalangan

Siapa menantu yang Anwar sebut – Puad

Zarina Anjoulie ‘hancur’, padam gambar tunang

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker