Farid Kamil reda ketentuan takdir

Farid Kamil reda ketentuan takdir

Sudah tertulis mahligai yang dibina atas dasar cinta kira-kira 11 tahun lalu, akhirnya ranap di pertengahan jalan selepas pasangan selebriti, Farid Kamil dan bekas isteri, Diana Danielle, bercerai talak satu pada 10 Ogos lalu.

Biarpun istilah cerai tidak pernah terlintas dalam fikiran jejaka ini, namun, itulah hakikat yang harus diterima Farid yang juga pelakon dan pengarah sensasi.



Pernah melalui fasa bahagia dalam kehidupan ketika ditemani isteri dan anak tercinta, Farid atau nama penuh, Farid Kamil Zahari, 42, mengaku situasi yang dilaluinya sekarang bukanlah sesuatu yang mudah untuk didepani.

Namun, sesukar manapun ujian yang bakal dihadapi atau jika ada rasa sayang yang masih bersisa dalam hati, tegas Farid, adalah mustahil untuk mereka rujuk semula.

“Saya tidak tahu apa perancangan Allah kerana jodoh, ajal dan maut semua Allah tentukan.

“Saya jalani dengan penuh lapang dada. Tiada sebarang harapan kerana buat masa ini, saya tidak ada rasa hendak rujuk kembali,” katanya ditanya kemungkinan dirinya dan Diana kembali bersama sementelah masih dalam tempoh idah.



Percaya dengan qada dan qadar, pelakon filem Anwar: The Untold Story ini juga tidak sesekali menyalahkan takdir atas musibah menimpa dirinya.

Sebaliknya, Farid akan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya.

“Sebelum ini, saya pernah hidup sendiri (bujang), berkahwin dan kemudian kembali bersendiri (cerai). Apabila kembali hidup bersendiri, ini pengalaman baharu buat saya. Allah sudah tentukan perjalanan hidup dan saya kena hadapi dengan tenang.

“Saya perlu tempuh kehidupan ini dengan keredaan dan kerelaan hati. Apa yang pasti saya tahu saya tetap disayangi… Alhamdulillah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, kelmarin.



Pada prosiding itu, Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menetapkan hak penjagaan penuh dua anak mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8 diberikan kepada Diana.

Prosiding itu turut membenarkan Farid yang juga pengarah filem Remp-it 2 ini untuk melawat anak-anak mengikut terma dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Ditanya adakah beliau akan mencari pengganti untuk mengisi kekosongan hati, aktor kelahiran Alor Setar, Kedah ini lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada takdir.

“Sebenarnya, apa yang berlaku pada masa depan, semuanya sudah tertulis.



“Jadi apa ditakdirkan, saya terima sahaja. Saya sebagai hamba akan menjalani kehidupan seperti biasa, malah, mensyukuri segala nikmat diberi.

“Cuma, buat masa ini, tumpuan saya hanyalah pada kerjaya. Saya baru selesai satu projek filem di mana saya pegang watak Rashid Sidek. Saya sedang susun semula pekerjaan dan jadual saya.

“Insya-Allah, suatu hari hari nanti akan ada berita baik,” katanya yang tampak tenang sepanjang temubual berlangsung.

Mengulas keputusan mahkamah menyerahkan hak penjagaan anak kepada bekas isteri, Farid reda dengan keputusan itu.



Farid hanya mampu mendoakan kesejahteraan buat dua permata hatinya itu.

“Hari ini (kelmarin) adalah proses akhir hadanah dan diselesaikan secara baik. Saya serah hak penjagaan menerusi perjanjian secara global dan mengikut terma yang sudah ditetapkan.

“Buat masa ini, saya hanya doa Fi Amanillah (di bawah lindungan Allah) serta saya berharap mereka (anak-anak) akan selamat dan bahagia,” katanya.

Kemelut rumah tangga Farid dan Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 32, berakhir dengan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Subang pada 10 Ogos lalu.



Lafaz cerai dilakukan Farid menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ini kerana Farid selaku defendan dalam kes lafaz cerai tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih tidak sihat akibat kesan jangkitan COVID-19.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata. BH

Farid Kamil reda ketentuan takdir

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Abang Tesla – Biodata, Profil dan Latar Belakang

Back up Abang Tesla, Caprice kena lepuk dengan isteri

Fyna Jebat komen hubungan dengan Zainal Abidin

Abang Tesla kahwin dua, aku pula yang kena bebel (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker