GEONAT temukan fosil karang 300 juta tahun di Perak

KAMPAR: Fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang dekat sini.

Beberapa jenis hidupan purba daripada spesies siput laut berkenaan yang sudah lama pupus dijumpai sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) yang melakukan penyelidikan di kawasan itu.

Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor, berkata pihaknya menjelajah kawasan berkenaan selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.

“Kami menemukan lebih tiga atau empat jenis fosil daripada kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan satu lagi fosil karang, apa yang kita boleh katakan di sini paling banyak jenis Gastropod kita jumpa 50 spot yang melekat pada batu-batuan.

Naib Pengerusi GEONAT Mohd Fadly Md Noor (tengah) memberikan penerangan mengenai fosil yang melekat pada batu-batuan di sebuah kawasan berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar semalam.
Naib Pengerusi GEONAT Mohd Fadly Md Noor (tengah) memberikan penerangan mengenai fosil yang melekat pada batu-batuan di sebuah kawasan berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar semalam.

“Penemuan ini merupakan yang pertama setakat ini pernah dijumpai di Perak khususnya daerah Kinta dan fosil ini ialah hidupan laut kuno yang muncul sejak zaman paleozoik sebelum wujudnya haiwan reptilia purba dinosaur,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi yang turut hadir menyaksikan fosil yang ditemukan mereka.

Mohd Fadly berkata semua spesimen yang ditemukan itu masih belum dibawa keluar dari lokasi terbabit dan penemuan itu turut dimaklumkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.

“Semua penemuan masih berada dalam kawasan ini kerana tanah ini milik kerajaan negeri dan kita belum lagi mengambil sebarang sampel sehingga satu notis keluar daripada pihak JMG barulah pensampelan dibuat dan setiap laporan akan dihantar ke JMG termasuk turut berkait dengan Geotapak Lembah Kinta,” katanya.

Beliau berkata susulan penemuan itu, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mewartakan kawasan 6.9 hektar terbabit sebagai tapak warisan geologi bagi melindungi dan memulihara kawasan di sekitar tapak penemuan berkenaan.

“Kita percaya kemungkinan besar lebih banyak fosil sedemikian ada di kawasan ini kerana ia agak luas dan kita akan teruskan pencarian bagi menemukan spesimen atau fosil jenis lain.

“Penemuan hasil penyelidikan itu perlu dipulihara kerana ia turut membabitkan unsur penting dalam menentukan sejarah perkembangan geologi serta proses pembentukan bumi di sini,” katanya.

Mohd Fadly berkata fosil karang di atas batu kapur puncak dalam air itu membuktikan kawasan berkenaan dahulunya merupakan lautan, namun mengalami proses pembentukan muka bumi sehingga menjadi daratan.

Perak akan warta kawasan penemuan fosil purba di Changkat Tualang

Sementara itu, Mohd Azlan berkata kerajaan negeri akan mewartakan kawasan penemuan fosil karang purba di tapak seluas 6.9 hektar dekat Kampung Changkat Tualang di sini, sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.

 

Fosil jenis Rugosa yang melekat pada batu-batuan ditemukan di sebuah kawasan berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar semalam. - foto BERNAMA
Fosil jenis Rugosa yang melekat pada batu-batuan ditemukan di sebuah kawasan berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar semalam. – foto BERNAMA

Katanya, kawasan itu mempunyai keunikan tersendiri dengan pencirian nilai sumber warisan meliputi saintifik, rekreasi, estetik dan sejarah untuk diangkat sebagai geoproduk pelancongan baharu.

Berdasarkan maklumat dan kajian daripada para penyelidik, didapati kawasan itu mempunyai pelbagai khazanah berharga bagi membolehkan kawasan berkenaan menjadi geotapak pertama di negeri ini yang mempunyai fosil karang.

“Kita perlu ambil langkah kawalan kerana rekod sejarah perkembangan bumi itu perlu dipulihara untuk membolehkan penjanaan pengetahuan baharu bagi faedah generasi akan datang, jadi ia perlu diwartakan.

“Usaha bersepadu perlu digerakkan membabitkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar termasuk komuniti Kampung Changkat Tualang bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Mohd Azlan Helmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata pihaknya percaya kemungkinan besar lebih banyak fosil sedemikian ada di kawasan berkenaan dan perlu dipulihara segera.

 

Fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar. - foto BERNAMA
Fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar. – foto BERNAMA

“Selain mengawal kawasan terbabit sebagai warisan geologi, pewartaan kawasan berkenaan bakal memberi peluang kepada orang lain sama ada warga tempatan atau luar, untuk melihat sendiri beratus-ratus fosil berusia ratusan juta tahun di sini.

“Ia juga boleh digunakan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan, selain berpotensi besar dijadikan destinasi pelancongan baharu di Perak,” katanya.

Changkat Tualang dahulu adalah kawasan lautan

Beliau berkata penemuan GEONAT membuktikan suatu masa dahulu kawasan itu merupakan lautan terbuka dengan kebanjiran hidupan siput yang melekat pada batuan batu kapur puncak dalam air.

“Alhamdulillah, selepas berpenat, berpanas di kawasan itu selama tiga minggu mereka akhirnya membuat penemuan yang menggembirakan kerana mempunyai nilai sejarah tinggi 300 juta tahun.

“Kita sebagai rakyat Perak gembira dan bersyukur dengan penemuan ini dan ia akan memberi nilai tambah ke arah usaha kita mewujudkan tarikan pelancongan Geopark,” katanya. – BERNAMA

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tengku Fa-iz dilucutkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan

Unsur ‘softporn’, Alya Iman dan Shukri ‘dibantai’ netizen

Fatiya Latiff dicium pula selepas dipeluk

SuriaFM dedah punca khidmat Tyzo ditamatkan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker