Ini sebabnya ulama dahulu hebat-hebat belaka

Ini sebabnya ulama dahulu hebat-hebat belaka

Menjadi persoalan kenapa ulama terdahulu boleh melahirkan satu pemikiran yang bermutu sehingga boleh diguna pakai sehingga ke hari ini? Sedangkan ulama dahulu langsung tidak banyak pilihan dalam menggali ilmu, hanya dua sumber iaitu al-Quran dan hadis. Namun, pemikiran yang lahir dari hati yang ikhlas dan bersih itu sememangnya ditagih sehingga ke hari ini.

Berbeza dengan kita sekarang, banyak sumber yang boleh diperolehi untuk menambahkan ilmu di dada, tetapi langsung tidak dipedulikan. Apatah lagi untuk ke satu tempat yang bertujuan menuntut ilmu, juga tidak mempunyai masalah kerana kenderaan meliputi seluruh alam semesta iaitu laut, darat dan udara.

Berbeza pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi’in, hanya menggunakan jalan darat, iaitu hanya berjalan kaki, sekali sekala menunggang unta.

Menurut pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Haslan Khairuddin, pemikiran ulama terdahulu tiada tolak bandingannya kerana mereka menggunakan semaksimum mungkin hati mereka dalam menghasilkan idea yang bernas.

Banyak yang boleh diperkatakan tentang idea dan pemikiran para nabi dan ulama terdahulu yang berfikir menggunakan hati, bukannya otak semata-mata. Teringat pada satu kisah yang terjadi pada zaman Nabi Sulaiman, ketika itu ada dua orang ibu berebut seorang anak.

Lantas dibawa berjumpa Nabi Sulaiman untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Maka kata Nabi Sulaiman,

“Kita belah dua anak ini dan bahagikan sebelah seorang agar ianya adil”. Lalu seorang ibu memberitahu kepada Nabi Sulaiman agar memberikan sahaja anak itu kepada lawannya itu sedangkan yang seorang lagi itu bersetuju dengan cadangan Nabi Sulaiman. Tahulah nabi Sulaiman siapa ibu sebenar anak tersebut.

Jika Nabi Sulaiman tidak menggunakan hati untuk mencari jalan penyelesaian, mungkin keadaan itu akan menjadi lebih rumit. Tetapi tengok sejauh mana kebijaksanaan Nabi Sulaiman dalam mengendalikan hal tersebut, hanya dengan satu idea, selesai semuanya. Itu beza menggunakan akal dan hati dalam berfikir.

Wan Haslan juga menjelaskan, kebijaksanaan ulama terdahulu dalam pemikiran hingga berupaya menetapkan hukum yang boleh diguna pakai oleh seluruh umat Islam sehingga hari ini. Daya pemikiran yang kritis dihasilkan dari hati yang bersih membolehkan mereka menetapkan hukum yang ditentukan melalui kaedah ‘qiyas’, iaitu hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran dan hadis, tetapi ditentukan melalui perbandingan.

Jika tidak mempunyai pemikiran yang baik dan hati yang bersih dalam memahami permasalahan, sudah tentu mereka tidak dapat membuat hukum. Kaedah qiyas ini bukan boleh dilakukan semua orang, tetapi orang tertentu yang mempunyai kelayakan dan kredibiliti tinggi dalam memahami ilmu Allah.

Beza hati dan akal

Perbezaan berfikir menggunakan akal dan hati dapat dilihat jelas antara orang yang beriman dan tidak beriman. Sebagaimana yang kita tahu, kecerdasan otak dalam melahirkan pemikiran yang logik akal dan ciptaan manusia pada hari ini adalah dimonopoli oleh orang bukan Islam.

Mereka tidak perlukan masa yang lama untuk mencipta sesuatu teknologi yang boleh dimanfaatkan seluruh dunia. Tetapi pemikiran yang lahir itu adalah dari akal semata-mata tanpa adanya dorongan dari hati sehingga menyebabkan ada baik dan buruknya idea yang dikeluarkan.

Menurut Wan Haslan, berbeza pula dengan ilmuwan Islam terdahulu, seperti al-Biruni, Ibnu Batutah, al-Farabi, Salman al-Farisi dan lain-lainnya. Mereka juga adalah contoh ulama yang pakar dalam bidang masing-masing.

Tetapi mereka mendahulukan hati dalam melahirkan pemikiran sehingga idea yang mereka jana itu terlalu baik dan digeruni oleh ahli barat sehingga kini. Bagaimana ilmu matematik, ilmu sains dan sebagainya wujud sebelum adanya teknologi yang canggih adalah bukti pemikiran yang lahir dari hati mampu merentasi segala yang ada, termasuk teknologi. Tetapi hasil dan kesannya adalah baik untuk diguna pakai di dunia ini tanpa meninggalkan kebaikan di akhirat.

Namun, pada hari ini masyarakat langsung tidak menekankan penggunaan konsep berfikir dengan hati, tetapi lebih mengutamakan berfikir dengan akal. Lihat saja, ibu bapa berlumba-lumba mencari sekolah terbaik dari segi akademik terhadap anak mereka, kerana risau akan tertinggal ke belakang kelak.

Tetapi aspek rohani yang patut diberi penekanan langsung dilupakan terus. Walhal aspek rohani itu yang membawa manusia cemerlang dalam segala hal yang lain, terutama hal keduniaan.

Banyak bukti yang dapat dilihat, terutama dalam kalangan ulama tersendiri apabila hatinya mendahului pemikiran, ilmu lain yang sampingannya akan sendiri menghampiri dengan senang. Ulama sendiri, dalam hebatnya mereka berfikiran kena lihat juga bagaimana amalan mereka hingga dapat melahirkan hati yang bersih.

Memahami dan menghafal al-Quran, hadis dan mengembara mencari ilmu adalah contoh amalan ulama terdahulu. Disebabkan itu, apabila ilmu akhirat dikuasai, maka ilmu lain dengan senangnya dapat digenggam. Itu patut didasari sebagaimana Islam mengehendaki. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Barang siapa menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, nescaya Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kefakiran membayangi kedua matanya, dan dunia tidaklah datang kepadanya melainkan apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barang siapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuan hidupnya, maka Allah akan mengumpulkan segala urusannya dan menjadikan kekayaan memenuhi hatinya, dan dunia mendatanginya dalam keadaan hina.” (HR Ibnu Majah).

Agama mendidik manusia untuk menggunakan seluruh potensi yang ada dalam jiwanya secara total (menyeluruh) terutama hatinya. Bahkan agama secara mendasar di awal lebih menekankan kepada mendidik bagaimana hati berfikir sebab hatilah yang kelak mengendalikan arah perjalanan hidup manusia, sehingga dalam agama hati dan akal dididik secara bersamaan kerana akal tidak menentukan arah perjalanan hidup manusia sebab ia hanya alat bagi hati. Wallahu a’lam Utv

Ini sebabnya ulama dahulu hebat-hebat belaka

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dengan nama Allah saya tak cemburu – TMJ

Promosi Hotel ‘Kongkek’, Wanita Ini Dikecam Netizen

Bukan semua pengguna media sosial naik angin Khairi dipecat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker