Undang-undang hina mahkamah, Ahli sains politik minta MP kaji semula

Gambar Hiasan***

 

Selepas Malaysiakini didapati bersalah menghina mahkamah dan didenda RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan semalam, ahli sains politik, Wong Chin Huat berkata anggota parlimen perlu mengkaji semula peruntukan undang-undang bagi mengelakkan situasi serupa di masa depan.

“Kita tidak boleh beritahu hakim bagaimana mereka harus buat keputusan, namun jika undang-undang cacat sehingga membenarkan penghakiman yang buruk, kita perlu perbaiki undang-undang.

“Ahli parlimen diminta berfungsi sebagai penggubal undang-undang dan kaji bagaimana undang-undang berhubung penghinaan mahkamah harus dipinda untuk mencegah kes yang lain seperti ini,” kata Wong dalam catatan di Facebook.

Dia meminta anggota parlimen menjadikan keputusan terhadap Malaysiakini semalam sebagai krisis terhadap kebebasan dan hak perlembagaan.

“Walaupun parlimen digantung, tiada sesiapa boleh menggantung pendapat ahli parlimen.

“Jawatankuasa pilihan khas mengenai kebebasan dan hak perlembagaan  harus diadakan walaupun secara tidak secara rasmi. Anggota Parlimen lain juga harus menyertainya,” kata Wong.

Semalam panel hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.

Bagaimanapun hakim mendapati Ketua Pengarang Malaysiakini yang juga responden kedua, Steven Gan tidak bersalah kerana menghina mahkamah.

Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf yang mempengerusikan panel tujuh hakim menyampaikan keputusan majoriti 6-1, dengan hakim yang tidak bersetuju adalah hakim Mahkamah Persekutua, P Nalini.

Denda RM500,000 yang dikenakan kepada Malaysiakini adalah lebih tinggi berbanding denda yang dimohon Peguam kanan persekutuan Suzana Atan iaitu sebanyak RM200,000.

Wong juga menyatakan rasa kecewa kerana tiada kabinet bayangan dibentuk oleh 108 ahli parlimen pembangkang untuk membincangkan kes tersebut.

“Mohon didebat dan usulkan pindaan yang perlu. Jangan beritahu kami bahawa anda tidak dapat melakukan apa-apa kerana anda tidak berada dalam kerajaan.

“Sekiranya anda tidak kisah mengenainya, tidak ada yang akan berubah walaupun anda berada dalam kerajaan,” kata Wong.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker