Rentas negeri, daerah, aktiviti sosial jadi penyumbang penambahan 14 kluster Covid-19


Perjalanan rentas sempadan daerah dan negeri dilihat menyumbang kepada sekurang-kurangnya 14 kluster jangkitan Covid-19 sejak 7 Disember lalu hingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut menyumbang kepada peningkatan itu adalah kebenaran terhadap aktiviti sosial.

“Lima daripada kluster jangkitan Covid-19 itu membabitkan aktiviti rentas sempadan daerah dan negeri manakala sembilan lagi susulan aktiviti sosial,” katanya pada sidang media Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada kluster membabitkan aktiviti rentas sempadan dikesan di Pahang iaitu Kluster Intan, Kluster Semambu dan Kluster Tembok Mempaga, satu di Kelantan iaitu Kluster Seragam Chepa dan satu lagi di Perak membabitkan Kluster Ehsan Ehsan Ibol.



“Kluster membabitkan aktiviti sosial ada sembilan dilaporkan iaitu Gerbang Pongsu di Perak; Lintas Seraya di Sabah; Sungai Redan di Johor; Maringkan di Sabah; Cassia Diamond di Pulau Pinang dan Selangor; Paginatan di Sabah; Sungai Burong di Selangor dan Negeri Sembilan; Kupi-Kupi di Sabah dan Bandar Impian di membabitkan jangkitan di Johor, Kelantan serta Perak,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham memberitahu, jumlah kes aktif yang dicatatkan di negara ini sudah menghampiri kapasiti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital yang diwartakan bagi merawat pesakit Covid-19.

Katanya, ketika ini kes aktif sudah mencecah 22,089 manakala kapasiti untuk rawatan pesakit adalah sebanyak 23,000.

Jelas beliau, pihaknya melihat kes semakin meningkat setiap hari terutama membabitkan kes tahap satu dan dua yang kini hampir mencecah antara 89 hingga 90 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan di Malaysia.



“Mereka ini perlu ditempatkan di PKRC dan kemudahan ini sudah penuh ketika ini. Kita masih masih melihat dan memberi keutamaan terhadap kes yang tidak ada tempat yang sesuai untuk mereka dikuarantin seperti pekerja asing yang kita tempatkan di PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS),” tambahnya. MG

Rentas daerah, negeri kini dibenarkan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker