Visi Keluarga Malaysia Ismail Sabri beri inspirasi dan cahaya ‘keyakinan’

PERANAN, penglibatan dan pengorbanan besar masyarakat India dalam proses pembangunan negara memang tidak dinafikan. Sekiranya kita kaji secara mendalam, pengaruh komuniti India cukup signifikan dalam bidang ekonomi, perladangan, perindustrian, barisan hadapan, tadbir urus, perkhidmatan awam, perniagaan, hiburan, pendidikan dan makanan.

Sudah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh ini, nasib dan masa depan masyarakat India umpama ‘tarik tali’, ditarik ke sana sini untuk kepentingan politik semata-mata.

Masyarakat India sering menjadi rebutan ‘modal politik’ setiap kali sebelum dan selepas musim pilihan raya. Pemimpin-pemimpin politik menjadikan komuniti tersebut untuk mencari, mencipta dan meraih ‘kuasa politik.’ Selepas itu ditinggalkan, dibiarkan dan dilupakan.

Selepas itu, muncullah macam-macam adegan umpama filem Tamil di mana pemimpin-pemimpin politik akan menuding jari, bertikam lidah dan menyerang antara satu sama lain. Akhirnya, sekali lagi masyarakat India terpaksa memaksa diri mereka untuk turun ke jalanan bagi mencari, menuntut keadilan dalam isu-isu berkaitan.

Jumlah kaum India di negara ini menurut statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia ialah seramai dua juta orang (6.9 peratus). Sebagai komuniti minoriti, kuasa politik masyarakat India cukup berbisa, malah menjadi kuasa penentu atau king maker setiap kali berdepan krisis sama ada di era Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH).

Itulah realitinya. Malah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), undi kaum India akan menjadi kuasa penentu kemenangan sekali lagi sekurang-kurangnya di 60 daripada 222 kawasan Parlimen khususnya Batu, Klang, Batu Gajah, Bagan Datuk, Tapah, Cameron Highlands, Bagan, Jelutong, Ipoh Barat, Taiping, Sungai Siput, Teluk Intan, Puchong, Lembah Pantai, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani, Batu Kawan, Hulu Selangor, Kota Rajah, Kuala Selangor, Segamat, Rasah, Port Dickson dan Sepang.

Ketika parti-parti politik berebut untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu yang masih menjadi kuasa dominan, berdasarkan situasi politik negara ketika ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi.

Sekiranya berlaku pertandingan dua atau tiga penjuru sekalipun, ia sudah tentu menyaksikan satu pertarungan sengit di mana undi kumpulan minoriti akan memberikan kesan cukup mendalam.

Ketika era BN, undi masyarakat India dilabel sebagai deposit tetap. Sejarah pilihan raya membuktikannya. Setelah gerakan Hindraf mengegarkan negara pada 2007 melalui laungan Makkal Sakti, nilai kesedaran politik dalam kalangan komuniti itu berubah sekelip mata. Mereka bukannya menuntut urimai ataupun hak kaum lain. Mereka mahu nasib dan masa depan terjamin, terbela dan dan terjaga seiring proses pembangunan negara.

Implikasinya, keputusan PRU-12, 13 dan 14 menceritakan segala-galanya. BN hilang, gagal menguasai sokongan masyarakat India secara berperingkat-peringkat dan PRU-14, sokongan kaum itu beralih, bertukar secara drastik di mana hampir 75 peratus pengundi India menyokong, memilih calon PH.

Ramai pemimpin politik berbangsa India ‘dilahirkan’ khususnya daripada pembangkang yang menang bergaya dan dinobatkan sebagai YB selepas gerakan Hindraf menggoncang politik negara pada PRU-12, 13 dan 14. Siapalah mereka tanpa gelombang Hindraf dan Makkal Sakti? Hari ini, Hindraf hanya tinggal ‘kenangan manis.’

 

PUTHIYA NAMBIKEI

Sokongan masyarakat India beralih kepada pembangkang kerana mereka mencari satu saluran politik alternatif bagi memperkukuhkan, memperkuatkan lagi kuasa politik demi memperjuangkan nasib dan harapan mereka.

Mereka mahu membina semula puthiya nambikei (harapan baharu) untuk kaum itu di negara ini.

PH menjanjikan kaum India dan minoriti di negara ini akan terus dibela dan kebajikan mereka dijaga melalui 2 manifesto PH pada PRU-14. Selepas kerajaan pimpinan PH tersungkur melalui ‘Langkah Sheraton’, segala janji-janji itu dilupakan dan hanya tinggal sebagai ‘cenderamata politik.’

Dalam tempoh 64 tahun merdeka, unit khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membiayai program-program yang membawa impak positif secara langsung kepada mayarakat India. Sejumlah RM100 juta diperuntukkan setiap tahun.

Ketika era PH pula, nama SEDIC diukar kepada MITRA iaitu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia manakala Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) dibatalkan. Kini MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

SEDIC ataupun MITRA. Apalah ada pada nama? Yang merisaukan, isu-isu penyalahgunaan dana ini sering kedengaran ketika era BN, PH, Perikatan Nasional (PN).
Sudah tiba masanya MITRA diletakkan semula di bawah JPM. Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai masyarakat India boleh ditubuhkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi dah ahli-ahlinya terdiri daripada wakil kerajaaan dan pembangkang.

Masyarakat India memerlukan kepimpinan kuat dan dinamik untuk mengharungi segala cabaran semasa yang menanti dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, keperluan asas, kemiskinan, perumahan, peluang pekerjaan termasuk di sektor awam dan swasta .

Diharapkan misi dan visi Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Ismail Sabri akan memberikan inspirasi dan cahaya ‘keyakinan’ kepada masyarakat India di negara ini.
Deepavali Valthukal.

DATUK Anbumani Balan ialah penganalisis politik.

Visi Keluarga Malaysia Ismail Sabri beri inspirasi dan cahaya ‘keyakinan’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penggunaan logo PN hanya untuk PRN Melaka – PAS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker