Diuji tekanan mental, Harun pernah tinggal dalam kebun sehelai sepinggang

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Harun Hashim, 68, berkongsi pernah ‘melarikan’ diri dan tinggal dalam kebun di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang bersendirian selama dua tahun selepas berdepan masalah kesihatan mental.

Harun berkata, dia pernah beberapa kali ‘menghilangkan’ diri daripada radar dunia seni kerana diuji masalah kesihatan mental.

Kali pertama, katanya, dia menghilangkan diri selama hampir dua tahun sekitar 1993.

Katanya, dia puas berubat termasuk berjumpa doktor, namun masalah dihadapi tetap tidak berjaya diselesaikan.

Bagi mencari kedamaian, Harun berkata, dia ‘melarikan’ diri dengan tinggal dalam kebun di Kampung Tok Muda bersendirian.

“Tahap kesihatan mental saya agak teruk sehingga saya menanam kacang pada jam 2 pagi. Selain bercucuk tanam, saya turut membela kira-kira 400 ekor ayam.

“Namun, saya amat terhutang budi kepada Allahyarham Mior Ahmad Zaudi kerana sanggup datang ke kebun, mengambil saya dan mencarikan ‘job’.

“Ketika itu, saya hidup sehelai sepinggang, jadi arwah mencarikan baju dan sanggup bersusah payah menghantar serta mengambil saya ke lokasi penggambaran.

“Apa yang membuatkan saya lebih rasa terhutang budi, arwah tidak mengambil duit saya walaupun satu sen. Sebaliknya, arwah banyak keluarkan duit dan langsung tidak berkira.

“Selepas membawa saya keluar dari tempat ‘persembunyian’, tawaran lakonan lebat termasuk membintangi telefilem Pa’e,” katanya mengimbas apa yang pernah berlaku dalam hidupnya sebelum ini.

Harun berkata, dia pernah meminta arwah menjadi pengurusnya, tetapi arwah hanya ingin membantunya.

“Walaupun saya sudah ada duit, tetapi arwah tetap tidak mahu mengambil duit saya termasuk duit minyak. Kebaikan arwah tidak akan saya lupakan sampai hujung nyawa,” katanya.

Harun yang diperkenalkan menerusi drama hitam putih, Potret Pekerti pada 1978 kembali diuji apabila badannya mengalami kegatalan dan penyakit misteri sejak 2004, namun, membuat kemunculan semula 10 tahun kemudian.

Harun dan isterinya, Sakinah Ganjali ditemui ketika hadir memeriahkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jumaat lalu.

Berkongsi perkembangan terkininya, Harun yang memulakan kerjaya lakonan pada 1976, masih lagi aktif berlakon.

Namun, atas faktor usia, katanya, dia akur tawaran diterima tidak lagi selebat dahulu.

“Kali terakhir saya berlakon drama bersiri yang disiarkan di Awesome TV, seingat saya sekitar Ramadan lalu. Sehingga kini, tiada lagi tawaran diterima.

“Saya masih minat berlakon, cuma tawaran semakin berkurangan. Bayaran diterima juga agak rendah berbanding sebelum ini, namun saya serahkan kepada isteri untuk menentukan harga.

“Bukan apa, ada masanya saya terlupa berapa upah yang sudah dipersetujui. Jadi, lebih baik isteri uruskan.

“Sebelum ini, saya pernah terkena apabila menerima bayaran tidak setimpal. Mulanya saya hanya berbual kosong dengan wakil produksi kerana kami saling mengenali,

“Saya ditawarkan ‘job’, namun kami langsung tidak berbincang mengenai harga atas dasar percaya. Sebaik menerima upah, saya terkejut bayaran diberikan tidak berbaloi.

“Tetapi, itu salah saya juga kerana tidak berbincang soal harga. Sejak itu, saya serahkan kepada isteri untuk menguruskannya,” katanya.

Harun berkata, dia kini tinggal di kampung selepas perniagaan kedai makan yang diusahakan di Sentul bungkus, beberapa tahun lalu.

“Saya bersyukur isteri banyak membantu demi kelangsungan hidup. Isteri kini mengusahakan perniagaan kerepek seperti pisang, ubi dan turut membuat bahulu.

“Hasil air tangan isteri dihantar ke stesen minyak berhampiran, selain turut menerima tempatan untuk majlis kenduri,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Norish Karman bibir tebal kerana botox?

Isteri nak buat kejutan

Dato Malik bebas dengan jaminan

Hari Asyura, kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker