Indonesia batal musnah hutan untuk tanam padi

Indonesia batal musnah hutan untuk tanam padi

JAKARTA – Indonesia hari ini menyatakan akan menghentikan sebuah projek bertujuan memusnahkan beberapa juta hektar hutan bagi meneroka tanah untuk pengeluaran padi.

Jakarta melancarkan program pada tahun 2024 untuk menghentikan kebergantungan kepada import beras dalam tempoh lima tahun akan datang dengan meneroka tiga juta hektar tanah untuk sawah padi.

Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai paling banyak kawasan hutan di dunia, dan secara tidak langsung merupakan penyerap utama pelepasan karbon yang memanaskan Bumi akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia.

Kerajaan menetapkan matlamat menjadi negara penyerap karbon bersih menjelang 2030, dengan hutan dan penggunaan tanah lain, menyerap lebih banyak karbon berbanding yang dilepaskan.

Bagaimanapun, pemerhati-pemerhati berkata, pemusnahan hutan berterusan untuk pertanian dan pembalakan, serta kebakaran hutan yang berleluasa boleh menjejaskan rancangan Jakarta.

Presiden Prabowo Subianto menyambut baik ‘kemenangan penting’ tahun ini selepas data menunjukkan permintaan beras negara telah dipenuhi oleh pengeluaran tempatan.

Utusan Iklim Hashim Djojohadikusumo berkata, stok beras rizab strategik kerajaan mencapai kira-kira 5.3 juta tan.

“Kerajaan melihat tiada keperluan lanjut untuk meluaskan penanaman padi di kawasan hutan,” kata Hashim yang merupakan saudara lelaki Prabowo.

Menurutnya, kerajaan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada ‘langkah intensifikasi’ termasuk menggunakan benih unggul untuk meningkatkan hasil padi.

Tidak diketahui berapa banyak hutan yang telah digantikan dengan sawah padi sebelum projek itu dihentikan.

Menurut Agensi Makanan Nasional yang berusaha memajukan keterjaminan makanan di Indonesia, negara itu mengeluarkan 34.71 juta tan beras pada 2025 dan jauh melebihi permintaan tahunan sebanyak 31.19 juta tan.

Jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia menyelubungi negara jiran Malaysia dan Singapura selama berminggu-minggu.

Keadaan panas dan kering yang dikaitkan dengan fenomena cuaca El Nino telah menyemarakkan kebakaran hutan, yang juga dikaitkan dengan pembersihan tanah. – AFP

Indonesia batal musnah hutan untuk tanam padi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘… Bulat Lembaga Melantik Undang, Bulat Undang Melantik Raja’

 

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker