M40 mahu minta tolong dari siapa?
M40 mahu minta tolong dari siapa?
Bukan mahu merungut jauh sekali tidak bersyukur dengan apa yang dinikmati, cuma penjawat awam ini berharap pihak terlibat terutama kerajaan lebih cakna akan keperluan dan situasi semasa golongan senasib dalam kategori M40 yang tinggal di bandar.
Beliau yang memperkenalkan dirinya sebagai Nurul berusia 39 tahun memberitahu Bernama, dilema yang dialaminya ini mungkin turut ditanggung oleh lebih ramai lagi golongan M40 bawahan di negara ini.
Ibu kepada empat orang anak ini berkongsi kekecewaannya apabila pernah memohon bantuan tetapi gagal kerana kedudukan beliau dalam kategori M40.
“Memang amat kecewa dan stres sangat bila cuba mohon bantuan tapi tak lepas (tidak berjaya) sebab berada dalam kategori M40. Contohnya, baru-baru ini, saya cuba memohon bantuan penuh untuk anak ketiga yang menghidap Autisme ringan, tetapi dalam borang letak syarat pendapatan isi rumah mesti bawah RM5,000, jadi automatik saya tidak layak.
“Saya kategori M40 bawahan dan ada empat orang anak yang berusia dua hingga 10 tahun. Syarat permohonan berdasarkan pendapatan dan tidak ambil kira jumlah tanggungan. Hakikatnya, besar bezanya bagi M40 yang menanggung seorang anak berbanding empat orang yang masih kecil dan bersekolah seperti saya. Tidak keterlaluan jika dikatakan kami ini lepas seminggu gaji, bayar hutang itu ini, lepas tu jadi B40lah,” tambah Nurul.
Jadi B40 akibat pandemik
Kumpulan isi rumah di Malaysia dikelaskan mengikut struktur taburan pendapatan iaitu berpendapatan rendah (B40), pendapatan pertengahan (M40) dan pendapatan tinggi (T20).
Ketika fokus dan pelbagai inisiatif bantuan diberikan kepada golongan B40, realitinya ramai golongan M40 yang memendam perasaan kerana dihimpit cabaran getir akibat peningkatan kos sara hidup terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Ada pula yang terpaksa menelan pahit kehidupan kehilangan mata pencarian akibat diberhentikan kerja namun masih perlu menanggung pembiayaan keluarga, ansuran rumah dan kereta.
Felo Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan (EMAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Muhammad Hisyam Mohamad ketika diminta mengulas isu M40 ini berkata, M40 tergolong kepada isi rumah yang berpendapatan antara RM4,851 sehingga RM10,970.
Berdasarkan pengelasan baharu isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2020), isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,850 sebulan dikategorikan sebagai B40, isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970, manakala kumpulan isi rumah yang berpendapatan melebihi RM10,971 dikategorikan sebagai T20.
Had pendapatan bagi M40 yang diperincikan kepada M1 ialah RM4,851-RM5,880, M2 (RM5,881-RM7, 100), M3 (RM7,101-RM8,700), dan M4 (8,701-RM10,970).
“Kesan pandemik Covid-19 menyaksikan lebih kurang 20 peratus isi rumah M40 jatuh ke dalam kategori B40. Sebelum ini fokus kerajaan lebih terarah kepada membantu golongan B40. Namun dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang dihadapi masyarakat terutama yang berkaitan isu kos sara hidup dan gaji yang tidak banyak berubah serta tidak selari dengan kenaikan kadar inflasi semasa, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kebajikan golongan M40 turut diberi perhatian.
“Tambahan pula apabila Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa kali menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ini turut menambah tekanan kepada beban yang perlu ditanggung oleh golongan berkenaan terutama bagi mereka yang mempunyai komitmen pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan kepada pihak bank,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kategori berbeza ikut negeri
Mengulas lanjut Muhammad Hisyam berkata, dari sudut perbandingan antara negeri, pengkelasan pendapatan yang ditetapkan bagi golongan B40, M40 dan T20 juga adalah berbeza.
“Di negeri atau kawasan maju seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor dan Pulau Pinang, pendapatan yang digunakan bagi mengkelaskan setiap golongan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan tahap pendapatan yang digunakan bagi mengkelaskan golongan yang sama di negeri Kelantan, Sabah, Perak dan Kedah.
“Sebagai contoh, di Kelantan isi rumah yang berpendapatan melebihi RM6,620 tergolong dalam kategori T20. Namun mereka tergolong dalam kategori B40 dengan jumlah pendapatan ini sekiranya tinggal di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur,” katanya.
Bersetuju jumlah pendapatan isi rumah B40 dan M40 terutama yang tinggal di bandar tidak selari dengan kos sara hidup hari ini, beliau berkata Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah Dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Ogos 2021, menunjukkan pendapatan isi rumah bulanan purata dan penengah Malaysia masing-masing merosot kepada negatif 10.3 peratus dan negatif 11.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (2019).
Purata pendapatan isi rumah Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019, manakala penengah pendapatan isi rumah pula adalah RM5,209 pada tahun 2020 berbanding RM5,873 pada tahun 2019.
Namun begitu dari segi pendapatan individu, Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2021, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Oktober 2022 menunjukkan purata gaji dan upah bulanan individu untuk 2021 meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM3,037 berbanding RM2,933 pada tahun 2020.
Penengah gaji dan upah bulanan individu untuk 2021 juga meningkat sebanyak 9.1 peratus iaitu kepada RM2,250 berbanding RM2,062 pada tahun 2020.
“Secara statistik peningkatan purata dan penengah pendapatan individu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang positif. Akan tetapi jika diamati dengan lebih teliti, peningkatan 3.5 peratus purata gaji tersebut adalah peningkatan gaji sebanyak RM104 sahaja manakala peningkatan 9.1 peratus penengah gaji merujuk kepada kenaikan tahunan sebanyak RM188 sahaja.
“Jika kenaikan inflasi, kos sara hidup dan tolakan wajib (seperti cukai, zakat dan caruman kepada skim keselamatan sosial) yang dikenakan ke atas isi rumah turut diambil kira, pertumbuhan sebenar pendapatan yang dicatatkan adalah rendah dan mungkin ramai akan termasuk di dalam kategori miskin.
“Ini memandangkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 yang ditetapkan kerajaan adalah sebanyak RM2,208 iaitu hanya kurang sedikit dari penengah pendapatan individu pada 2021,” jelasnya.
Subsidi bersasar, pelepasan cukai
Berdasarkan keadaan semasa, Muhammad Hisyam berpendapat, pihak berwajib perlu meneliti kembali pembahagian kategori penduduk berdasarkan pendapatan isi rumah yang diguna pakai sekarang.
Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan isi rumah M40 yang jatuh ke dalam kelompok B40 bahkan melibatkan golongan T20 yang tergelincir ke dalam M40 bahkan ada yang menjadi B40.
“Pendapatan tertinggi B40 yang dikelaskan bawah B4 dengan M40 yang dikelaskan bawah M1, bezanya tidak banyak. Bagi M40 (M1) yang tinggal di kawasan bandar yang mempunyai isi rumah yang ramai, pengkelasan sebegini menyebabkan mereka tersisih sedangkan mereka juga memerlukan bantuan dan perhatian pihak kerajaan.
“Justeru, pihak kerajaan perlu menimbangkan pemberian subsidi bersasar dan keringanan dari aspek percukaian kepada golongan M40 terutama yang berada dalam kelas M1 dan M2. Pelepasan cukai juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk golongan ini.
“Dalam pembentangan bajet 2021 sebelum ini, cadangan seperti golongan M40 yang berpendapatan di bawah kadar tertentu diberikan bantuan tunai kewangan, pelepasan cukai untuk barangan IT tertentu, khidmat perubatan, penjagaan anak-anak dan sebagainya dan ini boleh dipertimbang untuk diteruskan
“Selain itu, aspek penetapan gaji yang bersesuaian (bukan gaji minimum) dengan kelulusan, kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh golongan M40 dan juga golongan pekerja yang lain perlu diambil kira oleh pihak majikan,” katanya menambah, negara perlu keluar dari perangkap negara berpendapatan sederhana sekiranya ingin menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2024-2028 seperti yang diunjurkan oleh Bank Dunia.
Tingkat kualiti pelaburan
Sementara itu, pensyarah ekonomi yang juga Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Mohd Nahar Mohd Arshad mencadangkan, kerajaan boleh meningkatkan pendapatan boleh guna M40 dengan menurunkan kadar cukai yang perlu dibayar oleh golongan itu.
“Pendapatan boleh guna merujuk kepada pendapatan individu setelah ditolak cukai pendapatan perseorangan. Pendapatan boleh guna boleh digunakan untuk perbelanjaan dan tabungan,” katanya.
Menyentuh mengenai golongan M40 bawahan sebagai miskin bandar, beliau berkata, keadaan itu besar kemungkinan berlaku dengan kenaikan inflasi dan komitmen kewangan yang pelbagai untuk golongan M40 yang tinggal di bandar.
Berpendapat negara perlu meningkatkan kualiti pelaburan yang dibawa masuk bagi membantu status ekonomi rakyat, beliau berkata sekarang bukan lagi masa yang sesuai untuk dicanang ke seluruh dunia bahawa Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang menawarkan tenaga buruh yang murah.
“Para pelabur perlu diyakinkan untuk membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan bersih alam sekitar dengan penawaran gaji yang tinggi untuk pekerja tempatan,” katanya.
Ditanya mengenai gaji kehidupan wajar yang pernah disarankan BNM sebelum ini, Mohd Nahar berkata, ia lebih sukar dan memakan masa untuk dicapai berbanding kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ini berikutan kadar gaji minimum pekerja adalah undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua pihak majikan dan sekiranya gagal mereka mereka boleh dikenakan hukuman atau denda.
“Kadar gaji minimum pun belum tentu dapat menampung keperluan jauh sekali mencukupi untuk golongan pekerja (berpendapatan rendah) yang berhadapan realiti kos kehidupan yang semakin tinggi. Kadar gaji minimum terhad untuk pekerja menyediakan keperluan asas untuk diri dan keluarga.
“Gaji kehidupan wajar sebaliknya membolehkan seseorang menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan tidak terhad kepada keperluan asas semata-mata sebaliknya melibatkan simpanan kecemasan dan juga pelaburan untuk masa hadapan.
“Namun begitu, pengiraan untuk pendapatan wajar lebih kompleks kerana ia melibatkan banyak faktor seperti pendapatan semasa, corak perbelanjaan, lokasi, saiz isi rumah dan keseimbangan kerja dan senggang,” katanya.
Selain struktur ekonomi semasa berada dalam perangkap pendapatan pertengahan dan perlu berubah ke arah berpendapatan tinggi, beliau berkata, dalam hal ini, majikan menganggap usaha meningkatkan pendapatan pekerja akan turut meningkatkan kos dan untuk itu, mereka menuntut peningkatan produktiviti selaras dengan kenaikan gaji.
Mohd Nahar juga tidak menolak bebanan kewangan yang dihadapi dibimbangi akan membawa kepada isu yang lebih besar termasuk masalah kesihatan mental.
Beliau juga berpandangan, selain bantuan secara bersasar kepada golongan memerlukan, rakyat juga perlu didedahkan dengan aspek literasi kewangan.
“Perkara ini juga bukan sahaja melibatkan tanggungjawab kerajaan malah melibatkan pihak majikan, kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan serta seluruh ahli masyarakat. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing ke arah kebajikan rakyat yang terbela,” katanya. Sinar
M40 mahu minta tolong dari siapa?
Baca Artikel Menarik:
- Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]
- MCA semakin terasing hanya mampu menang di kerusi majoriti Melayu
- Kedudukan Anwar tidak terjejas jika empat kerusi Parlimen perlu dikosongkan
- Jho Low memang suka ‘petik’ nama orang kenamaan- Joanna
- Perlembagaan GRS peruntuk keahlian terus individu, kesatuan antara parti – Armizan
- Ismail nafi jumpa Muhyiddin di Jakarta, arah peguam saman fitnah
- Sanusi beritahu Anwar, jumpa di mahkamah
- Mayat berulat dalam rumah
- Melampau! Kepala babi diletakkan di atas bumbung masjid
- Wanita Indon dikecam netizen Malaysia kerana perlekeh Bahasa Melayu
- Arab Saudi mahu bina bangunan tertinggi di dunia dengan kadar ketinggian 2 kilometer
- Pemutihan UMNO perlu untuk elak Langkah Sheraton 2.0 berulang
- Zizan Razak Bagi Amaran Dekat Dara & Janda
- Syafiq Abdullah mahu saman ‘pihak menganiaya’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.