Boleh kena kanser mulut

Boleh kena kanser mulut

Sengaja cari nahas. Itu kesimpulan diperolehi apabila ramai mangsa yang mendapatkan khidmat doktor gigi palsu sebaliknya mengalami gigi ‘gugur’ dan kanser mulut.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman berkata, masalah serius seperti kanser yang terdapat dalam mulut boleh berlaku atau menjadi bertambah serius kesan rawatan haram diberikan golongan doktor gigi tidak bertauliah ini.



Menurutnya, kanser mulut berkenaan akan lebih melarat memandangkan pengamal pergigian haram ini tidak mempunyai ilmu dalam mengenalpasti keadaan mulut yang tidak normal seperti kanser mulut.

“Setakat ini pihak KKM mengesan enam bentuk perkhidmatan pergigian popular ditawarkan doktor gigi haram ini membabitkan pemasangan pendakap gigi (tooth braces), pemasangan veneer gigi, pemutihan gigi (tooth whitening), pembuatan dan pemasangan gigi palsu (dentur), cabut gigi dan penskaleran gigi.

“Setiap satu prosedur rawatan dikendalikan pengamal pergigian haram ini memiliki bahaya tersendiri.

“Sebagai contoh, pemasangan pendakap gigi (tooth braces) untuk tujuan rawatan ortodontik iaitu rawatan membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur (gigi jongang atau gigi berlapis) boleh menyebabkan bahan digunakan tidak melekap dengan kemas.



“Ini seterusnya terdapat risiko bahan itu tertelan atau tersedut yang seterusnya boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan paru-paru. Selain dari itu, tiada kepastian samada pendakap gigi yang digunakan adalah selamat dan tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan pesakit,” katanya.

Menurutnya, bagi aktiviti pemasangan veneer gigi, pihak KKM khuatir bahan yang digunakan tidak memenuhi standard.

“Ini boleh menyebabkan gigi patah atau terkeluar selain terdapat risiko pesakit tertelan serpihan bahan yang patah atau terkeluar ini.
“Manakala bagi rawatan pemutihan gigi (tooth whitening), doktor gigi haram ini dikesan menggunakan asid dengan kepekatan berlebihan yang dibeli di pasaran. Proses ini seharusnya dilakukan pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 2018 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998,” katanya.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan pembuatan dan pemasangan gigi palsu (dentur), tukang gigi palsu ini tidak mengambil kira keadaan mulut pesakit serta anatomi mulut seseorang.



“Ini boleh menyebabkan gigi palsu yang diperolehi salah dipasang serta tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini seterusnya boleh menyebabkan kesakitan sendi tulang rahang dan mengganggu kehidupan harian seseorang individu.

“Manakala tindakan mereka ini yang mencabut gigi pelanggan tanpa mematuhi prosedur yang betul boleh mengakibatkan komplikasi pendarahan berlanjutan, jangkitan selepas prosedur serta kesakitan yang berpanjangan.

“Malah penskaleran gigi yang dilakukan tanpa ilmu, alat dan kemahiran yang tepat boleh menyebabkan gigi dan gusi tercedera, sekaligus boleh mengakibatkan pendarahan berterusan dan kesakitan,” katanya.

Harian Metro Selasa lalu, mendedahkan kemunculan ramai doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang menawarkan perkhidmatan di salun kecantikan dengan mengenakan bayaran sehingga RM3,000.



Bagaimanapun, pihak KKM berjaya membongkar dan melakukan tangkapan terhadap empat individu warga tempatan susulan serbuan di dua premis di Puchong, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

Sedia perjanjian elak pelanggan bocor rahsia

Risikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati wujud pengamal pergigian haram meletakkan syarat supaya pelanggan menandatangani surat perjanjian khas.

Difahamkan do kumen itu bertujuan memastikan pelanggan tidak membocorkan rahsia kegiatan haram itu kepada pihak berkuasa.



Taktik itu sekaligus menyebabkan pelanggan merasa gusar untuk melaporkan kegiatan ini kerana beranggapan tandatangan pada surat perjanjian itu menyebabkan mereka terikat dan boleh disaman.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman berkata, pelanggan bagaimanapun tidak perlu gusar berikutan surat perjanjian itu tidak sah dan tidak terpakai di mahkamah kerana kegiatan pengamal pergigian haram ini sememangnya salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, seseorang doktor gigi bertauliah wajib memiliki Sijil Amalan Tahunan yang dikeluarkan Majlis Pergigian Malaysia.

“Ia sepatutnya dipamerkan di premis (fasiliti) yang berdaftar dengan KKM. Sijil Pendaftaran Klinik dengan KKM juga sepatutnya dipamerkan di premis.



“Selain itu perkhidmatan pergigian yang selamat adalah disediakan di premis yang berdaftar dengan KKM. Premis yang selamat ini selalunya mempunyai persekitaran sebagai sebuah klinik dan bukannya di salon kecantikan, rumah persendirian, rumah tumpangan atau di hotel mahupun di tepi jalan serta di pasar awam,” katanya.

Beliau berkata, semakan pendaftaran pengamal pergigian boleh dilakukan melalui laman web Dental Practitioners Information Management System di pautan https://[email protected]/.

“Manakala bagi semakan klinik pergigian yang berdaftar dengan KKM boleh dibuat melalui laman sesawang https://medicalprac.moh.gov.my/.

“Sekiranya pernah ditipu, menjadi mangsa doktor gigi haram atau terdapat tawaran serta iklan perkhidmatan pergigian mencurigakan, sila laporkan ke Cawangan Perundangan dan Penguatkuasaan Program Kesihatan Pergigian KKM melalui talian 03-88834215 / 4212 / 4237.

“Tindakan boleh diambil mengikut Akta Pergigian 2018 [Akta 804] iaitu seseorang yang tidak berdaftar di bawah Akta ini tidak boleh menjalankan amalan pergigian. Jika disabitkan kesalahan di bawah subseksyen 62(3), mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya. HM

Boleh kena kanser mulut


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Baru saja kahwin Dai Syed dah cakap pasal kahwin lain (Video)

Tomok dakwa pekerjanya kena pukau

Farid Kamil Terlepas Hukuman Penjara Sebab Berlakon Watak Anwar Ibrahim?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker