Golongan Al-Mujaharah semakin ramai pada hari ini

Golongan Al-Mujaharah semakin ramai pada hari ini

Benar, malu itu memang amat berkuasa. Tanpa rasa malu, baik wanita mahupun lelaki ibarat barang lelong yang belum tentu terjual, sungguh tidak berharga. Malu juga bertempat. Ia tidak berlebihan dan tidak terlalu kurang. Malu akan menimbang sejauh mana kita menghargai kehidupan dan juga diri sendiri.

Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,

“Iman meliputi lebih daripada enam puluh cabang atau bahagian. Dan Al haya’ (rasa malu) adalah sebuah cabang daripada iman.” (HR Bukhari).

Oleh demikian, untuk menyempurnakan keimanan dalam diri, perasaan malu tidak harus dikikis. Biarkan ia menjadi perisai dalam menjalani kehidupan yang berat menanti.

Hari ini sifat malu di kalangan anak muda seolah-olah sudah terhakis lebih-lebih lagi tika melakukan kemungkaran kepada Allah. Walhal malu itu juga mercu tanda akhlak seseorang manusia. Sejauh mana perasaan malu itu tersemat dalam diri, selagi itu manusia akan berakhlak.

Hal ini dipersetujui oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zainab Ismail.

Ujarnya, malu adalah formula terbaik dalam menjalani kehidupan yang sempurna. Apabila malu menebal dalam diri, manusia akan lebih menghargai dan menjaga maruah diri. Lebih daripada itu, berupaya sehabis mungkin untuk menjaga kehormatan diri sebagai nikmat paling tinggi. Lantaran itu Islam meletakkan malu sebahagian daripada iman.

Sifat malu menjadikan seseorang itu memiliki akhlak yang mulia, budi pekerti yang luhur, prinsip hidup yang tinggi, nilai kemanusiaan yang peka dan keprihatinan kepada apa jua perkara yang buruk lagi dilarang agama.

Berkait dengan persoalan malu, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sesungguhnya sebahagian yang masih dikenal umat manusia daripada perkataan para nabi terdahulu adalah, ‘Bila kamu tidak malu, maka berbuatlah sesuka hatimu.” (HR Bukhari).

Bersandarkan hadis di atas, Dr. Zainab menjelaskan, apabila terhakisnya perasaan malu dalam diri, kita langsung tidak peduli untuk berbuat segala macam kemungkaran yang jelas salah di sisi Allah atau buruk pada pandangan manusia.

Dan hakikatnya inilah yang sedang berlaku apabila paparan di media sosial mendedahkan betapa bangganya seorang anak gadis belasan tahun menjaja perihal ceritanya yang kehilangan dara di laman sosial facebook. Apa maknanya? Yang pasti inilah padah bila malu melayang, harga diri tidak lagi dipandang!

Malulah demi menjaga aibmu!

Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap umatku dimaafkan kecuali al-Mujahirin. Dan sesungguhnya termasuk al-Mujaharah adalah seorang yang bermaksiat pada malam hari kemudian pada pagi harinya (padahal Allah telah menutupinya) dia berkata, “wahai fulan! Aku telah melakukan hal ini dan hal itu.” Allah telah menutupi aibnya di malam hari dan dia membukanya pada pagi harinya” (HR Bukhari)

Bertitik tolak daripada hadis di atas, jelas sifat malu adalah anugerah Allah untuk umat manusia. Namun bagaimana manusia memelihara sifat malu itu, terpulang kepada individu itu sendiri.

Hakikatnya setiap perkara yang aib, hanya orang yang melakukannya lebih mengetahui. Dan seseorang itu bertanggungjawab menutup aib diri daripada menghebahkannya kepada orang lain. Semua ini demi menjaga nama baik dan maruah diri.

Namun sayangnya hari ini semakin ramai pula yang mula termasuk dalam golongan yang Allah benci ini. Demi semata-mata untuk kandungan di media sosial dan mendapat jumlah tontonan atau pengikut yang ramai aib yang Allah tutup dibuka dengan rela. Alangkah ruginya golongan ini.

Oleh itu, bagi menyatakan penghargaan kepada diri, malu kena dipupuk sejak dari kecil. Tapi malu itu, biarlah bertempat. Jangan pula jadi seperti segelintir wanita yang memiliki malu yang tebal, sehingga malu menjadi penghalang untuknya maju dalam kehidupan.

Semua yang dilakukan malu, sehingga untuk turun berucap di medan dakwah pun malu. Justeru, bagaimana umat kita hendak maju jika sentuhan dan naluri keibuan wanita yang bisa menggegarkan dunia tiada lagi pada hari ini. Wallahu a’lam Utv

Golongan Al-Mujaharah semakin ramai pada hari ini


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Baru saja kahwin Dai Syed dah cakap pasal kahwin lain (Video)

Tomok dakwa pekerjanya kena pukau

Farid Kamil Terlepas Hukuman Penjara Sebab Berlakon Watak Anwar Ibrahim?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker