Permohonan Tommy Thomas batal saman Najib dibenarkan Mahkamah

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tommy Thomas berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan Thomas berkata tuntutan yang dikemukakan oleh Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahankan dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah.

“Tuntutan ini adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah. Sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan tuntutan itu,” katanya dan memerintahkan Najib untuk membayar kos RM12,000.



Ahmad Bache dalam penghakimannya berkata kes Najib masih berjalan manakala Thomas bukan lagi Peguam Negara.

Kes itu ialah 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ( AMLATFPUAA 2001).

Hakim itu berkata mahkamah mempertimbangkan pendapat bahawa punca tindakan salah guna kuasa dan proses yang dikatakan berniat jahat adalah tidak kukuh dan bukan pemula kerana Thomas tidak pun menjalankan pendakwaan bagi empat kes itu.

“Plaintif (Najib) boleh memfailkan saman jika beliau dibebaskan daripada semua kes tetapi kini kes masih belum selesai.



“Walaupun jika Thomas mempunyai agenda terhadap Najib, beliau tidak akan menjalankan pendakwaan terhadap plaintif.

“Oleh itu, bagaimana beliau boleh dikatakan telah melakukan salah guna (kuasa). Malah pengakuan dalam saman seperti yang disebut sebelum ini, tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah,” katanya.

Hakim itu berkata sekiranya beliau membenarkan saman itu diteruskan, ia akan membuka laluan bagi empat lagi kes Najib untuk dibicarakan di mahkamah sivil berdasarkan imbangan pembuktian sivil walaupun perbicaraan jenayah bagi empat kes itu masih berjalan.

“Prosiding ini akan dilihat sebagai serangan terhadap empat kes itu. Malah, tuntutan ini tidak sepatutnya difailkan sama sekali, sebelum selesai perbicaraan empat kes itu.



“Ia juga telah mewujudkan kekeliruan dan pelanggaran bidang kuasa antara bidang kuasa sivil dan jenayah,” katanya sambil menambah bahawa permohonan Najib juga terlalu awal.

Hakim Ahmad berkata tiada keperluan untuk tuntutan itu dibicarakan secara penuh dan tiada sebab untuk Thomas hadir ke mahkamah memberi penjelasan.

Beliau seterusnya berkata Thomas mempunyai imuniti daripada disaman berdasarkan budi bicara yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana Thomas sebagai Pendakwa Raya diberi kuasa budi bicara yang luas dan dengan itu menikmati imuniti daripada sebarang prosiding terhadapnya,” kata hakim.



Hakim Ahmad menegaskan bahawa duluan undang-undang masih mengesahkan hakikat bahawa kuasa perlembagaan Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan atau menarik balik pertuduhan jenayah, bukanlah sesuatu yang boleh dicabar di mahkamah.

Hakim berkata Thomas dilantik sebagai Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya pada 4 Jun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamed, bukannya peguam negara politik.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Yudistra Darma Dorai mewakili Najib manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Pada 22 Okt 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.



Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, IPIC, salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009 serta pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA 2001.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

BERNAMA

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392



Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dari mana Muhyiddin ada ‘puluhan juta’, warganet tanya Annuar

Pemain Arab Saudi terima hadiah Rolls Royces Phantom

Kami tak jual prinsip parti – Azalina

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker