Ramalan BN menang berasas tiada gelombang kemarahan, kecaman kepada PM

#PRU15

Ramalan BN menang berasas tiada gelombang kemarahan, kecaman kepada PM

Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh Pensyarah

KITA sudah hampir ke garisan penamat tempoh 14 hari berkempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Banyak sekali badan kaji selidik, termasuk yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini, membuat ramalan masing-masing mengenai keputusan Ibu Pilihan Raya 2.0 ini.

Saya dan rakan-rakan ahli akademik di beberapa universiti tempatan turut tidak terlepas daripada membuat tinjauan sendiri ke atas perjalanan PRU15 dengan pemerhatian dan dapatan kami agak berbeza daripada apa diperoleh beberapa badan kaji selidik lain.

Secara umumnya, kami mendapati suasana di lapangan jauh berbeza daripada apa berlaku dalam PRU14 yang terdapat emosi kemarahan rakyat membuak-buak terhadap kerajaan waktu itu yang mencetus satu gelombang.

Dalam PRU14, kempen utama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) pada waktu malam disiarkan secara dalam talian mendapat hingga ratusan ribu tontonan ditambah pula dengan mereka yang hadir sendiri secara fizikal berbanding suasana sekarang sedikit lesu.

Begitu juga perbualan di kedai kopi, di pasar awam mahupun di tempat terbuka tidak menggambarkan wujud sentimen kebencian kuat terhadap mana-mana gabungan parti politik bertanding atau pemimpin mereka.

Ini berbeza dengan suasana dalam PRU14 apabila rakyat menunjukkan kemarahan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak, di atas isu hangat seperti skandal 1MDB dan pelaksanaan sistem Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST).

Kini semuanya sudah tiada lagi, dengan Najib pun sudah berada di Penjara Kajang dan isu bersangkutan dengan beliau juga sudah tidak lagi hangat dibincangkan, begitu juga GST yang sudah tidak kedengaran lagi setelah dihapuskan setelah berakhirnya PRU15.

Tiada kecaman, modal serangan terhadap Ismail Sabri

Kecaman pemimpin pembangkang mahupun rakyat biasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku penyandang Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri daripada BN juga tidak begitu kedengaran.

Pemimpin pembangkang tidak mempunyai modal menyerang Ismail Sabri kerana sewaktu zaman pentadbiran beliau tiada perkara kontroversi berlaku, malah banyak perkara dilakukan beliau didokong parti pembangkang, khususnya PH sendiri.

Inilah hikmah kebijaksanaan Ismail Sabri dan rakan-rakan beliau dalam Kerajaan Keluarga Malaysia hingga menyebabkan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dengan PH pada 13 September tahun lalu.

Hampir kesemua butiran dijanjikan dalam MoU terlaksana dengan sebahagian kecil lagi sedang berada dalam perancangan tidak dapat direalisaskan setelah Parlimen terbubar pada 10 Oktober lalu menyebabkan PH sukar menyerang Ismail Sabri.

Begitu juga pengumuman dan tindakan Ismail Sabri sewaktu menjadi Perdana Menteri sementara yang dilihat masih berada dalam lingkungan bidang kuasa kerajaan sementara dengan tidak ada apa-apa keputusan membabitkan dana kerajaan dibuat.

Masih kita ingat lagi bagaimana rakyat rata-rata meluahkan kemarahan apabila kerajaan waktu itu dilihat mahu menyukarkan mereka daripada keluar mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei 2018, iaitu Rabu sebagai hari mengundi dalam PRU14.

Kerajaan mudahkan rakyat keluar mengundi, hari cuti dan tol percuma

Sebaliknya kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekarang dilihat mahu memudahkan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dengan menetapkan esok, iaitu Sabtu sebagai hari mengundi, sekali gus disambut dengan gembira oleh mereka.

Paling mutakhir, pengumuman Ismail Sabri hari ini dan esok ditetapkan sebagai hari kelepasan am, begitu juga pemberian tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya dari 12.01 tengah malam tadi hingga 11.59 malam esok.

Kesemua ini, selain pemberian gaji penjawat awam dan bayaran pencen untuk pesara bagi bulan ini dibayar lebih awal sudah semestinya akan memudahkan urusan rakyat, khususnya terpaksa balik kampung untuk mengundi, juga menceriakan mood mereka.

Kritikan kononnya kerajaan pimpinan Ismail Sabri gagal memulihkan ekonomi negara juga mudah dipatahkan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pada 11 November bahawa ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 14.2 peratus pada suku tahun ketiganya.

Satu-satunya senjata utama dimainkan lawan politik bagi menggesa rakyat tidak mengundi BN adalah dengan memainkan isu kononnya jika BN menang dalam PRU15 ini, maka yang akan naik menjadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukannya Ismail Sabri.

Cubaan kelirukan siapa jadi PM dinafikan Top 5 UMNO

Begitupun, perkara ini, yang cuba dikaitkan kononnya rasuah akan berleluasa dalam kerajaan jika BN kembali berkuasa, juga gagal mempengaruhi rakyat kerana berkali-kali dinafikan Top 5 UMNO daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden UMNO.

Kesemua mereka, juga pemimpin UMNO dan BN lain, mengulangi kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN menetapkan calon Perdana Menteri ialah Ismail Sabri dengan keputusan ini tidak boleh diubah sesuka hati.

Dari sudut lain, BN juga mempunyai kelebihan kerana menawarkan tawaran menarik dan realistik serta boleh dilaksanakan kepada semua golongan pengundi, termasuk kanak-kanak, belia, wanita, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).

Kesimpulannya, keputusan PRU15 dijangkakan oleh kami akan jauh berbeza daripada keputusan PRU14, di mana ketiadaan gelombang kemarahan ke atas kerajaan akan membolehkan BN menang selesa, apa lagi dengan rekod negatif PH dan PN sewaktu memerintah.

Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Ramalan BN menang berasas tiada gelombang kemarahan, kecaman kepada PM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sebak bersendirian di pelamin

SCRUT dedah syarikat yang melibatkan Muhyiddin dan ahli keluarga

Tiket Konsert BLACKPINK Di Malaysia ‘Sold Out’ Dalam Masa 30 Minit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker