Pendigitalan Keluarga Malaysia rapatkan jurang ekonomi
Pendigitalan Keluarga Malaysia rapatkan jurang ekonomi
Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang ditubuhkan menerusi inisiatif Keluarga Malaysia menjadi sumbangan penting Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara bandar dan luar bandar dengan perluasan jaringan digital.
Melihat keperluan pembangunan holistik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya di kawasan luar bandar, Perdana Menteri dilihat berusaha membantu Keluarga Malaysia memanfaat sepenuhnya teknologi digital dalam memperbaiki taraf sosioekonomi.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata walaupun rata-rata rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar, inisiatif Perdana Menteri itu terarah kepada penerimagunaan teknologi digital dalam perniagaan di peringkat komuniti dan luar bandar.
Katanya, PEDi yang juga penjenamaan semula daripada Pusat Internet Komuniti (PIK) adalah selaras dengan hala tuju kerajaan dalam memperkasa ekonomi digital dalam menyokong dasar kerajaan ke atas mentransformasi ekonomi melalui teknologi pendigitalan.
“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah memberi tumpuan khusus kepada adaptasi teknologi digital dalam perniagaan. Selaras dengan itu, PEDi adalah inisiatif spesifik kerajaan bagi merapatkan jurang teknologi pendigital di peringkat luar bandar, komuniti dan golongan berpendapatan rendah.
“Saya melihat penubuhan PEDi itu juga didorong oleh cerapan data yang menunjukkan keperluan kepada negara untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” katanya kepada BH.
Mohd Yusof yang juga Ketua Ekonomi Buruh merangkap Penasihat Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, matlamat utama PEDi adalah untuk memastikan keterangkuman teknologi untuk semua lapisan masyarakat.
Pusat satelit teknologi
Katanya, PEDi berfungsi sebagai pusat satelit teknologi pendigitalan di luar bandar dan kawasan komuniti dengan golongan sasar iaitu usahawan mikro dan kecil dapat menikmati khidmat sokongan perniagaan serta pemindahan teknologi.
“Pada pandangan saya, perubahan ekonomi pada masa kini menuntut golongan peniaga untuk mendalami dan memanfaat teknologi digital. Dari perspektif PMKS, penembusan pasaran adalah antara kekangan dalam melonjakkan perniagaan mereka.
“Justeru, adaptasi dan penerimagunaan teknologi digital ini penting kepada PMKS bagi meluaskan pasaran mereka. Lebih menarik, teknologi digital ini dapat mengekang monopoli pasaran syarikat besar yang selalu terjadi apabila PMKS menggunakan kaedah lama.
“Banyak produk keluaran PMKS yang beroperasi di luar bandar yang memerlukan strategi pemasaran digital. Dalam hal ini, PEDi dapat menjadi salah satu pemangkin kepada pertumbuhan PMKS di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata, PEDi adalah antara usaha utama kerajaan untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar terutama kepada segmen PMKS.
Beliau berkata, ini kerana pandemik jelas menjadi gesaan kepada PMKS untuk mengadapatasi perniagaan mereka untuk menguasai ekonomi digital.
“Namun, mereka ini (PMKS) dikongkong dengan kemampuan kewangan dan tidak mempunyai kemahiran untuk ‘menghijrahkan’ perniagaan mereka ke era e-dagang. Banyak kaji selidik mendapati PMKS menghadapi masalah untuk mengadaptasi kepada kaedah perniagaan yang baru ini, Ada pula yang kembali semula ke arah konvensional apabila negara berubah dari fasa pandemik ke fasa endemik.
“Manfaat PEDi bukan sahaja memberikan kemudahan yang murah dan mudah untuk memasarkan produk dan perkhidmatan PMKS tetapi juga menjadi tempat untuk mendapat bimbingan, nasihat dari pakar yang ditempatkan di pusat berkenaan,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, penubuhan PEDi adalah usul yang tepat daripada inisiatif Perdana Menteri kerana menyedari keperluan untuk membantu PMKS pulih selepas terjejas disebabkan pandemik, seterusnya mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Peralihan atau transformasi PMKS kepada ekonomi digital perlu dipermudahkan dan PEDi ini adalah usaha murni Perdana Menteri ke arah itu.
“Apa yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan keupayaan PEDi termasuk sokongan sistem logistik dan pengangkutan yang efisien yang dapat membawa keluar produk dari pedalaman pada harga yang murah. Ini akan dapat membantu petani, peladang dan PMKS memasarkan barangan mereka dengan harga yang murah ke bandar besar di Malaysia.
“Misalnya ikan bilis mata biru dari Sabah dapat dipasarkan pada harga yang murah di Kuala Lumpur serta dapat bersaing dengan ikan bilis yang diimport,” katanya.
Galak transformasi digital
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin pula, seperti mana yang diketahui, PEDi adalah antara inisiatif untuk menggalakkan transformasi digital terutamanya bagi penduduk luar bandar dan pada masa sama cuba untuk merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Dalam hal ini, peniaga PMKS boleh memanfaatkan PEDi dalam usaha memasarkan keluaran produk dan perkhidmatan mereka secara digital bagi mencapai pasaran yang lebih meluas. Dalam erti kata lain, inisiatif ini akan membantu PMKS untuk kekal kompetitif bersaing dan menggandakan peluang perniagaan mereka.
“Jika sebelumnya, PMKS kebiasaannya tertumpu kepada jualan pasaran setempat dan terhad, namun kewujudan PEDi sedikit sebanyak memberi ruang buat PMKS memperoleh capaian dan akses pasaran lebih besar sehingga di peringkat global.
“Ini bukan sahaja di dalam memasarkan produk dan perkhidmatan namun juga berupaya untuk membina jaringan rantaian bekalan serta mendapatkan kepakaran teknologi bagi meningkatkan kecekapan perniagaan. Sudah semestinya dengan pertambahan peluang pasaran akan menyaksikan pertumbuhan PMKS akan menjadi lebih baik,” katanya. BH
Pendigitalan Keluarga Malaysia rapatkan jurang ekonomi
Baca Artikel Menarik:
- Muhyiddin luluskan kontrak RM580b tanpa tender – Anwar
- BN menang Ismail PM – Johari
- Anwar mahu Muhyiddin dedah akaun Bersatu
- Jangan percaya tinjauan kata PH pilihan utama pengundi – Mahathir
- Tak mungkin Zahid jadi PM
- Kajian IDE ramal Azmin bakal tewas di Gombak
- Pas sepatutnya ada kuasa bersuara dalam PN – Ismail
- Kerajaan rugi tak ada pakar ekonomi seperti Johari Ghani – Ismail
- Pakatan Harapan fobia dengan perkataan manifesto
- PAS tak akan bekerjasama dengan BN – Hadi
- Saya tak pernah jumpa pemimpin PN bincang kerjasama – Hishammuddin
- PN goyah, PAS mula buat perangai
- PRU15: Anwar umum ‘sokong’ Tengku Zafrul
- Ilham Centre nafi ramal PH menang 87 kerusi
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Takiyuddin bidas kembali kenyataan Muhyiddin, pendirian PAS terbuka