Jangan tunggu runtuh dulu, penghuni flat mengeluh kerajaan negeri lepas tangan

Jangan tunggu runtuh dulu, penghuni flat mengeluh kerajaan negeri lepas tangan

KLANG: “Bayangkan, kami tidur malam pun rasa takut kalau-kalau rumah kami runtuh,” kata rata-rata penghuni flat Seri Sementa di Kapar menyampaikan kebimbangan mereka mengenai isu kerosakan bumbung kediaman mereka yang serius.

Ruziah Saleh, 47, berkata beliau sehingga kini trauma selepas sengkuap dapur rumahnya di tingkat tiga runtuh ditimpa saluran air hujan, setelah kayu pemegang di bahagian bumbung bloknya reput.

“Ini bukan kali pertama berlaku, cuma nasib baik sebab tak hempap orang atau kenderaan penghuni flat. Saluran paip air jatuh sebab bumbung flat kami sudah reput. Dah banyak kali kami buat aduan tapi tiada apa-apa tindakan diambil pihak berkenaan.

“Kami terpaksa kongsi duit sesama kami untuk baiki apa yang patut sebab kami nak duduk lama kan? Tapi kalau sampai nak baiki sendiri bumbung tu, manalah kami mampu,” keluh suri rumah yang sudah menetap di flat itu selama 23 tahun.

Tinjauan mendapati kesemua bumbung empat blok flat Seri Sementa yang berusia 25 tahun itu berada dalam keadaan usang dan merisikokan keselamatan penghuninya.

Pengerusi flat, Muhammad Jamuri Wahudin berkata, pihaknya sudah membuat aduan, malah banyak pihak sudah turun membuat lawatan, termasuk penyandang kerusi Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Sementa Daroyah Alwi, namun janji yang ditaburkan mereka tetap tidak ditunaikan.


Bumbung di flat Seri Sementa berada dalam keadaan usang dan merisikokan keselamatan penghuninya.

“Sudah berapa kali pilihan raya, wakil rakyat datang melawat. Pernah masuk TV3, pernah tular. Tapi selepas itu senyap. Mereka kata akan bantu tapi sudah empat tahun, tak ada pembaikan.

“Bila kita minta tolong pihak berkuasa, mereka kata tuan rumah yang kena tanggung. Masalahnya, siapa tuan rumah pun kami tak kenal, sebab rumah ditinggalkan begitu sahaja. Kami tak mampu nak baiki bumbung itu semua,” katanya kepada FMT.

Menurut Jamuri, bumbung yang rosak itu menyebabkan air hujan mengalir ke dalam bangunan, mengakibatkan blok mengalami keretakan serius.

“Hal ini cukup membimbangkan penghuni. Semua blok retak. Lebih kesian penghuni di tingkat empat dan tiga. Siling rumah mereka berlubang kesan air hujan bertakung di tingkat lima,” katanya.

“Setiap kali hujan, mereka terpaksa menadah air. Penghuni rumah atas risau rumah runtuh. Penghuni rumah bawah pula risau rumah mendap. Kami juga berdepan masalah kejutan elektrik disebabkan air mengalir terkena kotak suis utama. Sampai bila kami kena hadapi masalah ini?”

Seorang lagi penghuni flat, yang hanya mahu dikenali sebagai Hawa berkata, rumah di flat Seri Sementa ini tidak berbaloi untuk dibeli dan dijadikan aset. Namun, apakan daya, beliau dan suaminya tiada pilihan.

“Kami ini tak mampu nak beli rumah mahal-mahal. Rumah ini saja yang kami mampu beli. Kami ini golongan B40, dengan kita baru pulih daripada PKP. Mana ada duit nak beli rumah mahal.

“Rumah ini pun banyak retak dan kita duduk dalam keadaan risau. Saya masih berharap ada wakil rakyat akan bantu kami, baiki bumbung flat kami,” katanya yang baru sahaja membeli rumah di flat berkenaan selepas puluhan tahun menyewa.

Ketua Wanita Umno cawangan Seri Sementa Satirah Dorri memaklumkan bahawa pihaknya diberitahu kerajaan negeri Selangor tidak meluluskan permohonan membaik pulih bumbung empat blok flat ini dengan alasan ia membabitkan kos yang terlalu tinggi.

“Kalau kerajaan negeri kata kos terlalu tinggi dan terus senyap tak mahu tolong kami, siapa yang sepatutnya bantu kami? Kos tinggi atau tidak, bukankah itu tanggungjawab kerajaan negeri untuk bantu kami?

“Nak tunggu ada kematian dulu, ada tragedi berdarah berlaku dulu baru nak ambil tindakan? Bangunan semakin hari semakin retak. Lebih-lebih lagi sekarang musim hujan,” tegasnya.

Satirah berkata, penghuni flat ini akur kerosakan bumbung menjadi tanggungjawab pemilik rumah, namun kebanyakan mereka gagal dikesan.

“Tolonglah bantu kami, jangan tunggu bangunan ini runtuh dulu,” keluhnya.

Flat Seri Sementa setakat ini dihuni kira-kira 160 buah keluarga. FMT

Jangan tunggu runtuh dulu, penghuni flat mengeluh kerajaan negeri lepas tangan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Saman tuduhan LGBT: Razman tegas nak tanya Anwar, benarkah beliau meliwat?

Kalau tak suka ‘just swipe’ – Syafinaz

Janji-janji pelik yang dijanjikan calon pilihan raya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker