KDN mesti jelaskan kehadiran ejen Mossad


KDN mesti jelaskan kehadiran ejen Mossad

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti memberi penjelasan berhubung pendedahan operasi agensi pengintipan rejim Israel, Mossad di Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pendedahan itu menimbulkan kebimbangan masyarakat dan menimbulkan risiko keselamatan serta membabitkan isu kedaulatan dan maruah negara.

Katanya, kerajaan wajar membentuk pasukan khas untuk meneliti dan mendalami strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan.

“Susulan itu, saya secara peribadi dan UMNO secara amnya percaya wujud keperluan untuk kerajaan, khususnya KDN tampil membuat penjelasan yang lengkap berhubung pendedahan yang menggemparkan ini.

“Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, apatah lagi oleh rejim haram seperti Israel yang tidak pun diiktiraf oleh negara kita.

“Kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta ‘entry window’ yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara kita.

“Pembabitan ramai warga tempatan yang tidak bertanggungjawab dalam sindiket ini menuntut kita untuk bukan sahaja memberikan mereka hukuman yang tegas, malah keras,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, hari ini.

Memetik laporan NST kelmarin, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara.

Sebelum ini, pada 17 Mei 2021, KDN memandang serius ancaman keselamatan dikeluarkan Israel terhadap pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Semalam pula, KDN akan meneliti dakwaan ada ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, apa yang lebih membimbangkan perkara yang didedahkan itu didakwa bukanlah insiden yang baharu.

“Sudah pasti semua ini tidak berlaku dengan mudah melainkan mereka benar-benar memahami ekosistem dan pendekatan keselamatan dalam negara kita.

“Kerajaan mesti melihat isu ini secara serius dan menjelaskannya kepada masyarakat.

“Kita bukan sahaja ingin menjawab kekeliruan dan mengetahui perkara sebenar. Tetapi ia juga boleh menjadi amaran serta meningkatkan kesedaran orang awam berhubung jenayah ini,” katanya. BH

KDN mesti jelaskan kehadiran ejen Mossad


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Saya dah beri banyak peluru, guna untuk serang mereka

Mahathir minta pertolongan saya – Ku Nan

Tsunami politik sudah berakhir tiba masa BN bangkit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker